Gaji rendah, banyak hutang cetus masalah mental pekerja

Gaji rendah, banyak hutang cetus masalah mental pekerja

TAHAP stres tinggi boleh mencetuskan masalah kemurungan, kebimbangan serta konflik dalam keluarga dan di tempat kerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU gaji rendah, hutang dan peningkatan kos sara hidup dikenal pasti sebagai antara punca utama krisis kesihatan mental dalam kalangan pekerja di Malaysia.

Tekanan kewangan yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan individu, malah memberi kesan besar terhadap keharmonian keluarga, produktiviti pekerja serta prestasi organisasi secara keseluruhan.

Dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar, ramai pekerja terperangkap dalam kitaran hidup menekan apabila pendapatan bulanan gagal menampung keperluan asas.

Kesan tekanan ini sering tidak kelihatan secara fizikal, namun memberi impak besar terhadap emosi, pemikiran dan kesihatan mental seseorang pekerja.

Timbalan Pengerusi Majlis Rundingan Gaji Negara, Rajeswari Karupiah berkata, gaji minimum yang diterima oleh kebanyakan pekerja pada masa ini tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup sebenar.

RAJESWARI KARUPIAH

Katanya, terdapat pekerja yang masih menerima gaji minimum sama sejak mula bekerja, termasuk mereka yang menyumbang kemahiran, pengalaman serta kepakaran profesional.

“Apabila graduan, jurutera, doktor, juruteknik mahir dan kakitangan profesional hanya dibayar sedikit melebihi gaji minimum, ia memberi gambaran struktur perniagaan itu sendiri mungkin sudah ketinggalan zaman.

“Kebergantungan berlebihan kepada tenaga buruh murah tanpa usaha meningkatkan kecekapan dan produktiviti akhirnya mewujudkan kitaran gaji rendah yang berpanjangan, sekali gus meningkatkan tekanan hidup dalam kalangan pekerja,” katanya dalam Persidangan Pemerkasaan Kesihatan Mental Edisi ke-3 (MHEC3), baru-baru ini.

Jelas Rajeshwari, keadaan tersebut secara tidak langsung menyebabkan pekerja berasa tidak dihargai, sekali gus menjejaskan motivasi, semangat kerja dan kesihatan mental mereka dalam jangka panjang.

Katanya, tekanan kewangan yang berterusan turut mendorong sebahagian pekerja untuk membuat kerja sampingan secara berlebihan, sehingga mengorbankan masa rehat dan keseimbangan kehidupan berkeluarga.

Justeru, dalam situasi lebih membimbangkan, ada yang terperangkap dalam hutang berpanjangan hanya untuk memenuhi keperluan asas harian.

“Kesannya, tahap stres tinggi boleh mencetuskan masalah kemurungan, kebimbangan serta konflik dalam keluarga dan di tempat kerja.

“Jika isu struktur gaji dan kos sara hidup ini tidak ditangani secara menyeluruh, ia bukan sahaja merugikan pekerja, malah boleh menjejaskan daya saing ekonomi dan kestabilan sosial negara,” ujarnya.

APA KAITAN GAJI DENGAN KESIHATAN MENTAL?

Rajeswari berkata, hasil kajian yang dijalankannya menunjukkan tekanan kewangan mempunyai hubungan langsung dengan masalah kesihatan mental.

Apabila pendapatan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas, individu terpaksa berdepan kebimbangan berpanjangan kerana memikirkan perbelanjaan harian yang semakin mendesak.

“Tekanan ini sering bermula dengan kebimbangan kecil, namun lama-kelamaan boleh berkembang menjadi keresahan melampau dan kemurungan.

“Keadaan tersebut sering menjejaskan kualiti tidur kerana fikiran tidak tenang dan tubuh tidak mendapat rehat yang mencukupi, sekali gus menyebabkan keletihan fizikal dan emosi.

“Tekanan yang berlarutan ini juga boleh memberi kesan terhadap hubungan kekeluargaan sehingga mencetuskan konflik akibat keletihan dan tekanan berpanjangan,” katanya.

Dalam jangka masa panjang, masalah kewangan yang tidak ditangani bukan sahaja menjejaskan hubungan sosial.

Malah, hal ini boleh menyebabkan individu berasa terasing dan sukar menikmati kehidupan yang sejahtera.

SIMPANAN RAKYAT MALAYSIA MEMBIMBANGKAN

Pengurus Besar Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK), Nor Fazleen Zakaria mendedahkan realiti kewangan rakyat Malaysia ketika ini berada pada tahap yang membimbangkan.

NOR FAZLEEN ZAKARIA

Katanya, lebih 70 peratus masyarakat yang bergantung kepada pendapatan bulanan didapati tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi kecemasan.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk digunakan dalam situasi kecemasan.

“Malah, lebih 50 peratus pula dilaporkan tidak mampu bertahan melebihi sebulan sekiranya kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba,” katanya.

Nor Fazleen berkata, sekitar 70 peratus responden turut mengakui tekanan kewangan yang dialami menjejaskan produktiviti mereka di tempat kerja.

Katanya, pendapatan yang stabil sahaja tidak menjamin kesejahteraan kewangan tanpa pengurusan aliran tunai yang baik.

“Simpanan kecemasan, perancangan kewangan dan kefahaman mengenai pengurusan hutang adalah aspek penting yang sering diabaikan,” ujarnya.

HUTANG JADI BEBAN PSIKOLOGI

Pengarah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH), Dr. Nurashikin Ibrahim pula berpandangan, selain gaji rendah, tekanan mental juga berpunca daripada kebergantungan terhadap hutang.

DR NURASHIKIN IBRAHIM

Beliau memberi contoh individu berpendapatan rendah yang terpaksa menggunakan skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) atau pinjaman jangka pendek semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan asas.

Situasi tersebut jelas mencerminkan kegagalan sistem pendapatan sedia ada dalam menampung keperluan hidup sebenar rakyat.

Menurutnya, tekanan akibat hutang yang berlarutan boleh mencetuskan ketakutan setiap kali telefon berdering, kerana bimbang panggilan tersebut daripada pihak yang menuntut bayaran.

“Keadaan ini menyebabkan ada individu memilih untuk tidak hadir bekerja, bukan kerana malas, tetapi kerana beban emosi yang terlalu berat untuk ditanggung,” katanya.

Beliau berkata, tekanan hutang yang berpanjangan turut menghakis fokus dan motivasi di tempat kerja apabila fikiran sentiasa dibelenggu kebimbangan terhadap kewangan.

Tanpa tindakan aktif, krisis kesihatan mental dijangka terus belenggu golongan pekerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN