Teringin menggayakan kebaya, tetapi rasa segan kerana bentuk badan sudah tidak seramping dulu? Atau mungkin bimbang bahagian tertentu seperti perut, pinggul atau lengan kelihatan lebih ketara apabila mengenakan busana tradisional itu?
Hakikatnya, perasaan itu bukan sesuatu yang asing. Ramai wanita berkongsi kebimbangan sama, terutama apabila memikirkan potongan kebaya yang sering dianggap ketat dan membalut tubuh.
SALAH TANGGAPAN
Tidak dinafikan, masih ada tanggapan kebaya hanya sesuai untuk wanita bertubuh langsing dan ramping. Persepsi ini secara tidak langsung membuatkan kebaya seakan-akan terpinggir daripada pilihan utama gaya di Hari Raya atau dalam majlis-majlis tertentu.
Sebenarnya, tanggapan itu tidak sepenuhnya tepat. Dengan pemilihan potongan yang betul, kebaya mampu menjadi busana yang sangat versatil dan sesuai untuk pelbagai bentuk badan.
Ketua Kreatif MASLEA, Suraya Sharifuddin, menjelaskan wanita bertubuh berisi sebenarnya boleh kelihatan lebih anggun apabila mengenakan kebaya yang sesuai.

Menurutnya, ramai yang masih membayangkan kebaya sebagai baju pendek, ketat dan berbelah di bahagian hadapan. Sedangkan realitinya, rekaan kebaya hari ini jauh lebih pelbagai.
“Terdapat banyak potongan kebaya yang longgar dan labuh, bukan hanya yang ketat. Malah, potongan tertentu boleh membantu menyamarkan bahagian badan yang ingin disembunyikan,” katanya.
KEBAYA LONGGAR JADI PILIHAN
Sebagai contoh, kebaya berpotongan lurus mampu mengalihkan fokus daripada bahagian tubuh yang lebih berisi. Ia memberikan siluet yang lebih seimbang tanpa menonjolkan bentuk badan secara berlebihan.
Malah, menurut Suraya, mereka yang berbadan besar juga boleh memilih saiz lebih kecil untuk potongan tertentu kerana rekaannya yang longgar tidak melekap pada tubuh.
Menariknya, pendekatan yang diambil oleh MASLEA bukanlah untuk menyembunyikan bentuk badan sepenuhnya. Sebaliknya, ia menampilkan keseimbangan antara keselesaan dan keanggunan tanpa terlalu menonjolkan bentuk fizikal.
Melalui jenama tersebut, koleksi kebaya yang diperkenalkan memberi penekanan kepada kesederhanaan yang elegan, sesuai digayakan oleh pelbagai peringkat usia dan bentuk badan.
Koleksi terbaharu mereka, Akar, diilhamkan daripada konsep kasih sayang dalam keluarga. Nama ‘Akar’ sendiri melambangkan ibu, yang menjadi sumber kekuatan dan kasih dalam sesebuah keluarga.
Inspirasi ini membawa sentuhan nostalgia kepada pemakai, mengingatkan kembali suasana menyambut Aidilfitri bersama insan tersayang.
“Saya mahu menghidupkan kembali memori ini melalui rekaan yang ceria dan selesa. Rekaan MASLEA juga banyak dipengaruhi oleh asal-usul keluarga saya di Johor,” jelas Suraya.
Katanya, pereka kebaya sebenarnya telah lama mengkaji potongan terbaik yang sesuai untuk pelbagai bentuk badan, sama ada kurus atau berisi.
Justeru, dalam koleksi MASLEA, integriti kebaya dikekalkan tanpa mengubah karakter asalnya, tetapi diberi sentuhan moden yang lebih praktikal.

Antara rekaan yang mendapat perhatian ialah Kebaya Mak Tok, yang sesuai untuk mereka bersaiz besar sehingga XXL. Potongannya yang labuh dan longgar memberi keselesaan tanpa mengorbankan gaya.
Rekaan ini juga membantu menyamarkan bahagian seperti perut, pinggul dan lengan, menjadikan pemakai kelihatan lebih seimbang dan anggun.
Menariknya, walaupun berat badan mencecah 90 kilogram, pemakai masih boleh tampil yakin dengan kebaya labuh yang direka dengan potongan tepat.
Lebih penting, pemakai tidak perlu risau tentang keselesaan ketika menikmati juadah Aidilfitri seperti rendang dan ketupat. Busana yang longgar memberi ruang untuk bergerak dengan bebas.
GUNA FABRIK SELESA
Keselesaan juga menjadi keutamaan dalam pemilihan fabrik. MASLEA menggunakan material yang lembut dan sesuai dengan cuaca panas di Malaysia.
Antara fabrik yang digunakan termasuk kapas dengan hiasan benang velvet, kain kasa, sifon dan organza yang ringan serta mudah digayakan.
Selain itu, fabrik yang tidak memerlukan gosokan turut menjadi pilihan bagi memudahkan penjagaan, terutama dalam kesibukan musim perayaan.
Namun begitu, Suraya menasihatkan agar wanita bertubuh besar mengelakkan fabrik seperti satin atau material yang terlalu melekap pada badan kerana ia boleh menonjolkan bentuk tubuh.
Koleksi MASLEA yang menampilkan 75 rekaan ini hadir dengan warna-warna vibran dan perincian halus, memberikan sentuhan segar kepada busana tradisional.
NENEK JADI INSPIRASI
Inspirasi di sebalik jenama ini juga sangat peribadi. MASLEA diinspirasikan daripada dua nenek Suraya yang sentiasa menitikberatkan penampilan diri.
Nama MASLEA sendiri diambil daripada nama arwah nenek sebelah ayahnya, yang gemar bergaya dan memakai minyak wangi.
Kenangan terhadap nenek yang sentiasa tampil kemas dan elegan, terutama ketika Hari Raya, menjadi antara sumber inspirasi utama dalam rekaannya.
Sementara itu, nenek sebelah ibu pula gemar menjahit baju sendiri dan sangat menyukai batik.










