Sudah 20 ditahan junta, masih hidupkah Aung San Suu Kyi?

Sudah 20 ditahan junta, masih hidupkah Aung San Suu Kyi?

AUNG SAN SUU KYI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASIH hidup atau sudah meninggal dunia? Nasib pejuang demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang sudah menghabiskan 20 tahun hidupnya dalam tahanan di Myanmar, termasuk lima tahun daripadanya sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 menimbulkan persoalan.

Sehingga kini, tiada maklumat diketahui mengenai kesihatan beliau atau keadaan hidupnya, walaupun Suu Kyi dipercayai ditempatkan di penjara tentera di ibu negara Naypyidaw.

“Setahu saya, dia mungkin sudah meninggal dunia,” dakwa anaknya, Kim Aris, bulan lalu walaupun jurucakap junta menegaskan Suu Kyi berada dalam keadaan sihat.

Beliau tidak berjumpa dengan peguamnya kira-kira selama dua tahun, dan dikatakan tidak pernah bertemu sesiapa kecuali kakitangan penjara.

Selepas rampasan kuasa, beliau dihukum penjara selama 27 tahun bagi dakwaan yang dianggap sebagai tuduhan palsu.

Walaupun Suu Kyi hilang daripada pandangan umum, pengaruhnya masih meninggalkan kesan besar ke atas Myanmar.

Terdapat desakan berulang kali untuk pembebasannya, berserta rayuan kepada jeneral tentera supaya menghentikan kempen menentang pembangkang bersenjata dan berunding untuk menamatkan perang saudara yang kini berlarutan selama lima tahun.

Pihak junta berusaha menghapuskan imej Suu Kyi yang pernah wujud di mana-mana, tetapi poster-poster pudar ‘The Lady’ atau Amay Su, masih boleh dilihat di sudut tersembunyi.

Mampukan Suu Kyi sekali lagi memainkan peranan dalam menyelesaikan konflik antara tentera dan rakyat seperti sebelum ini?

Pada 2010, tentera berkuasa hampir 50 tahun, menumpaskan pihak pembangkang dengan ganas dan merosakkan ekonomi negara.

Seperti sekarang, junta mengadakan pilihan raya umum yang mengecualikan Liga Kebangsaan untuk Demokrasi pimpinan Suu Kyi, sambil memastikan parti proksi mereka sendiri, USDP, menang.

Sebagaimana pilihan raya sekarang, proses demokrasi pada 2010 juga anggap sebagai sandiwara oleh kebanyakan negara. Namun, pada penghujung tahun itu, Suu Kyi dibebaskan, dan dalam masa 18 bulan beliau dipilih sebagai ahli Parlimen.

Menjelang 2015, partinya memenangi pilihan raya bebas pertama sejak 1960, dan beliau menjadi pemimpin de facto negara.

REPUTASI POLITIK TERJEJAS

15 tahun Suu Kyi ditahan selepas 1989, di bawah tahanan rumah di kediaman keluarganya berhampiran tasik di Yangon, sangat berbeza dengan keadaan beliau ditahan sekarang.

Penentangannya yang bermaruah dan tanpa kekerasan memenangi hati penyokong di Myanmar serta seluruh dunia, dan ketika diberi kebebasan sementara oleh tentera, beliau mampu menyampaikan ucapan penuh bersemangat dari pintu rumahnya atau ditemu bual wartawan.

Hari ini, beliau seolah-olah hilang daripada pandangan. Keyakinannya terhadap perjuangan tanpa kekerasan ditolak oleh penentangan bersenjata, yang berpendapat mereka mesti berjuang menamatkan peranan tentera dalam politik Myanmar.

Bahkan, reputasi politik Suu Kyi sebelum ditangkap turut terjejas selepas beliau mengetuai pembelaan Myanmar terhadap tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kekejaman tentera ke atas etnik minoriti Rohinya.

Isu melibatkan etnik Islam itu menjejaskan imej antarabangsa Suu Kyi, yang sebelum ini dianggap suci.

Ia kurang mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Myanmar, namun ramai aktivis pembangkang muda bersedia mengecam cara beliau menangani krisis Rohingya.

Pada usia 80 tahun dan dengan kesihatan yang tidak menentu, tidak jelas sejauh mana pengaruh Suu Kyi mampu bertahan sekiranya dibebaskan.

Namun, perjuangan panjang beliau menentang pemerintahan junta menjadikannnya simbol kepada semua harapan untuk masa depan yang lebih bebas dan demokratik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×