Lelaki semakin berusia, semakin kacak

Lelaki semakin berusia, semakin kacak

Peningkatan hormon testosteron menyebabkan lemak pada wajah berkurang lalu menjadikan rahang lebih tajam, kulit lebih tegang selain pertumbuhan misai atau jambang yang lebih kemas.-GAMBAR AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila semakin meningkat usia, wanita kebiasaannya mela mengalami perubahan pada fizikal seperti garis halus yang muncul, kulit semakin kendur dan tubuh yang tidak lagi bertenaga.

Namun, menariknya, situasi ini sering dilihat berbeza bagi lelaki.

Ramai yang mengatakan lelaki tampil lebih memikat apabila meningkat usia, seolah-olah pesona berkembang seiring kematangan.

Fenomena ini bukan sekadar cakap-cakap kosong.

Lebih mengejutkan, ia turut diakui pakar.

Menurut Pengarah U.N.I Klinik, Dr. Aizulhafizi Ismail, persepsi lelaki kelihatan semakin kacak apabila berusia bukanlah mitos.

Sebaliknya, ada penjelasan kukuh daripada sudut sains, psikologi dan perubahan struktur wajah yang menyumbang kepada daya tarik tersebut.

“Daripada struktur wajah yang lebih maskulin, suara yang lebih dalam, hingga gaya hidup dan penampilan kemas, semuanya memberi kelebihan pada lelaki dewasa dan sering membuatkan ramai terpikat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Testosteron tingkat maskulin

Hormon testosteron akan mencapai ke tahap optimum menjelang hujung 20-an hingga 30-an, menjadi sebab utama lelaki lebih maskulin apabila berusia.

“Pada fasa ini, hormon akan lebih stabil, rutin hidup lebih teratur dan ramai lelaki mula menjaga diri sendiri melalui senaman serta pemakanan,” katanya.

Gabungan semua ciri itu dapat menguatkan lagi kejantanan pada wajah dan tubuh.

Peningkatan testosteron menyebabkan lemak pada wajah berkurang lalu menjadikan rahang lebih tajam, kulit juga lebih tegang dan garis senyum lebih ketara.

“Ini akan menambahkan lagi pertumbuhan misai atau jambang yang lebih kemas pada usia matang sekali gus memberi tarikan visual yang lebih dewasa dan menarik.

“Bahkan, uban tidak lagi dilihat sebagai tanda tua semata-mata. Sebaliknya, sering dikaitkan dengan gaya berkarisma, matang dan yakin,” katanya.

Walaupun ramai lelaki kelihatan lebih menyerlah apabila meningkat usia, tetapi tidak semua melalui proses penuaan yang baik.

Ada yang semakin segak apabila meningkat usia, namun ada juga yang nampak lesu dan lebih tua daripada usia sebenar.

Dr. Aizulhafizi berkata, perbezaan itu banyak dipengaruhi daripada gaya hidup, faktor dalaman dan persepsi psikologi.

Semua itu menentukan perubahan individu seiring waktu berlalu.

Faktor luaran seperti pendedahan cahaya matahari turut memberi kesan besar.

Matahari ialah musuh utama kulit kerana dapat merosakkan kolegen yang menyebabkan kulit kusam, kendur dan cepat berkedut.

“Gaya hidup tidak sihat seperti kurang bersenam, pemakanan tidak seimbang dan pendedahan kepada bahan kimia juga boleh menurunkan hormon testosteron.

“Apabila hormon merosot, lemak mudah berkumpul, otot berkurang, bulu muka gugur dan wajah tampak bulat serta lesu,” katanya.

Tambahnya, garis halus minimal boleh menambah karakter, tetapi kedutan berlebihan akibat gaya hidup tidak sihat akan memberi kesan sebaliknya.

Daripada sudut psikologi, lelaki matang akan dianggap lebih menarik kerana aura keyakinan, kestabilan dan kewibawaan. Mereka kebiasaannya lebih menjaga penampilan, kebersihan, dandanan dan menggunakan wangian.

“Personaliti yang stabil dan mempunyai kerjaya yang kukuh juga meningkatkan persepsi lelaki matang lebih menarik dan dipercayai,” katanya.

Kekal segar dan bergaya

Di usia 30-an, gaya hidup menjadi kunci untuk lelaki menua dengan penuh pesona.

“Penjagaan diri tidak perlu rumit, yang penting konsisten dan tahu asas yang betul.

“Rutin yang teratur beserta rawatan yang sesuai dan gaya hidup sihat boleh mengekalkan tampilan yang menarik walaupun semakin lanjut usia,” katanya.

Bagi penjagaan kulit wajah pula, cukup dengan hanya tiga perkara asas seperti pencuci muka, krim pelindung sinaran matahari dan pelembab.

Selain itu, pengelupasan sebulan sekali penting untuk membuang sel kulit mati agar produk yang digunakan meresap lebih baik.

Gaya hidup dalaman juga memberi kesan besar. Senaman berkala, makanan sihat serta elakkan gula berlebihan membantu mengekalkan kulit yang lebih bersih, sihat dan tegang.

Bagi yang mahu kekal segar, rawatan dermatologi turut menjadi pilihan popular.

Rawatan seperti ekfoliasi profesional, terapi kolagen atau prosedur untuk mengatasi kulit kusam mampu memberikan hasil yang lebih ketara.

“Selepas usia 25 tahun, badan kehilangan satu sehingga dua peratus kolagen setiap tahun dan salah satu cara untuk merangsang kolagen ialah melalui rawatan dermatologi.

“Manakala, untuk lelaki 30-an ke atas, asas gaya hidup sihat menjadi keutamaan. Kurangkan alkohol, jaga pemakanan, tidur cukup dan lakukan senaman yang merangsang testosteron seperti angkat berat,” katanya.

Personaliti dan penampilan turut memainkan peranan.

Dandanan kemas, kemahiran komunikasi yang baik, kerjaya stabil serta pemilihan pakaian yang sesuai membantu membentuk aura lelaki matang yang memikat.

“Gabungan kulit wajah yang terjaga, gaya yang sederhana serta karakter yang baik menjadikan lelaki bukan sekadar kelihatan muda, tetapi juga berkualiti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN