Fotografi lama jadi wadah raikan kasih sayang keluarga

Fotografi lama jadi wadah raikan kasih sayang keluarga

Hasil karya ini dihasilkan selepas melalui tracing dan rendering, diimbas serta dicetak semula di atas kertas graf, menjadi ruang dialog antara memori lama dan interpretasi seni kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAJAR tahun akhir dari Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Zain Ahmad Fahim bin Zain Latiff, anak kelahiran Klang, Selangor, memilih untuk kembali kepada sesuatu yang sangat peribadi iaitu album lama milik ibu dan bapanya.

Di sebalik helaian plastik yang menyimpan memori silam, dia menemukan bukan sekadar gambar, tetapi serpihan kasih sayang yang tetap utuh walaupun waktu berlalu. Setiap imej seolah menyimpan suara yang tidak terdengar namun mampu menyentuh hati dan membentuk ingatan kolektif keluarga.

Bertitik tolak daripada pemahaman fotografi bukan sekadar rakaman visual tetapi dokumen emosi yang mengekalkan rasa dan hubungan, Zain melihat potensi imej lama sebagai medium untuk memperkayakan naratif tentang cinta seorang ibu terhadap anak-anaknya.

Zain Ahmad Fahim Zain Latiff menghasilkan karya Artistic Expression of Mother Through Love dengan menelusuri helaian album lama milik ibu bapanya.

Melalui karya bertajuk Artistic Expression of Mother Through Love, dia mengangkat gambar-gambar lama ke dimensi baharu.

Fotografi tidak lagi sekadar bahan kenangan tetapi ditafsir, diolah semula dan dihidupkan kembali melalui pendekatan artistik yang segar, menjadikannya dialog visual antara masa lalu dan masa kini.

Proses kreatif bermula dengan pemilihan foto daripada album keluarga, diikuti tracing untuk menelusuri garis-garis memori yang hampir pudar dan rendering untuk mewarnakan semula imej agar visual yang suram kembali hidup.

Proses penyediaan instalasi karya Artistic Expression of Mother Through Love dihasilkan melalui susunan imej dalam fail poket lutsinar yang diinspirasikan daripada album lama, menzahirkan memori keluarga.

Proses ini bukan sekadar teknikal tetapi penghormatan terhadap detik silam yang membentuk identiti diri.

Karya kemudian diimbas dan dicetak semula di atas kertas graf, menjadikan setiap helaian sebagai ruang dialog antara masa lalu dan kini.

Antara karya paling menyentuh ialah potret dirinya semasa kecil melalui proses retrace dan rerendering. Imej ini menghubungkan dua fasa kehidupan: seorang anak kecil dalam memori dan seorang anak dewasa yang menafsir makna kasih ibu dengan lebih mendalam.

Gambar diangkat sebagai medium yang berbicara tentang hubungan, pengorbanan dan keikhlasan tanpa balasan.

Kemuncak projek ini diterjemahkan melalui instalasi yang mempamerkan gambar asal bersama interpretasi artistiknya. Imej disusun dalam fail poket lutsinar, diinspirasikan daripada album lama sebagai simbol ruang memori keluarga.

Potret Zain kecil dihidupkan semula melalui retrace dan rerendering, menyingkap kasih ibu yang tersimpan dalam memori. Setiap warna dan garis menjadi dialog antara masa lalu dan kini.

Ketelusan material itu membawa makna ketulusan kasih sayang dan kejujuran hubungan antara ibu dan anak.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Fotografi Dan Pengimejan Kreatif, Fakulti Seni Lukis Dan Seni Reka, UiTM, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN