Jangkitan cacing jejas tumbesaran kanak-kanak

Jangkitan cacing jejas tumbesaran kanak-kanak

KEHADIRAN cacing dalam perut dan usus menyebabkan nutrien dalam makanan diserap oleh parasit berkenaan, sekali gus mengurangkan zat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IBU bapa sering memandang ringan tentang anak-anak yang tidak mempunyai selera makan kerana menganggap ia sekadar fasa biasa dalam tumbesaran.

Namun, tanpa disedari, masalah itu boleh menjadi petanda kepada isu kesihatan yang lebih serius, termasuk jangkitan cacing dalam badan.

Pakar perubatan kesihatan awam dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, jangkitan cacing berlaku apabila parasit memasuki tubuh manusia dan hidup di dalam usus atau organ lain seperti paru-paru, otak, mata serta otot.

Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh

“Jangkitan ini boleh berlaku dalam bentuk telur, larva (cacing muda) atau cacing dewasa. Kebiasaannya, cacing hidup di dalam usus, namun dalam keadaan tertentu ia boleh bermigrasi ke organ lain, termasuk dalam kalangan kanak-kanak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, najis individu yang dijangkiti lazimnya mengandungi telur atau larva cacing dan boleh menjadi punca penularan sekiranya kebersihan tidak dijaga.

Penularan boleh berlaku melalui air banjir, persekitaran tercemar dengan najis, serta amalan tidak membasuh tangan dengan sabun selepas menggunakan tandas.

“Haiwan ternakan seperti babi, lembu, ikan dan biri-biri juga boleh dijangkiti cacing. Manusia berisiko mendapat jangkitan sekiranya memakan daging mentah atau tidak dimasak dengan sempurna seperti steak separuh masak atau sushi,” jelasnya.

Antara jenis jangkitan cacing yang biasa berlaku ialah cacing gelang, cacing cambuk, cacing benang, cacing bulat dan cacing pita.

Kurang zat

Kehadiran cacing dalam perut dan usus menyebabkan nutrien dalam makanan diserap oleh parasit berkenaan, sekali gus mengurangkan zat yang diperlukan oleh tubuh.

“Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak menjadi lemah, pucat, kurang selera makan dan mudah jatuh sakit,” katanya.

Dalam kes yang lebih serius, jangkitan cacing boleh menyebabkan kekurangan darah (anemia), malnutrisi, penurunan berat badan, sembelit, obstruksi usus, muntah, demam serta cacing keluar melalui mulut atau najis dalam keadaan ekstrem.

Katanya, sekiranya cacing berhijrah ke organ lain seperti otak, pesakit boleh mengalami simptom lebih serius seperti sakit kepala berpanjangan, muntah dan sawan.

Sukar dikesan

Beliau berkata, jangkitan cacing pada peringkat awal atau ringan mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom, menyebabkan ramai ibu bapa terlepas pandang.

“Oleh itu, pemeriksaan lanjut diperlukan seperti ujian darah untuk melihat peningkatan komponen alergi atau eosinofil, ujian immunoassay berkaitan enzim (ELISA), serta pemeriksaan najis untuk mengesan telur atau larva cacing menggunakan skop,” katanya.

JANGKITAN cacing boleh menyebabkan anemia, malnutrisi, sembelit.

Dalam kes tertentu, kehadiran cacing boleh dikesan secara langsung melalui prosedur skop usus atau perut.

Rawatan

Menurut Dr. Sharifa Ezat, rawatan antiparasit boleh diberikan kepada pesakit berusia enam bulan ke atas, dengan dos mengikut berat badan dan umur.

“Rawatan ini biasanya diberikan setiap enam bulan. Selepas cacing mati, selera makan kanak-kanak akan kembali pulih, bergantung kepada tahap teruk jangkitan,” jelasnya.

Katanya, walaupun kadar jangkitan cacing pada masa kini tidak setinggi dahulu, ia masih menjadi masalah di kawasan tertentu.

“Jangkitan cacing sangat tinggi disebabkan tahap kebersihan yang rendah, seperti tidak memakai kasut, buang air merata-rata serta ketiadaan sistem kumbahan yang baik dengan jangkitan masih tinggi di kawasan tertentu seperti penempatan Orang Asli dan kawasan dengan kepadatan warga asing,” katanya.

Langkah pencegahan

Ibu bapa disaran mengambil langkah pencegahan bagi melindungi anak-anak daripada jangkitan cacing.

Antaranya termasuk mengelakkan kanak-kanak bermain di air banjir atau kawasan ternakan haiwan, memastikan air minuman dimasak, serta mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran dengan bersih sebelum dimakan.

“Amalan tidak memakan daging atau ikan mentah juga penting kerana telur atau cacing tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” katanya.

Justeru, ibu bapa perlu memantau berat badan anak secara berkala dan mendapatkan nasihat doktor sekiranya tumbesaran anak terbantut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN