Sekotak bedak samfong hoi tong atau bedak ‘amoi’ setia menemani wanita ini ketika tangannya lincah menyiapkan sulaman keringkam.
Mungkin ramai yang menganggap bedak itu untuk dioles di wajah putih bersih Ros Salleh, 55.
Namun, sangkaan itu meleset kerana fungsinya bukan untuk kegunaan muka.
Sebaliknya, ia disapu pada keringkam sentuhan anak jati Kampung Darul Islam Belimbing di Padawan, Kuching, Sarawak ini.
Katanya, bedak ‘amoi’ merupakan ‘senjata’ penting penjagaan seni sulam tradisional Melayu Sarawak itu.
‘Rahsia’ itu ternyata mengejutkan ramai pengunjung yang menonton demonstrasi keringkam kendaliannya dalam festival seni di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Bedak ini bukan sekadar dapat menghalus dan menyerikan wajah, tetapi juga memiliki keistimewaan lain yang jarang diketahui.
“Memandangkan keringkam tidak boleh dicuci, maka kita gunakan bedak ini untuk menyerap kelembapan dan cecair pada permukaan sulaman.
“Dalam masa sama, ia dapat menambahkan kilauan dan mengekalkan warna benang keringkam,” katanya.
Keringkam dihasilkan menggunakan benang emas atau perak bagi membentuk motif indah pada selayah, selendang dan pelbagai aksesori lain.
Ia dianggap antara warisan tekstil paling berharga di Sarawak kerana pembuatannya sangat teliti dan mengambil masa yang lama.
Kata Ros, teknik penjagaan keringkam cukup mudah iaitu dengan menyapukan sedikit bedak pada permukaan dan kemudian digosok perlahan menggunakan berus.
Selesai proses itu, keringkam perlu digulung menggunakan kertas bebas asid dan disimpan dalam kotak silinder.
Langkah tersebut membantu mengelakkan kesan lipatan yang boleh menjejaskan kehalusan motif keringkam.
Selain itu, bedak berkenaan juga boleh diletakkan pada tangan penyulam yang sering berpeluh.
“Benang emas dan perak amat sensitif kerana boleh berubah warna kalau terkena peluh, air atau bahan pewangi.
“Sebagai alternatif, penyulam boleh menyapu sedikit bedak pada tangan bagi memastikan benang tetap bersih dan sulaman kekal cantik serta berseri,” katanya.

Latih pelajar Henry Gurney
Penglibatan Ros dalam seni warisan itu bermula sejak 2006 setelah mengikuti kursus asas dan lanjutan sulaman keringkam Sarawak.
Sebelum itu, dia mencari rezeki sebagai tukang jahit sepenuh masa.
“Dahulu, saya bersengkang mata mahu menyiapkan ratusan baju kurung dan kebaya yang ditempah pelanggan terutama pada musim Aidilfitri.
“Tetapi sejak beralih kepada keringkam, hidup terasa jauh lebih tenang dan fleksibel kerana hanya perlu menumpukan perhatian kepada satu produk sehingga siap sepenuhnya,” katanya.
Pada peringkat awal, proses menyulam rumit, tetapi menjadi mudah setelah memahami tekniknya.
Pemilik dan pengasas Ros & Son Enterprise ini turut menjadi tenaga pengajar keringkam menerusi Program Aspire anjuran Yayasan Hasanah dan Brooke Museums.
Menerusi program tersebut, dia melatih kira-kira 50 pelajar Sekolah Henry Gurney, Taman Seri Puteri dan Sekolah Tunas Bakti.
Salah seorang pelatihnya ialah Muhammad Amran Abdullah, 21, yang kini berkhidmat membuat demonstrasi di Brooke Museums.
Malah, wanita ini turut dijemput menyertai Minggu Kraf London pada 2023 di samping aktif membuat demonstrasi seni keringkam di pelbagai acara.
Kira urat benang
Selain Sarawak, seni sulaman ini turut berkembang di Selangor dan Kelantan dengan nama kelingkan.
Bezanya, keringkam dari negeri ini dihasilkan menggunakan kaedah mengira urat benang.
“Teknik ini lebih rumit kerana menuntut penggunaan minda dan pengiraan teliti, berbanding kelingkan yang hanya melukis terus di atas kain.
“Oleh itu, setiap sulaman mestilah tepat mengikut urat kain supaya motif tersusun rapi dan tidak tersasar.
“Sebelum menyulam, saya biasanya membayangkan corak itu dalam fikiran terlebih dahulu, agar setiap jahitan dapat ‘dilakar’ dengan sempurna,” katanya.
Motif-motif yang sinonim dengan keringkam ialah gunung atau pucuk rebung, tali air bulan sabit, tali air halwa, tali air kaki lipan, tali air serong, bunga tanjung, tampuk manggis, kaki itik, tabur bintang dan bunga kerang.
Daripada segi fabrik pula, keringkam menggunakan kain kasa rubia.
Selayah RM30,000
Di Sarawak, selayah atau selendang keringkam biasanya digayakan wanita semasa majlis perkahwinan dan pertunangan.
Malah, turut dipakai ketika acara khatam al-Quran atau cukur jambul.
Selain itu, aksesori ini kerap menjadi pelengkap gaya semasa acara rasmi seperti jamuan makan malam.
Kata Ros, saiz selayah ialah 38 inci manakala selendang pula 63 inci.
Harganya pula bermula daripada RM3,000 untuk selayah manakala selendang, RM7,000 ke atas bergantung kepada rekaan dan jenis kain.
“Selayah paling mahal yang pernah saya hasilkan berharga RM30,000 untuk seorang kenamaan berstatus Tan Sri diikuti selendang bernilai RM25,000.
“Biasanya, saya akan tanyakan dahulu bajet pelanggan bagi memastikan hasil sulaman menepati cita rasa dan kemampuan” katanya.
Setiap tahun, jumlah tempahan keringkam yang diterimanya dianggarkan sekitar 10 helai sahaja.
Bakat Ros dalam seni keringkam kini turut menjadi inspirasi kepada adik perempuannya untuk menceburi bidang sama.-UTUSAN











