KANAK-kanak di era 1990-an cukup dekat dengan siri Empat Budak Kampung yang berkisar mengenai ragam kehidupan empat sahabat dengan suasana di kampung.
Selepas mendapat sambutan hebat khususnya dalam kalangan kanak-kanak era tersebut, siri berkenaan diteruskan iaitu dengan koleksi Empat Sekawan, Empat Sekawan Kembali Lagi dan Empat Sekawan Beraksi Lagi.
Namun, pasti ramai yang tidak mengetahui penulisnya yang merupakan anak jati negeri ini telah menghasilkan 544 judul buku khususnya buku cerita kanak-kanak.
Buku cerita dahulu menjadi peneman kanak-kanak, namun ledakan teknologi menyaksikan anak-anak zaman ini lebih banyak bermain telefon pintar.
Buku cerita kini menjadi koleksi bernilai bagi mereka membesar di era 90-an.
Muhammad Harun, 71, dari Jalan Raja Muda, Kangar, Perlis mula menulis buku cerita kanak-kanak sejak 1993 melalui siri Empat Budak Kampung tersebut.
Minat mendalam dalam dunia penulisan sejak kecil menjadi kekuatan buat bapa kepada empat anak itu untuk terus berkarya.
Sepanjang hampir 30 tahun lalu, sebanyak 544 judul buku pelbagai jenis dihasilkannya berdasarkan Rekod Bibliografi Negara oleh Perpustakaan Negara.
Selain itu, dia turut menghasilkan karya fiksyen, bukan fiksyen, cerita rakyat, hikayat dongeng serta naskhah berkonsepkan pengetahuan dan sains.
“Semua siri tersebut mempunyai 10 buah buku dengan watak yang sama dan penulisan dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri semasa kecil dan kisah kenalan terdekat,” katanya.
Antara cabaran sepanjang bergiat aktif dalam bidang penulisan adalah bagi memastikan ketebalan setiap siri buku itu adalah sama.
Kebiasaannya dia mengambil masa sebulan bagi melengkapkan satu kisah siri terdiri daripada 10 buah buku cerita kanak-kanak.

“Saya juga akan menjual naskhah-naskhah yang dihasilkan itu kepada penerbit yang berminat sama ada di sekitar Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.
“Saya lebih memilih menghasilkan bahan bacaan kanak-kanak sebagai usaha menarik minat golongan itu dalam membudayakan amalan membaca sejak kecil.
“Antara penulisan yang mendapat sambutan terdiri daripada buku-buku fiksyen, cerita rakyat dan pengetahuan berkaitan fakta. Saya juga banyak menghasilkan buku-buku pengetahuan berkaitan pengkisahan sejarah mahu pun fakta sains untuk kanak-kanak dan bukan hanya fokus kepada cerita fiksyen sahaja,” katanya.
Selain bidang penulisan, bekas Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis itu turut bergiat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama Persatuan Penulis Perlis (3P) sejak 1992 dan kini memegang jawatan sebagai Ketua II.
Dia turut menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Persatuan Sejarah Perlis sejak 1998.
“Pada 2016, saya turut dipilih sebagai Tokoh Persuratan Melayu Perlis oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya.
Sumbangan Muhammad dalam bidang penulisan itu turut diktiraf apabila menerima Anugerah Tokoh Seni Perlis 2025 baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin semangatnya untuk terus aktif dalam dunia penulisan.
“Penganugerahan tersebut membuatkan saya lebih bersemangat bagi menghasilkan karya-karya berkualiti dalam membudayakan amalan membaca khususnya dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.











