MENU gajah berendam atau nama lainnya, gajah bergolek dan gajah berguling mungkin kurang popular berbanding kuih badak berendam.
Namun, tidak ramai yang mengetahui sajian itu merupakan antara makanan warisan yang dipercayai wujud sejak zaman Kedah Tua lagi.
Malah, makanan berasaskan jantung pisang yang disumbat beberapa bahan utama itu juga dikatakan pernah menjadi antara hidangan utama diraja ketika era pemerintahan Raja Reman.
Mengikut sejarah, Kerajaan Reman adalah sebuah kerajaan Melayu lama yang pernah wujud di utara Semenanjung Tanah Melayu, khususnya di kawasan yang kini meliputi selatan Thailand (Patani–Yala–Narathiwat) serta sebahagian utara Kedah dan Perlis.
Kerajaan ini muncul selepas kemerosotan Kesultanan Patani dan memainkan peranan penting dalam sejarah politik serta budaya Melayu di rantau tersebut.
Kini, hidangan gajah berendam hanya terdapat di daerah Padang Terap khususnya kawasan Pedu, menjadikannya antara khazanah kulinari Kedah yang semakin pupus.
Menurut penggiat seni makanan warisan Kedah, Mohamad Shaifuddin Rosli, menu itu agak sukar ditemui meskipun ketika majlis kenduri penduduk kampung di Pedu.
“Memang payah nak dapat sebab generasi sekarang dan orang yang nak mengembalikan gajah berendam sudah semakin berkurang.
“Menu ini tiada di tempat lain dan orang tua-tua sahaja yang tahu.
“Kini, hanya di Tong Pelu, Kampung Pauh, Padang Terap, Naka dan Kuala Nerang sahaja yang masih ada,” katanya baru-baru ini.

Jelas Mohamad Shaifuddin, mengikut cerita orang lama, hidangan gajah berendam turut menjadi menu ketika zaman perang untuk melarikan diri daripada musuh.
Ini kerana bahan-bahannya mudah didapati di sekeliling rumah iaitu jantung pisang, serai, bawang, cili dan santan.
Menceritakan cara pembuatan menu unik itu, Asiah Husin, 71, berkata, setiap serai, bawang dan cili diracik halus untuk disumbat ke dalam jantung pisang.
“Jantung pisang terlebih dahulu direbus sehingga empuk dan kemudian dibelah ke beberapa bahagian sebelum disumbat bahan-bahan yang digaul bersama kerisik.
“Seterusnya, ia masukkan ke dalam kuali untuk dimasak bersama santan, sedikit air, dan diperasakan dengan garam serta gula secukupnya,” katanya.

Fatimah Abd. Halim, 73, berkata, nama gajah berendam mungkin diambil kerana cara hidangan itu dimasak yang seakan-akan gajah berendam di dalam air.
“Bila dimasak, jantung pisang itu nampak macam gajah yang berendam di dalam kuah santan.
“Nama ini memang turun-temurun dari dahulu dan kekal sehingga ke hari ini.
“Tetapi tidak ramai yang tahu kewujudannya kecuali orang lama-lama macam saya yang belajar daripada nenek moyang,” katanya.
Ujar Fatimah, menu itu kini memang agak jarang disediakan termasuk di kenduri-kendara di kampung kerana pembuatannya agak rumit walaupun bahan-bahan mudah didapati.
“Kalau ada pun ketika orang-orang kenamaan datang ke kampung kami dalam majlis rasmi.
“Ini kerana pembuatannya tidak semudah disangka,” katanya.










