Kepercayaan barang lama ada ‘penunggu’ dalam budaya Melayu

Kepercayaan barang lama ada ‘penunggu’ dalam budaya Melayu

SETIAP objek lama, sama ada sehelai kain, sebilah keris atau peti kayu pusaka bukan barang material semata-mata, tetapi sebagai simbol hubungan manusia dengan masa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPERCAYAAN barangan lama mempunyai ‘tuan’ merupakan warisan budaya yang sudah lama berakar dalam masyarakat Melayu. Ia bukan sekadar kisah mistik atau dongeng lama, sebaliknya mencerminkan cara masyarakat menghargai sejarah, adat serta peninggalan nenek moyang.

Setiap objek lama, sama ada sehelai kain, sebilah keris atau peti kayu pusaka tidak dilihat sebagai barang material semata-mata, tetapi sebagai simbol hubungan manusia dengan masa lalu, tempat asal dan alam sekeliling.

Kepercayaan ini menekankan nilai budaya, adab serta tanggungjawab dalam memelihara warisan, yang terus diwarisi dan dijaga merentas generasi.

Dalam pandangan masyarakat Melayu tradisional, menghormati barangan lama bukan sekadar amalan fizikal, tetapi satu bentuk pendidikan tidak formal yang menanam rasa hormat, kesabaran dan tanggungjawab sosial dalam diri setiap individu.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr Mohd. Roslan Rosnon berkata, barangan lama yang digunakan dalam tempoh panjang atau diwarisi secara turun-temurun sering dianggap menyimpan memori, nilai sejarah, dan pengalaman penting.

MOHD. ROSLAN ROSNON

“Pemahaman ini menjadikan objek lama bukan sekadar benda mati, tetapi entiti yang mempunyai ‘tuan’ dalam pengertian simbolik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun zaman kini serba moden dan rasional, kepercayaan seperti ini masih kekal hidup dalam ingatan kolektif masyarakat.

Dari sudut antropologi budaya, cerita barangan lama ada ‘tuan’ lahir daripada cara orang Melayu tradisional melihat dunia iaitu apabila manusia, alam, dan objek sekeliling saling berkait dan memberi makna.

Hubungan ini mengajar masyarakat untuk menghargai sejarah, memahami nilai benda pusaka, dan membina rasa identiti serta kesinambungan budaya yang kuat.

Katanya, kepercayaan itu bukan hanya menyentuh aspek spiritual, tetapi menjadi medium untuk menghubungkan generasi sekarang dengan pengalaman nenek moyang.

“Ia memupuk rasa hormat terhadap masa lalu, memelihara nilai warisan, dan mengingatkan kita bahawa setiap objek mempunyai cerita dan makna tersendiri yang patut dijaga dengan penuh adab,” katanya.

WARISAN HUBUNGKAN GENERASI

Dr. Mohd. Roslan berkata, kepercayaan ini mendidik masyarakat supaya menghargai peninggalan nenek moyang dan memahami nilai benda pusaka sebagai sebahagian daripada identiti budaya.

Ia juga membantu menghubungkan generasi muda dengan sejarah keluarga dan budaya lebih luas.

Katanya, dalam konteks muzium dan pemeliharaan warisan moden, kepercayaan tradisional ini perlu ditangani secara seimbang. Muzium harus menghormati pandangan masyarakat tanpa mengorbankan pendekatan saintifik.

“Muzium tidak perlu mengesahkan atau menafikan kewujudan unsur ghaib. Sebaliknya, kepercayaan ini boleh dijelaskan sebagai sebahagian daripada konteks sejarah dan budaya masyarakat yang melahirkannya,” katanya.

Pendekatan interpretatif ini membolehkan masyarakat memahami kepercayaan tradisional secara kritikal dan berilmu.

Ia mengajar warisan bukan sekadar objek, tetapi entiti yang memerlukan penghormatan dan tanggungjawab.

SIMBOL, PENDIDIKAN BUDAYA

Kepercayaan mistik terhadap artifak lama berpotensi meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap warisan kerana ia menimbulkan hubungan emosi dan rasa hormat terhadap sejarah.

Namun, tanpa pemahaman yang betul, kepercayaan ini boleh disalah tafsir sebagai tahyul. Pendidikan budaya yang kritikal penting untuk membimbing generasi muda memahami nilai dan makna warisan.

Dr. Mohd. Roslan berkata, manusia, objek lama dan alam ghaib merupakan sebahagian daripada hubungan simbolik yang kompleks. Dalam konteks ini, objek lama berfungsi sebagai entiti budaya yang membawa memori kolektif dan identiti masyarakat.

Istilah seperti ‘berpenunggu’, ‘bertuan’ dan ‘penjaga’ berfungsi sebagai bahasa budaya yang menetapkan sempadan adab dan rasa hormat terhadap sesuatu objek atau tempat.

Perkara ini bukan semata-mata merujuk kepada makhluk ghaib, tetapi melambangkan pemilikan simbolik dan nilai sosial.

“Bahasa budaya ini membantu membentuk sempadan moral agar barangan bersejarah tidak diperlakukan secara sewenang-wenangnya.

“Ia berfungsi sebagai kawalan sosial yang mengajar masyarakat bertanggungjawab terhadap warisan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×