NAMA Bukit Fraser sering dikaitkan dengan kisah-kisah misteri dan paranormal sejak sekian lama.
Persepsi itu secara tidak langsung membuatkan sebahagian pengunjung menjauhi destinasi tanah tinggi ini.
Sedangkan, Bukit Fraser sebenarnya menawarkan pelbagai tarikan menarik untuk pencinta alam, keluarga serta penggemar aktiviti santai.
Antaranya ialah panorama indah dan mendamaikan, udara nyaman serta keunikan flora dan fauna.
Ini sekali gus menjadikannya sebagai lokasi terbaik untuk aktiviti riadah, pemerhatian burung dan penerokaan alam semula jadi.
Terletak 80 kilometer dari ibu kota, Bukit Fraser mendapat namanya sempena Louis James Fraser yang membuka pusat perdagangan bijih timah selepas menemui logam tersebut di atas bukit pada 1890-an.
Ia merupakan satu daripada tiga kawasan tanah tinggi utama di Semenanjung selain Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Namun, pembangunan di bukit ini adalah terhad bagi melindungi biodeversitinya.
Mengintai Sultan Tit, Silver-eared Mesia
Aktiviti melihat dan mengenali pelbagai spesies burung merupakan antara tarikan utama di Bukit Fraser.
Malah, burung boleh dianggap sebagai ikon kawasan peranginan tanah tinggi itu dengan kepelbagaian spesies serta keindahan tersendiri yang sukar ditemui di tempat lain.
Tidak lengkap kunjungan ke sini jika aktiviti melihat burung dilepaskan begitu sahaja,terutama bagi pencinta alam dan peminat fotografi hidupan liar.

Daripada kira-kira 260 spesies burung yang direkodkan di kawasan ini, sebanyak 205 merupakan spesies residen manakala sekitar 40 lagi ialah burung hijrah.
Ia kebanyakannya datang dari negara-negara Asia Utara.
Antara spesies yang sering menjadi tumpuan termasuk Silver-eared Mesia, Sultan Tit, Golden Babbler, Bronzed Drongo dan Verditer Flycatcher, yang masing-masing memiliki warna serta tingkah laku unik.
Dengan kedudukan strategik Malaysia di tengah laluan penghijrahan burung dari Australia, Bukit Fraser telah menarik kehadiran kira-kira 120 spesies yang menggunakan laluan penerbangan atau flyway Asia Timur dan Australia, dipengaruhi faktor perubahan sumber makanan, habitat dan cuaca.

Justeru, tidak hairanlah apabila Bukit Fraser turut menjadi lokasi penganjuran Fraser’s Hill International Bird Race sejak 1988.
Festival setiap Jun ini menarik peserta dari seluruh dunia untuk mempamerkan kepakaran mereka dan menyemarakkan komuniti pemerhati burung.
Ini sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi utama menjejaki burung di peringkat antarabangsa.
Selain itu, kawasan yang kaya dengan tumbuhan semula jadi ini turut menjadi tapak penyelidikan ornithologi oleh pelbagai institusi, selain berjaya menarik minat penggemar burung dari dalam dan luar negara termasuk Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah.
Air terjun Jeriau
Masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan kawasan ini disebabkan lokasinya yang agak tersorok dan sedikit jauh dari kawasan utama.
Untuk sampai ke Air Terjun Jeriau, pengunjung perlu berjalan kaki dari pintu masuk utama selama kira-kira 10 minit, bergantung kepada kelajuan serta keupayaan masing-masing.
Laluan menuju ke air terjun disediakan dengan baik dan selamat, selain menawarkan pemandangan hutan yang cukup memukau sepanjang perjalanan.
Kawasan ini sering menjadi ‘port’ wajib bagi pencinta alam dan jurugambar yang ingin merakam keindahan semula jadi.
Bagaimanapun, pengunjung dinasihatkan agar tidak ke sini ketika musim hujan, atas faktor keselamatan.
Cabar adrenalin di denai
Bagi warga kota yang inginkan gaya hidup sihat sambil menikmati kesegaran udara, Bukit Fraser adalah destinasi tepat untuk disinggahi.
Terdapat lapan trek denai yang menguji ketahanan mental dan fizikal pendaki.
Ia terdiri daripada Pine Tree sejauh 5.5 kilometer, Maxwell Trail (1.8 kilometer), Bishop Trail (1.5 kilometer), Rompin Trail (500 meter), Kindersley Trail (300 meter), Hemmant Trail (1 kilometer), Abu Suradi Trail (500 meter) dan Mager Trail (350 meter).
Namun, pendakian di kawasan ini memerlukan persediaan rapi termasuk jurupandu, permit, pakaian yang bersesuaian serta tahap kecergasan baik.
Pendaki juga dalam masa sama perlu merancang perjalanan dengan betul serta membawa bekalan makanan dan minuman secukupnya,
Selain itu pastikan aktiviti pendakian tamat sebelum hari gelap dan jika terpaksa meneruskan perjalanan, disarankan bergerak dalam kumpulan.
The Paddock
Aktiviti menunggang kuda mungkin sudah biasa bagi sesetengah orang, namun, pengalaman ini menjadi lebih istimewa apabila dilakukan di kawasan tanah tinggi yang dikelilingi kehijauan hutan semula jadi.

Di The Paddock Fraser’s Hill, pengunjung boleh melakukan aktiviti itu selain daripada memanah.
Walaupun hanya dalam tempoh yang singkat, menunggang kuda di sini dengan keindahan panorama satu perkara yang patut dicuba.
Bayaran yang dikenakan bagi setiap aktiviti hanyalah RM5 dan ia amat berbaloi terutama untuk mereka yang baru pertama kali melakukannya.
Allen’s Water
Mungkin masih ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan tasik kecil berdekatan Jelai Highland Resort di Jalan Ampang Road, bersebelahan dengan Edible Garden ini.
Kawasan ini merupakan tempat tadahan air ketika era pendudukan British.

Ia kini dijadikan taman untuk aktiviti rekreasi dan mendayung.
Pengunjung juga boleh berehat di kawasan ini sambil memberi makan ikan yang terdapat di dalam tasik.
Waktu operasi adalah setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang.










