Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa yang memiliki pelbagai anugerah dan pemberian Ilahi kepada para hamba yang mentaatiNya. Kelebihan-kelebihan yang sangat menakjubkan ini dinyatakan oleh pelbagai hadis.
Antaranya adalah satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ibnu Khuzaimah di dalam kitab beliau yang berjudul Sohih Ibni Khuzaymah.
Daripada [Saidina] Salman, beliau berkata, Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami pada hari terakhir bulan Shaaban, lalu baginda bersabda:
“Wahai sekalian manusia. Bulan yang agung telah menaungi kalian. Ia adalah bulan yang diberkati. Ia adalah bulan yang terdapat di dalamnya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
“Allah telah menjadikan puasa bulan tersebut adalah fardu dan mendirikan malamnya adalah sunat. Sesiapa yang mendekatkan diri (kepada Allah) dengan melakukan satu perbuatan baik (yang disunatkan), dia telah menjadi seperti seorang yang telah melakukan satu perbuatan fardu pada bulan selainnya.
“Sesiapa yang menunaikan di dalam bulan ini satu perbuatan fardu, dia menjadi seperti seorang yang telah menunaikan 70 perbuatan fardu di dalam bulan selainnya.
“Ia adalah bulan yang bertambah rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa yang memberikan makanan berbuka pada bulan ini kepada orang yang berpuasa, ia menjadi pengampunan bagi dosa-dosanya dan pembebasan tengkuknya daripada neraka.
“Dia juga akan mendapat pahala seumpama pahala orang yang berpuasa sedangkan orang yang berpuasa puasa tidak pula berkurang sesuatupun daripada pahalanya”.
Para sahabat telah berkata: “Bukan semua kami memiliki makanan untuk dijadikan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa”. Lalu baginda telah bersabda: “Allah akan memberikan pahala ini kepada sesiapa sahaja yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa walaupun hanya sebiji kurma kering atau seteguk air atau secawan susu,”.
Ia adalah bulan yang permulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan penghujungnya adalah pembebasan daripada neraka. Sesiapa sahaja yang telah meringankan hamba miliknya, nescaya Allah akan mengampunkannya dan membebaskannya daripada neraka.
Kalian semuanya perbanyakkanlah di dalam bulan tersebut empat perbuatan: dua perbuatan yang disebabkannya kalian akan menjadikan tuhan kalian reda dan dua perbuatan yang kalian tidak akan dapat mengelakkan diri daripadanya. Adapun dua perbuatan yang disebabkannya kalian akan menjadikan tuhan kalian redha, maka ia adalah kesaksian bahawa tiada tuhan selain Allah dan kalian memohon keampunan kepadaNya.
Adapun dua perbuatan yang kalian tidak akan dapat mengelakkan diri daripadanya, maka kalian memohon kepada Allah akan syurga dan kalian berlindung diri dengan bantuan Allah daripada neraka.
Barangsiapa yang mengenyangkan di dalam bulan tersebut seorang yang berpuasa, nescaya Allah akan memberikan kepadanya seteguk air daripada telagaku yang dia tidak akan dahaga lagi (selepas itu) sehinggalah dia masuk ke dalam syurga”.
Kesilapan baca doa berbuka puasa
Rata-rata muslim akan membaca doa berbuka puasa seperti ini: Allahumma Laka Sumtu Wa Bika Amantu Wa ‘Ala Rizqika Aftortu yang bermaksud: “Ya Allah. Bagi-Mu sahajalah puasaku. Hanya kepada-Mu sahajalah daku beriman dan hanya dengan rezeki-Mu sahajalah daku berbuka puasa”.
Doa ini secara lazimnya akan dibaca setelah masuk waktu berbuka puasa. Namun sebenarnya doa ini dituntut untuk dibaca setelah seseorang berbuka puasa dahulu.
Maka yang sebetulnya adalah apabila masuk sahaja waktu Maghrib, kita berdoa terlebih dahulu dengan doa makan. Setelah doa ini dibaca, kita teruskan pula dengan memakan tiga biji buah kurma. Setelah itu barulah doa: Allahumma Laka Sumtu Wa Bika Amantu Wa ‘Ala Rizqika Aftortu dibaca.
Mulakan dengan air sekiranya tiada kurma
Antara sunnah Rasulullah ketika berbuka puasa adalah menjamah dahulu buah kurma basah (rutob). Sekiranya tiada kurma basah, baginda akan berbuka puasa dengan makan kurma kering (tamar).
Namun sekiranya tiada, baginda akan berbuka puasa dengan meneguk air kosong terlebih dahulu.
Oleh itu perlu diingatkan sekiranya tiada sebarang kurma semasa berbuka puasa, kita hendaklah memulakan dengan minum air kosong terlebih dahulu sekalipun ada buah-buahan lain atau makanan manis dalam hidangan.
Niat puasa ketika berbuka
Seperti yang dipelajari di dalam mazhab al-Imam al-Syafie, orang yang berpuasa wajib difardukan berniat puasa pada malam sebelum siang hari dia akan berpuasa. Maka ini bermakna wajib ke atas setiap orang yang berpuasa untuk berniat puasa pada setiap malam Ramadan.
Bahkan kalaulah ditakdirkan seseorang terlupa untuk berniat puasa pada waktu malamnya lalu dia hanya teringat akan niat puasa setelah masuk waktu subuh, puasanya pada hari tersebut adalah tidak sah kerana tiada niat yang dihadirkan pada malam sebelum subuh tersebut. Dia juga akan diwajibkan untuk mengganti puasa setelah selesai bulan Ramadan selain tetap wajib menahan diri daripada segala perbuatan yang membatalkan puasa.
Oleh kerana niat wajib dihadirkan setiap malam Ramadan, Fadhilat al-Syeikh ‘Ali bin Jum’ah al-Shafi’iyy selaku mantan Mufti Kerajaan Mesir pernah mencadangkan kita semasa berbuka puasa turut berniat puasa saat itu agar tidak akan berlaku kelupaan niat puasa.
Teguran untuk imam solah tarawih
Seperti sedia maklum, solat sunat tarawih di sisi pandangan mazhab al-Imam al-Shafie adalah 20 rakaat. Namun dalam melaksanakan 20 rakaat tarawih, saya mendapati sebahagian imam melaksanakan solat secara laju sehingga mengganggu kekhusyukan solat dan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang disunatkan saat solat.
Kesilapan ketara sebahagian imam ialah terus membaca surah selepas surah al-Fatihah tanpa menunggu makmum selesai bacaan, sekali gus menyalahi sunat solat berjemaah. Sepatutnya imam menunggu agar makmum dapat menghayati ayat-ayat Al-Quran dengan tenang.
Saya juga perhatikan ramai imam kadang-kadang tidak menghabiskan bacaan tahiyat dengan sempurna, hanya membaca yang diwajibkan. Sewaktu menjadi makmum solat tarawih, sering kali imam memberi salam sedangkan saya baru membaca, “Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad.”
Walaupun solat tetap sah, tujuan utama solat adalah khusyuk, bukan sekadar menyelesaikan 20 rakaat dengan tergesa-gesa.Maka sepatutnya para imam menyelesaikan bacaan tahiyat secara sempurna iaitu sehingga Innaka Hamidum Majid dengan tenang tanpa tergesa-gesa bagi mencapai tujuan ibadat solat disyariatkan.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










