KALI terakhir menjawab soalan berteraskan sains ketika zaman persekolahan ialah lebih 20 tahun lalu.
Selepas sekian lama, ‘sisa-sisa’ ilmu yang ada perlu digunakan semula dalam pertandingan MELP Energy Hunt 2025 yang diadakan baru-baru ini.
Setiap peserta perlu mengenal pasti jenis sisa rumah bagi mempromosikan kehidupan rendah karbon.
Dalam masa sama, menyelesaikan teka-teki mengenai peralihan daripada kenderaan petrol kepada elektrik dan mempelajari cara menjimatkan elektrik melalui Zon Rumah Pintar.
Tugasan itu bukan satu perkara mudah dan saya percaya ia turut dialami hampir kesemua 120 peserta dalam program pencarian harta karun ini.
Nasib baik telefon boleh digunakan sepanjang pertandingan ini. Jadi segala jawapan dapat diselesaikan tanpa perlu pening kepala berfikir.
Acara anjuran Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) itu mengetengahkan pengetahuan mengenai sumber asas tenaga dan menuntut peserta menjadi celik dalam segala hal berkaitan peralihan tenaga.
Malah, ada yang memerlukan kemahiran dan daya fikir agak tinggi untuk memahami dengan lebih terperinci hal-hal berkaitan tenaga termasuk daripada segala sumber yang ada seperti di rumah mahupun pejabat.

Ilmu-ilmu itu sangat bermanfaat kerana sekali gus dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian
Selain itu, ia juga mendidik individu membuat pilihan yang bijak dan bertanggungjawab demi memastikan dunia kekal lestari.
Contohnya, peserta perlu menjawab soalan berkaitan tenaga dan keselamatan pengurusan tenaga dan melaksanakan tugasan walk a hunt bertemakan tenaga bersih di River of Life serta Masjid Jamek.
Secara keseluruhan program MELP Energy Hunt 2025 menghiburkan dan cukup interaktif.
Pertama faktor cabaran dan tugasan. Program ini lebih santai dan tidak sesukar berbanding pertandingan pencarian harta karun lain yang pernah saya sertai sebelum ini.
Ada lapan soalan treasure hunt yang turut diselang-selikan dengan tugasan lain berkaitan peralihan tenaga.
Paling penting, ia sesuai untuk mereka yang baru pertama kali mahu berjinak-jinak dengan acara seumpama ini.

Tingkat kesedaran
Matlamat MELP adalah untuk meningkatkan kesedaran ramai tentang kepentingan kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu.
Di samping, turut menggalakkan pembelajaran interaktif dan menyeronokkan mengenai tenaga serta kelestarian alam sekitar.
Malah, ia juga dapat memupuk budaya penggunaan tenaga secara bijak dalam komuniti serta mengukuhkan penglibatan MELP dengan orang ramai melalui program pendidikan tenaga.
Peserta dilepaskan di lobi utama Plaza Sentral dan melalui cabaran fizikal serta mental di beberapa lokasi, termasuk Petrosains KLCC (misi peralihan tenaga), River of Life (watt’s the limit & kuasa perkasa), walk a hunt dari River of Life ke Masjid Jamek, dan berakhir di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sambutan positif dalam acara tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuhkan literasi tenaga di Malaysia.
“Program ini bertujuan mencapai beberapa objektif utama, daripada meningkatkan kesedaran tentang kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu, hinggalah mempromosikan kaedah pembelajaran yang interaktif serta menyeronokkan mengenai tenaga dan kelestarian.
“Saya berharap ia juga dapat meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan dan industri,” katanya.










