“Saya tidak faham…cuba lukis

‘Saya tidak faham…cuba lukis.’

Pelajar akan lebih mudah faham perkara yang 'nampak' dan 'jelas'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada satu ayat ringkas yang kita sering dengar memberi tamparan besar kepada realiti pendidikan dan komunikasi kita hari ini.

“Saya tidak faham…cuba lukis.”

Ayat ringkas ini kedengaran biasa sahaja, namun tersimpan di dalamnya satu kebenaran yang perlu kita hayati tentang cara minda berfikir dan memahami perkara berlaku di sekeliling kita.

Masyarakat kita sebenarnya masyarakat visual. Ia adalah pengaruh daripada perkembanga pesat teknologi maklumat dalam abad ini.

Kita bersetuju kita amat bergantung kepada visual untuk faham sesuatu perkara.

Malangnya, majoriti masyarakat kita masih menggunakan lisan dan teks sebagai mod komunikasi spontan utama.

Oleh itu, apabila majoriti daripada masyarakat ingin menyatakan sesuatu pendapat, maka berjela-jela panjang penerangan secara lisan dan teks berlaku.

Sudah tentu kekeliruan dan salah faham akan menjelma. Begitu juga dengan arahan bertulis yang panjang berjela, ramai akan geleng kepala cuba untuk memahamkan perkara yang perlu

dilaksanakan.
Kesemua senario yang dinyatakan diatas akan menyumbang kepada salah komunikasi.

Apabila ibu bapa cuba membantu anak-anak dalam kerja sekolah, tunjuk ajar biasa dalam bentuk lisan dan teks, jarang sekali ada lakaran atau lukisan.

Manakala, apabila guru menerangkan sesuatu perkara yang abstrak secara lisan dan slaid, majoriti murid masih tidak dapat membayangkan perkara yang dimaksudkan.

Guru perlu menggunakan lakaran untuk memudahkan pelajar faham. Berdasarkan pengamatan saya yang telah melatih ramai ibu bapa, guru dan pelajar, majoriti daripada kumpulan ini tidak yakin untuk melakar sesuatu idea.

Alasan utama mereka adalah “Saya tidak pandai melukis.”

Mungkin ramai akan terkejut dengan kenyataan saya ini, majoriti masyarakat kita memang pandai, kreatif dan inovatif, malangnya mereka tidak mahir melakar untuk menzahirkan idea.

Apakah akibat jika majoriti masyarakat tiada keyakinan diri untuk melakar untuk zahirkan idea? Mereka akan ‘nampak tidak pandai’ walaupun pada hakikatnya mereka pandai.

Orang lain akan nampak kita pandai selepas kita berjaya menerangkan idea-idea kreatif dan inovatif secara lakaran visual.

Usaha ini akan membolehkan mereka dapat ‘melihat’ atau ‘nampak’ kepandaian kita.

Penerangan menggunakan lakaran visual akan memberi kelebihan kepada guru untuk menyampaikan idea bernas dengan lebih berkesan.

Percayalah, kita mudah faham apabila kita dapat ‘melihat’ secara jelas apa yang perlu kita faham melalui lakaran yang dihasilkan diatas kertas atau skrin digital.

Disinilah lahirnya keperluan paling asas membina masyarakat maju iaitu kemahiran melakar visual spontan.

Dalam erti kata lain, kemahiran menghasilkan grafik mudah untuk menzahir dan menyampaikan idea-idea daripada minda cipta kepada kumpulan sasar.

Lakaran visual spontan yang dinyatakan bukan lakaran berkaitan seni tetapi lakaran yang memerlukan kreativiti dan logik.

Ia tidak memerlukan kita menghasilkan lakaran yang cantik tetapi cukup sekadar orang faham perkara yang kita zahirkan dan ingin sampaikan.

Ia adalah keupayaan paling asas kepada masyarakat iaitu untuk mengenal pasti, memahami dan menganalisa maklumat dalam bentuk grafik mudah.

Sudah tentu memerlukan kemahiran lakaran visual spontan untuk menghasilkan grafik mudah tersebut.

Grafik mudah ini boleh menghuraikan satu perkara yang abstrak dan kompleks untuk mudah difahami.

Dalam buku saya Profits From Visuals, saya tegaskan visual bukan sekadar alat bantu mengajar tetapi sebenarnya alat bantu kita berfikir.

Minda kita mudah faham jika sesuatu perkara kompleks disampaikan melalui visual.

Apabila minda kita ‘nampak’ perkara yang perlu difahami, barulah kita betul-betul faham tentang perkara itu.

Sebab itulah kita selalu dengar kenyataan ini sama ada melalui lisan atau teks, “Tulis panjang-panjang susah hendak faham. Cuba lukis… baru mudah hendak faham maksudnya.”

Mengapa ibu bapa perlu faham?

Saya yakin ramai ibu bapa melalui pengalaman ini. Memberikan anak-anak arahan lisan untuk melakukan sesuatu yang kompleks, mereka terpinga-pinga untuk faham.

Mereka cuba melakukan kerja tersebut semampu yang mungkin, tetapi akhirnya dimarahi oleh ibu bapa kerana tidak menepati arahan lisan yang diberikan.

Pernahkah kita terfikir apa yang sebenarnya terjadi kepada anak-anak tersebut sehinggakan mereka gagal melaksanakan tugas yang diberikan.

Ramai ibu bapa tidak tahu, penggunaan arahan lisan kepada sesuatu kerja yang kompleks kepada anak-anak akan menjadikan arahan itu subjektif.

Maksudnya, anak-anak akan menterjemahkan arahan dalam minda berdasarkan apa yang mereka faham dan bukan apa yang ibu bapa faham.

Penerangan lisan akan menjadikan sesuatu perkara subjektif bergantung kepada interpretasi penerima.

Hal sama juga berlaku kepada penggunaan teks untuk memberi arahan atau penceritaan.

Contoh, arahan yang mungkin kompleks kepada anak-anak yang berumur 10 hingga 12 tahun untuk menyusun pakaian di dalam almari mengikut kehendak ibu bapa.

Selepas arahan diberikan, anak-anak mengangguk faham. Proses menyusun pakaian berdasarkan arahan bermula dan selesai dalam beberapa minit.

Selepas itu, ibu atau bapa membuat pemeriksaan kepada susunan pakaian, sudah pasti ada yang tidak kena dengan arahan lisan tadi.

Bayangkan arahan lisan dan lakaran visual diberikan oleh ibu bapa tersebut, saya cukup yakin arahan itu dapat diikuti secara optima oleh anak-anak tersebut.

Perkara menyusun pakaian berjaya dilaksanakan dengan berkesan dan tidak perlu lagi ada pembetulan selepas itu.

Penerangan beserta visual akan memudahkan anak faham arahan.

Jika ada pembetulan bermaksud adanya salah komunikasi berlaku pada arahan pertama.

Maka, akan berlaku penambahan masa, tenaga dan emosi untuk semua orang menyelesaikan tugasan yang diberi.

Begitu juga jika ibu bapa ingin membantu anak-anak belajar.

Kemahiran menggunakan lakaran visual spontan akan memudahkan anak-anak faham perkara-perkara yang ingin diperjelaskan.

Masa penerangan juga mampu dikurangkan kerana penggunaan visual memudahkan pemahaman.

Hal ini selalu kita dengar dan mungkin juga pernah kita sendiri lalui tentang ucapan ini “Saya tidak faham penjelasan anda..panjang sangat, boleh tolong lukis!”.

Ucapan ini ringkas tetapi dalam maksudnya kepada sesiapa yang peka kepada ucapan diatas.

Bayangkan jika semua ibu bapa berilmu dan mahir lakaran visual spontan, keluarga tersebut akan menjadi lebih bahagia dan efektif dalam komunikasi spontan mereka setiap hari.

Mengapa guru perlu kuasai lakaran visual spontan?

Guru adalah agen paling penting mencorak dan membina masyarakat visual.

Namun, cabaran guru-guru sangat besar kerana pelajar-pelajar hari ini hidup dalam dunia penuh visual terutamanya media sosial.

Hal ini berlaku disebabkan kemajuan teknologi maklumat yang begitu pantas, akhirnya mempengaruhi cara berkomunikasi mereka setiap hari.

Penggunaan arahan lisan atau teks yang panjang tidak lagi relevan kerana daya fokus pelajar semakin pendek. Hal ini kerana pengaruh daripada visual yang mereka peroleh setiap hari.

Pelajar-pelajar mahu ‘melihat’ untuk memahami sesuatu perkara.

Penggunaan slaid dan penerangan secara lisan sahaja tidak mencukupi untuk memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Guru-guru yang boleh melakar visual spontan akan lebih berdaya saing berbanding guru-guru yang hanya menggunakan penerangan lisan dan bantuan slaid sahaja.

Mereka berupaya menyampaikan idea-idea penting kepada pelajar.

Kemahiran ini amat penting kepada bab-bab yang abstrak dalam banyak mata pelajaran seperti sains, matematik, reka bentuk, sejarah, geografi dan lain-lain lagi.

Malah, guru-guru yang mengajar bahasa seperti bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Bahasa Arab juga perlu mahir lakaran visual spontan.

Apabila guru melakar di depan pelajar-pelajar, mereka akan ‘melihat’ proses berfikir seorang guru secara langsung.

Lalu, akan memupuk budaya yang sangat baik kepada pelajar iaitu ‘lakar atau lukis untuk faham’.

Berdasarkan pengamatan saya yang telah melatih lebih 2,400 orang guru melalui program Visual Teachers di beberapa buah negeri di Malaysia, guru-guru bersetuju lakaran visual spontan amat penting dikuasai untuk kecemerlangan guru dan murid.

Seterusnya kecemerlangan pendidikan. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan maklum balas yang sangat positif diberikan selepas program tersebut.

Bayangkan, hampir 500,000 ribu guru mahir lakaran visual spontan, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih cekap dan efektif.

Sudah pasti kelebihan ini akan dirasai oleh pelajar dan memberi impak positif kepada pendidikan kita.

Bayangkan apakah impak positif jika ada penaja kepada Program Visual Teachers untuk 500,000 orang guru di seluruh Malaysia.

Mengapakah pelajar-pelajar perlu mahir lakaran untuk berfikir? Fakta yang tidak boleh kita sangkal iaitu visual boleh memudahkan proses memahami sesuatu perkara.

Visual juga boleh membantu objektifkan sesuatu penerangan untuk sesuatu perkara.

Pelajar-pelajar yang boleh melakar lebih cepat memahami sesuatu topik kerana mereka berupaya menzahir maklumat-maklumat yang abstrak kepada visual yang objektif.

Melakar membantu meleraikan idea-idea kompleks kepada bahagian-bahagian yang mudah difahami.

Grafik mudah terhasil daripada lakaran visual spontan boleh membantu pelajar menyusun hubungan antara elemen atau perkara yang mustahil dilakukan dengan lisan dan teks sahaja.

Tujuan pelajar-pelajar perlu mahir melakar supaya mereka lebih mudah hafal, lebih cepat fokus, lebih cekap menyusun maklumat, lebih cekap proses berfikir dan lebih kreatif serta inovatif dalam menghasilkan idea-idea baharu.

Pelajar-pelajar yang tidak menjadikan lakaran visual spontan sebagai budaya dalam komunikasi spontan, akan sering keliru, kurang faham, kurang efektif dan perlahan untuk membuat keputusan.

Kesan negatif jika tidak mahir lakaran visual spontan

Bila masyarakat tidak dibudayakan dengan lakaran visual spontan untuk berkomunikasi, kesannya sangat besar.

Salah komunikasi berlaku setiap hari antara ibu bapa dan anak, guru dan pelajar, rakan sekelas malah di antara staf dalam sesebuah organisasi.

Salah faham menyebabkan salah komunikasi yang menyebabkan masa terbuang, tenaga hilang, keputusan tidak tepat, jejak karbon meningkat, proses kerja menjadi perlahan dan masalah tidak diselesaikan dengan baik.

Kesan berangkai akan berlaku hanya kerana seorang individu tidak mahir lakaran visual spontan.

Kumpulan yang mendengar penjelasan tersebut sukar faham dan mengakibat proses pelaksanaan solusi kepada permasalahan tersebut terbantut.

Kesan langsung kepada sesiapa sahaja yang menerima pakai solusi tersebut.

Pastinya tidak akan berpuas hati dengan solusi yang diperoleh. Sudah pasti akan berlaku kesan tidak langsung kepada individu, kumpulan, komuniti atau masyarakat yang berdekatan.

Akhirnya ia menjadi virus senyap yang melembapkan proses pembangunan sesebuah masyarakat mahupun negara.

Renungan bersama kepada kata-kata ini, “Tanpa lakaran visual spontan, dasar sukar diterangkan, peluang sukar difahami dan penyelesaian sukar dirangka dengan jitu.”

Kelebihan jika masyarakat mahir lakaran visual spontan

Apabila kita berjaya membudayakan lakaran visual spontan kepada masyarakat, sudah pasti akan berlaku transformasi minda yang dinamik dan progresif.

Idea-idea bernas dan berinovatif mudah difahami dan dilaksanakan dengan jayanya. Ibubapa mudah berkomunikasi dengan anak-anak, guru-guru dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara efektif.

Konsep yang rumit boleh diterangkan dengan mudah dan cekap. Salah komunikasi berlaku secara minima.

Masyarakat menjadi lebih dinamik dan sudah pasti negara akan menjadi lebih maju. Lakaran visual spontan membina budaya kerjasama.

Apabila dua individu melakar diatas kertas yang sama, mereka sebenarnya sedang membina pemahaman bersama. Inilah asas kepada masyarakat pencipta, matang dan berprestasi tinggi.

Dalam buku Profits from Visuals, saya tekankan keuntungan terbesar dalam visual bukan pada keindahan lakaran atau lukisan, tetapi pada kejelasan pemikiran untuk menzahir dan menyampaikan idea-idea yang kreatif dan inovatif. Pembudayaan lakaran visual spontan semasa berkomunikasi boleh menjimatkan kos, masa dan tenaga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN