Minat golongan muda terhadap emas kini bukan lagi sekadar trend bermusim, sebaliknya semakin kukuh sebagai gaya hidup dan instrumen simpanan.
Jika dahulu emas sering dikaitkan dengan generasi lebih berusia, hari ini anak muda pula semakin celik melihat nilainya sebagai pelaburan jangka panjang.
Perubahan sikap itu turut diperakui oleh Habib Jewels yang menyaksikan peningkatan ketara pembeli muda dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Golongan ini bukan sahaja membeli untuk bergaya, tetapi memahami nilai emas sebagai aset yang mampu mengekalkan kuasa beli.
Pengarah Urusan Habib Jewels, Meer Sadik Habibe berkata, generasi muda hari ini mahukan sesuatu yang ringkas, versatil dan mudah dipadankan dengan pelbagai gaya harian.

“Mereka cenderung memilih rekaan yang ringkas tetapi ada karakter tersendiri. Moden, kemas dan tidak terlalu sarat, namun tetap mempunyai nilai,” jelasnya.
Menyedari perubahan cita rasa itu, Habib tampil dengan koleksi minimalis bagi menggalakkan lebih ramai anak muda memiliki emas. Rekaan yang diperkenalkan menampilkan sentuhan halus, ringan dan praktikal untuk dipakai setiap hari sama ada ke pejabat, majlis santai mahupun acara formal.
Meer Sadik berkata, pendekatan minimalis tersebut bukan bermaksud mengurangkan kualiti. Sebaliknya, setiap perincian diberi perhatian rapi dengan standard mutu tinggi yang menjadi identiti jenama itu sejak sekian lama.
Katanya, selain emas kuning tradisional, pilihan emas putih 916 serta rekaan kontemporari dengan kemasan buatan Itali turut menjadi tarikan utama.
Elemen moden ini menjadikan emas lebih dekat dengan jiwa generasi baharu.

“Koleksi terhad yang diperkenalkan menambah nilai eksklusif kepada setiap rekaan. Ia menjadikan pembelian bukan sekadar transaksi biasa, tetapi satu pengalaman memiliki item koleksi yang istimewa.
“Fenomena ini membuktikan emas tidak lagi dilihat sebagai perhiasan klasik semata-mata. Dalam kalangan anak muda, ia kini menjadi simbol kebijaksanaan mengurus kewangan tanpa perlu mengorbankan gaya,” katanya.
Dengan strategi rekaan minimalis yang selari dengan kehendak semasa, Habib Jewels bukan sahaja mengukuhkan kedudukan dalam pasaran, malah berjaya mendekatkan emas kepada generasi baharu yang semakin yakin menjadikannya sebahagian daripada gaya hidup mereka.
Songket jadi taruhan Syawal 2026
Bagi Syawal tahun ini, Habib Jewels melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan koleksi terbaharu yang diinspirasikan daripada motif songket tradisional seperti bunga ros dan tampuk manggis.
Ilham warisan ini diterjemahkan dalam bentuk rekaan emas yang lebih segar dan kontemporari, sesuai dengan cita rasa generasi masa kini, selain menampilkan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza sebagai duta rasminya.

Meer Sadik berkata, gabungan elemen klasik dan moden itu membuktikan tradisi tidak pernah ketinggalan zaman.
Sebaliknya, ia boleh diolah menjadi fesyen moden yang kekal relevan, sama ada digayakan bersama busana raya tradisional mahupun padanan lebih minimalis.
Sentuhan motif songket yang diperincikan secara halus memberi karakter tersendiri pada setiap helaian rekaan. Ia bukan sekadar cantik dipandang, tetapi sarat dengan makna budaya yang dekat dengan identiti masyarakat tempatan.

Selain menjual, syarikat itu juga menawarkan perkhidmatan membeli semula emas lama mengikut harga semasa. Langkah tersebut memberi fleksibiliti kepada pelanggan yang ingin menukar rekaan atau mencairkan aset mereka apabila perlu.
Menariknya, walaupun harga emas semakin meningkat, inovasi dalam teknik pembuatan membolehkan rekaan dihasilkan dalam bentuk yang tampak lebih besar tetapi ringan.
Hasilnya, pelanggan masih boleh memiliki rekaan eksklusif tanpa perlu membayar harga terlalu tinggi berdasarkan berat semata-mata.
Bagi pelanggan lelaki pula, koleksi perak dan platinum disediakan sebagai alternatif, khususnya untuk Muslim yang tidak dibenarkan memakai emas. Pendekatan inklusif ini memastikan setiap pelanggan tetap berpeluang menikmati sentuhan elegan jenama tersebut.










