SOALAN:
Perlu ke saya beritahu rakan sekerja tentang keadaan saya yang menghidap Bipolar Disorder atau lebih baik saya pendamkan supaya tidak hidup dalam ketakutan?
Pemuda takut
JAWAPAN:
Menghidap Bipolar Disorder bukan sesuatu yang mudah untuk dipikul, apatah lagi apabila perlu bekerja dan berinteraksi setiap hari dengan rakan sekerja. Ketakutan terhadap stigma, salah faham dan pandangan serong masyarakat sangat menakutkan. Dilema sama ada mahu berterus terang atau memendam sendiri untuk menjaga keselamatan emosi, kestabilan kerja dan kesejahteraan diri.
Oleh itu, disertakan beberapa panduan untuk anda:
Fahami keadaan diri
Kesihatan mental adalah isu peribadi. Anda tidak perlu memberi penjelasan kepada sesiapa kecuali anda sendiri merasakan ia perlu. Memilih untuk tidak berkongsi bukan bermaksud anda menipu, tetapi merupakan cara untuk anda melindungi diri agar rasa lebih selamat apabila berada di tempat kerja.
Persekitaran kerja
Tanya diri adakah persekitaran kerja disini selamat? Adakah rakan sekerja terbuka dengan isu kesihatan mental atau mereka tidak mudah menghakimi? Sekiranya ya, maka boleh teruskan niat anda, namun jika tidak, simpan sahaja kerana kejujuran hanya sesuai di ruang kerja yang matang dan profesional.
Pilih Individu (jika perlu)
Jika simptom yang anda hadapi boleh menjejaskan rutin kerja anda, pertimbangkan untuk memaklumkan kepada individu tertentu seperti HR, penyelia atau kaunselor. Cukup hanya individu tertentu sahaja mengetahui. Tidak perlu memberitahu rakan sekerja yang lain.
Perkongsiaan umum
Anda boleh berkongsi isu kesihatan mental dengan rakan sekerja sebagai pengetahuan mereka (jika perlu). Elakkan daripada menyebut nama penyakit seperti Bipolar Disorder. Cukup dengan ayat seperti “Saya sedang menjalani rawatan kesihatan dan ada hari-hari tertentu emosi saya tidak stabil” ia bertujuan melindungi privasi anda tanpa perlu rasa bersalah.
Jangan memendam
Memendam perasaan sendiri boleh menyebabkan tekanan berganda dan keletihan emosi berpanjangan. Oleh itu, pastikan anda mendapat sokongan di luar tempat kerja seperti doktor, kaunselor, keluarga atau rakan yang selamat.
Fokus kekuatan diri
Walaupun hidup dengan bipolar disorder, ia tidak mengehadkan anda untuk mengembangkan potensi diri untuk menjadi orang yang berjaya. Cabaran ini hanyalah sebahagian daripada perjalanan hidup yang akan membantu anda untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
Kesimpulannya, jangan paksa diri menjadi berani di tempat yang tidak selamat. Lindungi diri kerana anda berhak bekerja tanpa perlu hidup dalam ketakutan.










