Tanda lahir di wajah jadikan Syamimi unik, bersinar

Tanda lahir di wajah jadikan Syamimi unik, bersinar

Nursyamimi Afrina Mohamed menyayangi diri sendiri seadanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi wanita berjiwa lembut ini, tanda lahir di wajahnya bukan kekurangan, sebaliknya anugerah yang menjadikan dirinya unik.

Kini, melalui perkongsian di media sosial, Nursyamimi Afrina Mohamed menjadi inspirasi kepada ramai wanita yang berjuang menerima diri sendiri.

Sejak kecil, wanita yang mesra dengan panggilan Syamimi ini sudah terbiasa dengan mata-mata yang memandangnya pelik.

Tanda lahir di dahinya membuatkan dirinya mudah dikenali dan kadangkala menjadi sasaran gurauan.

Ada yang menggelarnya ‘Avatar’ sehingga membuatkan wanita ini fobia untuk menonton filem tersebut.

Namun, di sebalik kata-kata yang menyakitkan itu, wanita berusia 26 tahun ini perlahan-lahan belajar penerimaan diri tidak datang daripada orang lain, melainkan dirinya sendiri.

“Dahulu saya selalu mempersoalkan keadaan diri. Tetapi, apabila mula faham setiap orang dilahirkan berbeza, saya belajar untuk sayang diri sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kini, Syamimi tidak lagi berselindung.

Dia sering berkongsi mesej positif tentang penerimaan diri dan memperlihatkan wajahnya dengan penuh yakin dan jujur.

“Kalau saya tidak mula bercakap, mungkin orang lain yang ada tanda lahir juga rasa malu. Saya mahu tunjuk kita tetap cantik dengan cara sendiri,” katanya.

BAWA MESEJ BESAR

Dahulu, setiap pandangan pelik dan pertanyaan spontan membuatkan hatinya goyah.

Namun, kini dia memilih untuk menepis persepsi negatif dengan tenang.

“Saya selalu cakap, ini bukan penyakit. Ini bukan dosa. Ini cuma tanda lahir yang Tuhan beri kepada saya,” katanya.

Baginya, stigma terhadap keunikan fizikal harus diubah dan masyarakat perlu memahami perbezaan setiap insan.

Sejak aktif di media sosial, ramai pengikut tampil berkongsi kisah yang hampir sama. Ada yang sebelum ini malu memuatnaik gambar tanpa menutup tanda lahir, malah ada yang memohon nasihat membina keyakinan.

Syamimi mengakui setiap mesej itu memberi impak besar kepadanya.

“Kadang ada orang mesej saya kata, ‘Macam mana boleh kuat?’ Bila saya baca, saya menangis.

“Kalau pengalaman saya boleh buat orang lain rasa lebih baik, itu sudah cukup,” katanya.

Selepas mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Syamimi lebih konsisten menggunakan media sosial sebagai ruang mendidik masyarakat.

Kepopularannya pula meningkat apabila orang ramai terkejut melihat seseorang dengan tanda lahir sepertinya masih ‘mendapat jodoh’.

Sejak itu, dia semakin yakin untuk menjelaskan perkara yang sering disalahfaham termasuk persoalan tentang genetik.

Katanya, tanda lahirnya bukan disebabkan keturunan kerana tiada ahli keluarga lain berkongsi ciri yang sama.

Justeru baginya, media sosial bukan sekadar ruang hiburan, tetapi platform besar untuk meningkatkan kesedaran.

Lebih-lebih lagi ia menghubungkan Syamimi dengan rakan senasib yang lain.

Dia turut menerima mesej daripada seorang ibu di Sabah yang anaknya mempunyai tanda lahir sama.

Setiap kisah ini mengukuhkan misi yang selama ini dibawa oleh Syamimi.

“Saya rasa kehadiran saya di media sosial ada makna. Bukan sebab popular, tetapi sebab saya boleh jadi suara untuk orang lain,” katanya.

SOKONGAN KELUARGA

Dia masih mengingati cara ibunya menjawab pertanyaan orang ketika dia masih kecil dengan tenang dan bangga sehingga membentuk cara Syamimi melihat dirinya kini.

Malah, Syamimi bersyukur kerana rakan-rakan dan suaminya tidak pernah mempers­oalkan tanda lahir di wajahnya.

Mereka sentiasa menghormati dirinya dan menjaga sensitiviti terhadap isu tersebut.

Kehidupannya kini diserikan lagi dengan kehadiran puteri sulung.

Begitupun, pernah terdetik secebis kerisauan di hatinya andai suatu hari nanti anaknya akan keliru atau malu apabila orang bertanya tentang wajah ibunya.

Namun, suaminya yakin anak mereka akan membesar dan memahami keadaan itu dengan cara yang sama seperti Syamimi yang penuh tenang dan yakin.

Bagi Syamimi, kecantikan bukan pada wajah sempurna, tetapi hati yang berani. Setiap kali dia berkongsi gambar tanpa menutup tanda lahirnya, ia menjadi simbol pembebasan daripada rasa takut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN