Wanita ini bukan sekadar seorang perenang para kebangsaan.
Carmen Lim adalah suara lantang yang memperjuangkan hak dan peluang pendidikan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Baginya setiap individu berhak mendapat ruang untuk bersinar tanpa batasan fizikal atau sosial.
Dia menjadikan pengalaman dalam dunia sukan sebagai titik tolak perjuangan menentang diskriminasi.
Carmen juga berusaha untuk meleraikan halangan sistemik dan menggalakkan pembabitan masyarakat supaya pendidikan dan peluang boleh diakses oleh semua.
“Cabaran paling besar adalah sikap sesetengah organisasi yang masih lambat untuk benar-benar mematuhi Akta Orang Kurang Upaya 2008. Semasa temu duga terakhir, ketua sumber manusia (HR) bertanya mengenai pengalaman saya memperjuangkan hak OKU.
“Saya jawab dengan jujur yang Malaysia sedang bergerak ke arah lebih baik, tetapi masih jauh untuk sampai ke tahap inklusif sepenuhnya. Malangnya, jawapan saya tidak diambil serius, kononnya pengalaman saya cuma kes terpencil,” katanya yang juga bergelar peguam pelatih.

Kata Carmen, masyarakat juga perlu belajar mendengar apabila golongan OKU bersuara mengenai diskriminasi.
Kesedaran dan pendidikan mengenainya perlu dipupuk sejak di sekolah lagi dan diteruskan di tempat kerja.
“Kadang-kadang orang susah hendak faham kerana mereka tidak pernah melalui pengalaman sama. Sebab itulah penting untuk mendengar dan bekerjasama dengan mereka bagi menjadikan tempat kerja dan sekolah lebih mesra serta mudah diakses.
“Masyarakat juga perlu lebih sedar mengenai bias atau salah tanggapan terhadap kemampuan OKU sama ada dalam dunia pendidikan mahupun pekerjaan,” katanya yang menyertai sekurang-kurangnya lima kejohanan setiap tahun.
Carmen menggunakan platformnya sebagai atlet para untuk menyuarakan isu diskriminasi dalam pendidikan dan pekerjaan dengan menyelitkan isu-isu tersebut apabila ditemubual media.
Selain itu, dia juga kerap berbincang dengan rakan-rakan dalam pasukan paralimpik kebangsaan mengenai kepentingan pendidikan dan latihan kemahiran bagi kelangsungan hidup kerana kerjaya sebagai atlet tidak kekal selamanya berbanding kerjaya lain.
Katanya, sokongan keluarga membolehkannya membina keyakinan diri bersuara bagi pihak OKU, manakala pendidikan membuatkannya berani menegur ketidakadilan
“Saya bersyukur kerana ada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong, malah melayan saya sama seperti orang lain yang disayangi.
“Saya percaya kalau kita semua berganding bahu membina semangat komuniti yang lebih kuat, nilai empati dan kebaikan akan datang sendiri. Daripada situ, kita boleh membentuk masyarakat yang lebih terbuka dan adil,” katanya.
Kisah Carmen turut diabadikan dalam pameran Kanvas Perubahan anjuran All Women’s Action Society (Awam) sempena ulang tahun ke-40 pertubuhan tersebut.
Pameran seni amal itu menampilkan potret wanita hebat Malaysia seperti Datuk Nicol David, Datuk Pandelela Rinong, Datuk Dr. Mazlan Othman, Mary Shanthi Dairiam, Tengku Maimun
Tuan Mat dan pengarah, Allahyarham Yasmin Ahmad.
Potret karya pelukis dari Pencil Ninja, Hakim Abdullah ini bukan sahaja indah, malah menghadirkan kisah keberanian dan ketabahan wanita Malaysia yang telah mencorak landskap sosial negara.

SENI, KEMANUSIAAN, TANGGUNGJAWAB SOSIAL
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, seni tidak hanya menjadi ruang ekspresi, tetapi wadah untuk menyedarkan masyarakat tentang isu keselamatan dan keadilan gender.
Malaysia perlu segera mengumpul data dan memahami motif di sebalik pembunuhan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan bagi mengelak tragedi sama berulang.
Dalam masa sama, perubahan perlu dilakukan dari segi sistem perundangan dan pendidikan sosial.
Persekitaran di mana kanak-kanak lelaki dan perempuan boleh bercakap tanpa rasa takut juga perlu diwujudkan selain menolak normalisasi keganasan kerana ia mengakibatkan lebih banyak bahaya, sikap tidak peduli dan disembunyikan.
Tanggapan terhadap jenayah sebagai ‘keruntuhan moral’ pula adalah pandangan sempit yang menutup kegagalan sistem.
“Ia menutup kegagalan sistem pendidikan, institusi dan masyarakat. Pendapat menjaga aib supaya tidak merosakkan masa depan, seolah-olah membebaskan pelaku jenayah.
“Hari ini, keganasan tidak hanya berlaku di jalanan tetapi di skrin telefon, komputer dan algoritma yang kita pilih.
“Menjelang umur 12 tahun, ramai kanak-kanak di Malaysia sudah pun terdedah kepada kandungan tanpa terselindung dalam talian,” katanya.
Kajian menunjukkan pendedahan berulang kepada kandungan lucah tegar dan imej tidak senonoh di usia muda mampu memesongkan persepsi tentang keintiman dan menyebabkan tingkah laku berisiko yang kadangkala berakhir dengan jenayah.
Justeru, bagi menangani isu ini, semua pihak harus berhati-hati agar tidak mencetuskan konflik gender.
Kanak-kanak lelaki tidak dilahirkan ganas dan kanak-kanak perempuan tidak semestinya menjadi mangsa.
Yi Wei turut menyentuh keindahan dan tanggungjawab seni.
“Seni digambarkan lebih daripada realiti atau mimpi. Seni menuntut kita merasakannya, mempersoalkannya dan membayangkannya semula.
“Setiap potret menghormati wanita yang memberi impak. Dalam cerita mereka kita lihat kisah Awam, daripada kesedaran kepada tindakan, daripada belas kasihan kepada perubahan, “ katanya.










