Barat raikan baby shower, Melayu santuni tradisi berendoi

Barat raikan baby shower, Melayu santuni tradisi berendoi

SABARIAH Saidan menggunting rambut bayi sempena program Berendoi di Jerantut baru-baru ini. – UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia moden hari ini, ramai pasangan muda lebih mengenali baby shower berbanding berendoi sedangkan dalam tradisi Melayu, berendoi dan marhaban bukan sekadar adat menyambut kelahiran, tetapi simbol doa, kasih sayang dan pengukuhan hubungan komuniti.

Menyedari warisan ini kian dilupakan, Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Daerah Jerantut (KUSSIJ) tampil menghidupkan kembali tradisi tersebut melalui Majlis Berendoi Perdana yang berlangsung meriah di Dewan Hana Garden, Jerantut, baru-baru ini.

Program itu bukan sekadar meraikan kelahiran bayi, malah menjadi ruang sokongan buat ibu-ibu muda. Di sinilah mereka berkongsi cerita, belajar ilmu penyusuan, dan menyelami semula cara tradisional mendodoikan anak dalam suasana penuh keberkatan.

Majlis berkenaan dirasmikan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Sabariah Saidan yang menyifatkan penganjuran program seperti ini sebagai wadah penting memperkasakan golongan ibu, khususnya yang baru pertama kali menimang cahaya mata.

Katanya, berendoi bukan hanya acara simbolik, tetapi medium mengeratkan ukhuwah sesama ibu dalam komuniti.

“Kita mahu ibu-ibu saling menyokong, berkongsi pengalaman dan membina keyakinan dalam membesarkan anak,” katanya.

Seramai 12 ibu muda diraikan kali ini, mewakili enam bayi lelaki dan enam bayi perempuan. Setiap bayi didodoikan secara simbolik di atas buaian kecil, tanda kesyukuran keluarga serta doa agar anak membesar menjadi insan soleh dan berjaya.

Dalam masa sama, penekanan turut diberikan kepada kepentingan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan pertama.

Sabariah berkata, penyusuan awal bukan sahaja membantu tumbesaran bayi, malah meningkatkan daya tahan tubuh secara semula jadi.

Majlis ini turut menggabungkan ilmu tradisi dan pendekatan moden penjagaan bayi. Ibu-ibu bukan sahaja menyaksikan adat berendoi, malah diberi panduan praktikal tentang teknik mendodoikan bayi dengan penuh kasih sayang dan kesedaran.

Acara potong jambul turut dilaksanakan mengikut adat tradisi. Rambut bayi yang dipotong dimasukkan ke dalam kelapa muda yang ditebuk di bahagian atas, simbol doa, keberkatan dan kesinambungan adat Melayu. Ada juga ibu bapa yang mengambil peluang menderma wang tunai atau emas sebagai lambang harapan rezeki yang melimpah buat si kecil.

Majlis juga diserikan dengan kehadiran kumpulan Marhaban Semarak Kampung Teh yang mengalunkan selawat dan zikir munajat. Dipimpin Che Noraizie Che Yusof, alunan marhaban bergema lembut, menyentuh hati para hadirin.

Menurut Che Noraizie, marhaban bukan sekadar hiburan tradisional. Ia adalah medium menyampaikan doa, kasih sayang dan ketenangan kepada ibu serta bayi.

“Setiap bait selawat memberi semangat kepada ibu dan mengingatkan kita tentang nilai kesyukuran serta ukhuwah,” ujarnya.

Pengerusi KUSSIJ, Datuk Siti Hajar Mubim berkata, pihaknya komited menyediakan khidmat nasihat, perkongsian pengalaman dan jaringan bantuan kepada ibu yang berdepan cabaran penyusuan.

Program seperti ini juga membuka ruang ‘networking’ sokongan sesama ibu. Hubungan yang terjalin bukan sahaja menguatkan semangat, malah membina komuniti kecil yang saling memahami cabaran dunia keibuan.

Dalam suasana penuh berkat, ibu-ibu muda berpeluang merasai pengalaman tradisi yang semakin jarang dianjurkan. Ia membuktikan adat lama masih relevan, asalkan diberikan nafas baharu yang sesuai dengan zaman.

Majlis turut menekankan pembinaan institusi keluarga bermula seawal kelahiran iaitu melalui pemakanan terbaik, kasih sayang mencukupi dan penerapan nilai positif sejak kecil.

Keseluruhannya, program ini membuktikan walaupun dunia bergerak dalam arus kemodenan yang serba pantas dan dipacu teknologi, nilai tradisi serta semangat sokongan komuniti tetap menjadi tunjang utama dalam membentuk generasi bukan sahaja sihat fizikal, malah sejahtera dari sudut emosi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN