Maradona bukan sekadar mural, tapi maruah Naples

Maradona bukan sekadar mural, tapi maruah Naples

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Naik kapal terbang selama 14 jam semata-mata mahu lihat lukisan mural pada dinding?

Berat langkah saya untuk mengikut ajakan isteri sewaktu berkunjung ke Naples, Itali, baru-baru ini.

Yalah, sekadar mahu tengok mural, di negara kita pun berlambak, cantik-cantik lagi.

Tapi kata isteri saya, ia sangat istimewa.

Menurutnya, tidak lengkap kunjungan ke negeri di selatan Itali itu jika tidak melihat sendiri mural bekas pemain kelab bola sepak Napoli, iaitu Diego Maradona.

Terletak di Jalan Emanuele de Deo, memasuki laluan kecil berkenaan, berbeza benar vibe yang dirasai berbanding lokasi-lokasi pelancongan berhampiran lain yang saya telah pergi.

Lautan manusia memenuhi lorong tersebut yang terletak di satu kawasan dinamakan Spanish Quarter.

Menyusuri lorong sepanjang 100 meter itu, di kiri dan kanan kelihatan banyak papan tanda premis perniagaan dinamakan sempena Maradona.

Ada kafe, ada kedai cenderahati, gerai jualan, umpama pasar malam meriahnya.

Hampir semua barangan yang dijual ada kaitan dengan Maradona termasuk replika jersi-jersi yang pernah disarung bersama kelab-kelab dan negaranya, Argentina.

Dinding-dinding bangunan dipenuhi mural dan gambar Maradona.

Kira-kira 10 minit kemudian, saya tiba di kemuncak tarikan, iaitu mural Maradona.

Mural setinggi 120 meter atau bangunan tiga tingkat itu memaparkan Maradona dengan gaya sedang beraksi di atas padang penuh semangat.

Dia memakai jersi Napoli berwarna biru dengan seluar pendek putih bernombor 10.

Di tepi dinding penuh dengan jersi, bendera, gambar, skaf, patung, bunga dan nyalaan lilin yang diletakkan oleh para peminatnya.

Kawasan kecil tersebut yang dahulunya tapak parkir, kini setiap hari dikunjungi ribuan orang.

Mereka termasuk yang bukan lahir pada era Maradona tidak henti-henti merakamkan gambar sebagai kenang-kenangan.

Dikatakan mural tersebut merupakan lokasi kedua paling ramai dikunjungi pelancong ke Itali selepas Colosseum di Rom.

Berdiri di situ sambil menatap mural tersebut mengingatkan saya pada zaman remaja dahulu.

Maradona adalah idola saya dari dahulu hingga kini. Saya rela berlapar dengan menggunakan wang saku sekolah semata-mata nak beli majalah yang memaparkan artikel dan gambar Maradona.

Melihat kelincahannya menggelecek tiga, empat pemain lawan membuatkan saya terpukau di depan televisyen.

Apabila memasuki alam pekerjaan, saya sanggup berhabis duit membeli but Puma King yang pernah dipakai Maradona sambil berangan-angan menjadi sepertinya setiap kali bermain bola sepak.

 

Simbol harapan, semangat
Berdasarkan fakta, mural tersebut dilukis oleh seorang artis tempatan, Mario Filardi pada 1990.

Sememangnya mural berkenaan diabadikan kepada anak kelahiran Buenos Aires itu.

Ia bukan sekadar hasil kerja seni, tetapi simbol harapan, kebanggaan dan semangat yang tidak pernah goyah.

Sepanjang tujuh tahun bersama Napoli dari 1984 hingga 1991, Maradona berjaya menjadikannya ebuah kelab digeruni lawan.

Sebelum ini, liga bola sepak Itali didominasi oleh kelab-kelab dari utara dan tengah seperti AC Milan, Juventus, Inter Milan dan Roma.

Belum pernah ada kelab dari selatan yang menyerlah apatah lagi mencatat kejayaan besar dalam liga.

Maradona menyertai Napoli dari Barcelona dengan pemindahan yuran kira-kira RM29 juta, iaitu jumlah tertinggi di dunia pernah dicatatkan pada waktu itu.

Sebenarnya, Napoli tidak mampu membiayainya sehingga terpaksa membuat pinjaman bank.

Ia mencetuskan kontroversi berikutan Naples yang merupakan negeri termiskin di Itali sanggup membeli pemain bola sepak termahal di dunia.

Namun, langkah tersebut tidak sia-sia apabila dia berjaya mengubah Napoli menjadi kelab disegani bukan sahaja di Itali malah dunia.

Maradona mengetuai Napoli menjuarai liga bola sepak utama Itali, Siri A buat pertama kali pada 1987 dan kedua, 1990.

Malah, Napoli juga menjuarai Coppa Italia dan UEFA Cup selepas menumpaskan Stuttgart dari Jerman Barat pada 1989.

Bagi warga Naples, Maradona bukan sahaja pemain bola sepak, malah penyelamat yang membawa harapan dan kebangaan kepada negeri berkenaan yang agak ketinggalan dari aspek kemajuan.

Kehadiran dan kejayaannya bersama kelab Napoli dilihat sebagai kebangkitan Naples.

Selepas kematian Maradona pada 2020, Datuk Bandar Naples mengumumkan yang ‘Maradona ialah Naples.’

Pada 2021, kawasan di sekitar mural berkenaan secara rasmi dinamakan Largo Maradona atau Piazzetta Maradona.

Pengiktirafan tersebut sekali gus meningkatkan sektor pelancongan dan menjana perniagaan kecil di sekitarnya.

Hampir sejam berada di situ, perasaan saya bercampur baur. Bangga kerana dapat menjejakkan kaki ke lokasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia dan sayu mengingatkan detik berkongsi cerita tentang Maradona dengan arwah ibu bapa semasa remaja.

Saya perlahan-lahan meninggalkan Largo Maradona bersama kenangan manis sambil tangan erat memegang bungkusan berisi sehelai jersi replika yang pernah dipakai Maradona dan sehelai lagi jersi terbaharu kelab Napoli!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×