Siapa sangka seorang pelajar Bacelor Sains Pertanian mampu meraih pendapatan sehingga RM30,000 sebulan melalui bakat solekan?
Itulah kisah inspirasi Sharmeeera Rathakrishnan yang membuktikan minat dan kesungguhan mampu membuka pintu rezeki tanpa mengira bidang pengajian.
Kini, dia menjana pendapatan antara RM5,000 hingga RM30,000 sebulan hasil daripada perniagaan tersebut.
Selain solekan, dia juga menyediakan perkhidmatan kemasan pakaian perkahwinan, dan laminasi kening
Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) ini memulakan perniagaan sebagai jurusolek (MUA) sambilan sejak tahun pertama pengajian lagi dan bakatnya kini berkembang menjadi empayar kecil yang semakin mendapat perhatian dalam industri kecantikan kampus dan luar.
Minat gadis berusia 25 tahun ini terhadap solekan mula bercambah sewaktu awal pengajiannya apabila kedua ibu bapa memberi sokongan dan dana permulaan untuk membeli alatan asas.
Dorongan itu menjadi pemangkin semangat untuknya menawarkan khidmat solekan kecil-kecilan setiap hujung minggu, walaupun jadual hariannya pada Isnin hingga Jumaat dipenuhi kuliah dan kerja makmal.
“Ramai tak sangka pelajar pertanian boleh jadi jurusolek. Tetapi bagi saya, tidak kira apa bidang, kita boleh kejar apa yang kita minat.
“Kecantikan itu adalah bakat yang boleh diasimilasikan dalam apa jua bidang,” katanya.

Bagi anak kelahiran Johor ini, masa bukan alasan untuk tidak mengejar minat.
Setiap hujung minggu, Sharmeeera akan turun padang memenuhi tempahan, majoritinya untuk majlis perkahwinan, pertunangan dan acara khas.
Rezekinya semakin melimpah apabila pada Februari 2025, dia berjaya membuka premis rasmi pertamanya, Avyannas Touch, di dalam kampus UPM.
Premis itu terhasil melalui sokongan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA).
“Sebelum ini saya hanya bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
“Sekarang, dengan adanya premis, lebih ramai pelanggan selesa datang terus ke studio saya di kampus,” katanya.
PAHIT MANIS BERGELAR MUA
Cabaran sebagai MUA memerlukan Sharmeeera sentiasa kekal bertenaga untuk memenuhi tempahan dari seluruh pelosok negeri tanpa mengira waktu.
Kebanyakan majlis perkahwinan bermula awal pagi dan memerlukannya ke lokasi seawal pukul 4 atau 5 pagi.
“Kadang-kadang satu hari saya terpaksa bergerak dari satu negeri ke negeri lain. Saya pernah terima tempahan di Seremban dan Perak pada hari sama satu waktu siang, satu di sebelah malam.
“Saya juga bertuah kerana pernah memberi khidmat solekan kepada pelanggan dari United Kingdom, Singapura dan Sri Lanka. Saya bersyukur kerana ada rakan-rakan niaga yang membantu,” ujarnya.
Bidang pertanian yang dipelajarinya tidak pernah menjadi penghalang untuk berkecimpung dalam industri kecantikan.

Malah Sharmeeera percaya bakat boleh diasimilasikan dalam apa jua bidang jika seseorang benar-benar berminat.
Antara kenangan paling manis dalam kerjayanya sebagai MUA ialah apabila diberi peluang menyolek beberapa artis tempatan dan terlibat dalam promosi produk kecantikan.
Pengalaman itu bukan sahaja mengasah kemahirannya, tetapi membuka keyakinan untuk terus melangkah jauh dalam dunia kecantikan profesional.
Di sebalik kesibukan menguruskan perniagaan dan belajar, Sharmeeera tetap aktif dalam aktiviti kelestarian di Kolej 14 dan sering menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbangkan khidmat solekan percuma untuk komuniti.
Lebih membanggakan, dia membayar sendiri yuran pengajian hasil keuntungan perniagaannya.
Prinsipnya, jika mampu berdikari, lakukanlah.
Baginya, pelajar harus mengambil peluang membina kewangan sendiri semasa belajar, sebagai persediaan menghadapi dunia sebenar selepas tamat pengajian.
Melihat jauh ke hadapan, Sharmeeera berhasrat mengembangkan perniagaannya selepas tamat belajar dan memiliki studio kecantikan yang lebih besar serta lengkap.
Solekan bukan lagi hobi sementara, tetapi masa hadapan yang ingin dibinanya dengan penuh tekad.
Dalam dunia serba mencabar ini, keberanian mengejar minatlah yang membezakan angan-angan dan kejayaan.










