Junk Journaling bawa Suraya imbau kenangan

Junk Journaling bawa Suraya imbau kenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGUMPUL barangan terpakai seperti cup sleeve, pembungkus minuman, kotak kecil, beg kertas dan plastik, brosur, resit, katalog serta tag harga bukan sekadar hobi bagi Nur Suraya Hani

Zulkarnain, 28, sebaliknya menjadi cara untuk menelusuri kenangan yang tersimpan di sebalik setiap satu daripadanya.

“Setiap benda yang saya simpan macam kapsul masa. Bila buka semula jurnal lama, saya boleh ingat balik apa yang saya buat pada hari itu,” katanya kepada Seri.

Aktiviti ini memberi kepuasan yang sukar digambarkan bukan sahaja kerana halaman jurnal cantik dihias, tetapi kerana setiap item menyimpan kenangan dan emosi hariannya.

Zaman ramajanya, Suraya tidak pernah mempelajari seni secara formal kerana latar akademiknya dalam bidang sains, khususnya kimia.

Namun sejak 2018, minatnya terhadap journaling mula serius, berkembang daripada menulis bullet journal kepada mengumpul dan menampal barangan terpakai sebagai medium kreativiti.

Aktiviti itu menjadi cara Suraya mengekspresikan diri, menenangkan fikiran dan menghargai setiap momen kecil dalam hidup.

Simpan yang penting

Pada mulanya, dia menyimpan hampir semua benda yang ditemuinya.

Suraya hanya menyimpan barang yang mempunyai nilai seni tersendiri sama ada kerana teksturnya yang unik, coraknya yang cantik atau materialnya yang menarik.

Sejak daripada itu biliknya penuh dengan kotak-kotak kecil, namun baginya setiap item mempunyai cerita tersendiri.

Lama-kelamaan, dia belajar menapis dan menyimpan bahagian yang menarik sahaja untuk ditampal dalam jurnal, supaya ruang bilik tidak berselerak.

“Dulu saya simpan semua, tapi sekarang saya tahu apa yang ada potensi untuk dipakai. Biasanya saya potong bahagian yang cantik sahaja, cukup untuk ditampal,” katanya.

Katanya, aktiviti menampal dan menyusun ini biasanya dilakukan pada waktu siang kerana cahaya terang membantunya melihat setiap benda dengan jelas.

Proses memilih elemen menarik ini bukan sahaja menambah nilai estetika, tetapi juga membentuk pendekatan kreatif tersendiri.

Setiap halaman menjadi peluang untuk bereksperimen, kadang spontan, kadang dirancang, tetapi tetap meninggalkan rasa seronok apabila selesai.

Katanya, walaupun ada halaman yang kurang memuaskan, dia tidak berasa kecewa kerana ia sebahagian daripada proses pembelajaran kreatif.

Sumber inspirasi Suraya datang daripada beberapa platform seperti TikTok, Instagram dan Pinterest.

Dari situ, dia boleh melihat idea kreator dari seluruh dunia, berinteraksi dan belajar teknik baharu tanpa perlu menghadiri sesi secara fizikal.

Walaupun belum menyertai kelas dan kumpulan secara bersemuka, komuniti maya membolehkan Suraya berkongsi pengalaman, mendapat maklum balas dan terus berkembang dalam dunia journaling.

Aktiviti ini membolehkan dia belajar mengenai gaya, teknik dan cara pengolahan halaman yang berbeza-beza.

Hobi ini turut membangkitkan kesedarannya terhadap kitar semula dan penggunaan semula bahan terpakai.

Suraya kini lebih menghargai barang-barang sekeliling dan menggunakan semula bahan terpakai, mengurangkan keperluan membeli peralatan baru.

“Kalau dulu saya buang sahaja, sekarang saya fikir, boleh guna semula benda yang ada, saya selalu gunting daripada majalah lama atau bungkusan barangan,” katanya.

Aktiviti ini secara tidak langsung mengajarnya menghargai sumber dan mengurangkan pembaziran.

Kepuasan yang tidak terhingga

Baginya, kepuasan terbesar datang daripada proses itu sendiri dan melihat hasil akhir.

Aktiviti menampal dan menyusun memberikannya rasa satu pencapaian dan kegembiraan peribadi.

Halaman yang siap dihias bukan sahaja menyimpan kenangan, malah memberi ruang untuk ekspresi kreativiti sendiri.

“Kalau saya ikut inspirasi orang lain pun, saya tetap olah ikut cara sendiri. Kadang-kadang spontan buat sesuatu yang baharu,” katanya.

Jika halaman tidak menjadi seperti yang dirancang, ia bukan satu tekanan untuknya malah dia akan mencuba pada halaman lain atau membuat semula.

Setiap jurnalnya juga menjadi rekod perjalanan hidup, dengan setiap halaman merekodkan momen-momen tertentu dalam kehidupan harian.

Hobi ini turut mendapat sokongan daripada keluarganya.

Kakaknya, adalah pencetus idea awal, manakala ibunya turut membantu menyimpan barangan menarik sebelum dibuang.

“Kalau mereka jumpa bungkusan cantik, mesti tanya dulu. Kalau nak, mereka simpan untuk saya,” katanya.

Sokongan keluarga ini membolehkan Suraya terus mengekalkan hobi tanpa rasa terganggu atau dibatasi ruang.

Suraya turut aktif dalam komuniti dalam talian yang membolehkannya berhubung dengan pencinta journaling lain di seluruh dunia.

Aktiviti ini membuka peluang untuk berkongsi idea, belajar teknik baharu dan menambah inspirasi, seiring dengan perkembangan kreativitinya.

Ruang minda

Lebih daripada sekadar hobi kreatif, aktiviti journaling menjadi ruang terapi minda bagi Suraya.

ANTARA koleksi junk journaling yang dihasilkan oleh Nur Suraya Hani.

Proses gunting dan tampal, memilih corak serta menyusun halaman merupakan kerja fizikal yang membuatkan fikirannya tenang.

Katanya, perbuatan itu terasa menenangkan, terutama apabila dilakukan sambil ditemani muzik tanpa gangguan.

Suraya mengakui pada awalnya dia tidak terus berasa tenang, namun semakin lama, journaling berubah menjadi masa peribadinya untuk menenangkan fikiran, mengurangkan tekanan dan melarikan diri seketika daripada keadaan sekeliling.

Aktiviti seni dan kraftangan sememangnya dekat dengan dirinya dan junk journaling menjadi salah satu bentuk ekspresi bebas tanpa tekanan dan tanpa keperluan mengejar kesempurnaan.

“Junk journaling tak ada betul atau salah. Bahan-bahannya murah, mudah diakses dan hanya perlu masuk akal kepada orang yang buat. Itu yang buat saya suka,” katanya.

Memilih barang terpakai sebagai bahan utama juga memberi makna tambahan.

Menurutnya, journaling bukan sahaja mengurus tekanan, malah membantu melatih fokus dan kesabaran.

Setiap muka surat memerlukan masa untuk dipenuhkan dan proses itu membuatkan dia terbiasa memberi tumpuan lebih lama serta “trust the process” daripada tergesa-gesa mahu cepat siap.

Aktiviti ini juga meningkatkan kreativiti kerana dia perlu memikirkan cara baharu menggunakan barang terpakai, misalnya beg kertas menjadi sampul atau mengubah kotak kek menjadi poket kecil di dalam jurnal.

Apabila satu halaman siap dihias, Suraya merasakan kombinasi rasa gembira, puas hati dan kadang-kadang bangga.

Baginya, hadiah sebenar bukan pada hasil yang sempurna, tetapi pada hakikat dia berpeluang meluangkan masa untuk diri sendiri dan menghasilkan sesuatu walaupun tidak semua hasil menimbulkan rasa sempurna setiap masa.

Dilakukan secara konsisten, journaling memberi kesan positif terhadap caranya melihat kehidupan.

Suraya mengakui dia kini lebih menghargai perkara-perkara kecil, menemukan kegembiraan dalam hal remeh dan berfikir dengan lebih jelas setelah meluahkan beban emosi ke halaman kertas.

Dengan rutin yang fleksibel dan minat mendalam, Suraya membina sebuah dunia mini melalui jurnalnya, dengan setiap barang terpakai berubah menjadi memori, kreativiti dan terapi peribadi yang sederhana namun bermakna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×