Perlindungan kulit daripada sinaran matahari memang penting dalam penjagaan kulit, terutama di negara ini.
Namun, masih ramai yang tidak menyedari setiap jenis krim pelindung matahari atau sunscreen mempunyai fungsinya tersendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, masih ramai individu masih keliru mengenai perbezaan antara krim pelindung matahari kimia dan fizikal serta cara penggunaannya yang betul.

“Pelindung matahari kimia berfungsi dengan menyerap sinaran matahari dan menukarnya kepada bentuk cahaya yang tidak berbahaya, dengan bahan seperti oksoselit dan homoselit membantu proses ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebaliknya, krim pelindung matahari fizikal bertindak dengan memantulkan sinaran UV menggunakan bahan seperti zinc oxide dan titanium dioxide.
Kedua-dua jenis ini berkesan melindungi kulit, namun pelindung matahari fizikal lebih bersifat lembut untuk kulit sensitif kerana risiko iritasi yang lebih rendah.
Keselamatan dan kesan sampingan
Menurut Dr. Hamidah, kedua-dua jenis krim pelindung matahari selamat digunakan dalam jangka panjang.
Pelindung matahari kimia boleh meresap ke kulit untuk berfungsi, tetapi ia tidak membahayakan. Risiko utama hanyalah alergi pada individu tertentu.
Pelindung matahari fizikal lebih cepat berkesan kerana tidak perlu diserap, sesuai untuk kulit yang baru menjalani prosedur estetik atau kulit sensitif.
Penggunaan harian tidak menjejaskan kesihatan kulit secara keseluruhan dan tidak menghalang sintesis vitamin D jika diambil daripada sumber makanan.
Pemilihan mengikut jenis kulit dan SPF
Katanya, pemilihan sunscreen harus berdasarkan jenis kulit dan keperluan individu.
Kulit sensitif disarankan memilih fizikal, manakala kulit normal boleh menggunakan kedua-duanya.
“SPF yang disarankan ialah 50 ke atas, dengan formula broad spectrum untuk perlindungan terhadap UVA, UVB, dan cahaya biru,” katanya.
Krim pelindung matahari perlu disapu setiap dua hingga tiga, termasuk ketika memakai solekan dan tidak hanya ketika cuaca panas atau di pantai.
Kesilapan penggunaan
Dr. Hamidah menekankan beberapa kesilapan biasa, antaranya hanya memakai pelindung matahari ketika cuaca panas, tidak menyapu semula serta menggunakan dalam kuantiti yang terlalu sedikit.
Selain itu, ada juga yang bergantung sepenuhnya pada produk solekan atau pelembap yang mengandungi SPF.
Kawasan terbuka seperti leher dan tepi rambut juga perlu diberi perhatian. Bagi individu yang berpeluh atau mempunyai kulit berjerawat, formula fizikal atau water-resistant adalah lebih sesuai.
Menurut Dr. Hamidah, serum atau pelembap tidak boleh menggantikan krim pelindung matahari kerana fungsinya berbeza.
Paparan sinaran matahari tanpa perlindungan boleh merosakkan kolagen, mempercepatkan penuaan kulit dan menyebabkan kulit menjadi cepat tua.
Oleh itu, krim pelindung matahari harus menjadi langkah pertama sebelum penggunaan produk lain dalam rutin penjagaan kulit.
Kesedaran
Kesedaran mengenai penggunaan krim pelindung matahari masih rendah dan ramai beranggapan ia hanya diperlukan untuk kulit cerah atau ketika cuaca panas.
Dr. Hamidah berkata, semua jenis kulit memerlukan perlindungan matahari setiap hari, termasuk semasa cuaca mendung.
Formulasi khusus kini turut tersedia untuk pelajar dan golongan muda.
Dengan panduan tepat serta pemilihan krim pelindung matahari yang sesuai, kulit boleh kekal sihat, terlindung dan awet muda walaupun terdedah kepada sinaran matahari.










