Ramai ibu bapa beranggapan anak yang aktif dan kelihatan ceria setiap hari sudah membesar dengan baik.
Dalam kesibukan rutin harian, tanda-tanda kecil seperti anak yang cepat penat, kerap tidak sihat atau kehilangan selera makan sering dipandang remeh.
Pengarah Perubatan Pemakanan Abbott, Dr. Nina Mazera Mohd. Said berkata, aduan seperti ini semakin kerap didengari, namun tanda-tanda tersebut dianggap perkara biasa atau sekadar perubahan cuaca.
“Kebanyakan ibu bapa tidak sedar simptom-simptom seperti ini sebenarnya boleh berkait rapat dengan kekurangan nutrisi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, kanak-kanak hari ini mungkin tidak kelihatan seperti kurang makan, tetapi masih tidak mendapat nutrisi yang diperlukan untuk membina tulang, otot, otak dan sistem imun yang kukuh.
Ada juga kanak-kanak yang makan dengan banyak tetapi tidak pelbagai, hanya memilih makanan tertentu.
Akibatnya, diet harian tidak memenuhi keperluan asas yang penting untuk tumbesaran.
Situasi ini mempengaruhi perkembangan si kecil dalam jangka masa panjang.
Pertumbuhan sihat bukan hanya tertumpu pada peningkatan tinggi dan berat tetapi proses menyeluruh melibatkan perkembangan otak, kekuatan tulang, pembinaan otot, sistem imun yang kukuh serta tenaga untuk meneroka dunia sekeliling.
“Anak membesar bukan sekadar fizikalnya.
“Setiap nutrien yang masuk membina keupayaan berfikir, belajar, bermain dan memiliki potensi” katanya.
Namun, realiti semasa menunjukkan gambaran yang membimbangkan.
Separuh daripada kanak-kanak negara ini didapati hanya mengambil kurang daripada tiga kumpulan makanan daripada sepuluh yang disarankan.
Antara 10 kumpulan makanan yang disarankan ialah bijirin, sayur-sayuran, buah, ikan, daging, telur, kekacang, susu dan produk tenusu serta lemak.
Kekurangan kepelbagaian ini menjadikan tubuh kurang menerima nutrien penting, walaupun kanak-kanak kelihatan aktif.
Kesan kekurangan nutrisi menyebabkan anak tidak bertambah tinggi seperti sepatutnya, cepat letih atau sering jatuh sakit.
Lebih membimbangkan, satu daripada lima kanak-kanak mengalami pertumbuhan tidak optimum sekali gus memberi kesan jangka panjang terhadap pembelajaran, perkembangan kognitif dan kesihatan dewasa.
ATASI KEKURANGAN NUTRISI
Bagi mengatasi masalah ini, Dr. Nina Mazera merujuk kajian SPROUT yang melibatkan 330 kanak-kanak Asia yang dikenal pasti berisiko.
Kajian itu membandingkan dua pendekatan iaitu kaunseling diet sahaja dan kaunseling diet bersama pengambilan dua hidangan suplemen pemakanan setiap hari.
Selama lapan bulan, kanak-kanak dipantau dengan teliti.
Hasilnya, golongan yang menerima suplemen pemakanan menunjukkan pertumbuhan yang lebih stabil dan menyeluruh.
“Kami melihat peningkatan ketinggian yang lebih baik, jisim tulang yang bertambah, tahap tenaga yang meningkat, malah bilangan hari sakit berkurang dengan ketara,” katanya.
Kekuatan kajian ini terletak pada formulasi suplemen yang menggunakan kombinasi protein, kalsium, vitamin D, vitamin K2, arginin serta casein phosphopeptide (CPP) yang membantu
tubuh menyerap nutrien penting dengan lebih cekap.
Manakala, prebiotik dan probiotik pula memberi sokongan kepada kesihatan usus yang merupakan pusat kepada sistem imun kanak-kanak.
Kajian itu juga dijalankan dalam kalangan kanak-kanak Asia, menjadikannya sangat relevan untuk keluarga di negara ini.
Tambahnya, kajian itu membuktikan pertumbuhan boleh dikejar jika intervensi dilakukan secepat mungkin.
Walaupun anak mungkin sudah tertinggal sedikit daripada segi ketinggian atau berat, langkah yang sesuai mampu mengembalikan mereka ke laluan pertumbuhan yang sihat.
KEPELBAGAIAN MAKANAN
Ibu bapa perlu menyediakan hidangan yang seimbang daripada segi protein, karbohidrat, sayuran dan buah.
Kepelbagaian makanan membantu memastikan setiap nutrien penting sampai kepada tubuh kecil yang sedang membesar.
“Ada masanya makanan harian sahaja tidak mampu menampung jurang nutrisi.
“Dalam keadaan sebegini, suplemen pemakanan yang lengkap dan dirumus secara klinikal boleh menjadi penyelesaian yang membantu anak mencapai keperluan nutrisi harian,” jelasnya.
Selain itu, catatan tinggi dan berat yang konsisten, disertakan pemeriksaan berkala bersama pakar akan memberi gambaran sama ada anak membesar mengikut trajektori yang sepatutnya.
Tanda-tanda seperti kerap jatuh sakit, cepat letih atau tidak menunjukkan pertambahan pada carta pertumbuhan perlu ditangani segera.
“Pertumbuhan mereka adalah perjalanan yang halus dan berharga. Apabila kita memberi mereka nutrisi yang cukup, kita sebenarnya sedang membina asas keyakinan, kecerdasan dan kesihatan mereka,” katanya.-UTUSAN










