Keajaiban angin monsun dan pengurusan banjir

Keajaiban angin monsun dan pengurusan banjir

Pihak berkuasa perlu meningkatkan langkah berjaga-jaga memandangkan kekerapan fenomena angin monsun yang semakin tidak terduga. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Nun tinggi di udara, ada sungai angin yang dipanggil jet stream. Kelajuan angin dalam sungai ini mencecah 200-300 kilometer (km) sejam. Seorang juruterbang pesawat yang berpengalaman mampu memanipulasi sungai ini. Kelajuan sebuah pesawat yang mencecah 700km sejam akan meningkat sehingga 900km sejam setelah pesawat masuk ke dalam sungai angin itu. Ia seperti menunggang basikal menuruni sebuah bukit. Tenaga kurang dipakai tetapi kelajuan meningkat.”

Kagum saya mendengar perkongsian pengalaman Kapten Firdaus, seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan nasional semasa musim haji 2015.

Ketika bersama menunaikan haji, Kapten Firdaus banyak berkongsi pengalaman emas beliau berada di udara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau menyaksikan pelbagai keajaiban angin ciptaan Allah. Fungsinya sangat banyak, ia bukan sekadar pembawa awan dan penyebar benih tumbuhan, tetapi turut melibatkan pembawaan pesawat terbang seperti kisah di atas.

Lantas, fikiran saya teringat Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami hantarkan angin sebagai (agen) pembawa (air dan pemindah benih); maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya. (al-Hijr 15:22).

Gembira, nyaman, syukur, gentar, gerun dan takut! Itu antara kerencaman jiwa manusia ketika angin bertiup. Ketika nyamannya angin, tubuh berasa segar dan tenang.

Tatkala kemarau panjang, tiupan kencang angin membawa awan tebal menimbulkan harapan yang hujan bakal turun setelah bumi lama gersang menagih air.

Apabila angin berpusar seakan menggetus amarahnya, hati manusia kecut gentar.

Angin yang awalnya menjadi sahabat bertukar menjadi pemusnah yang tidak mengenal belas kasihan.

Itulah hakikat makhluk ciptaan Allah SWT yang sangat unik bernama angin. Padanya terkandung suka dan duka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, Dia menghantar angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit dari rahmat-Nya dan supaya kapal belayar laju dengan perintah-Nya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya; dan seterusnya supaya kamu bersyukur. (al-Rum 30:46).

Sebelum adanya pesawat terbang, tamadun manusia berkembang dengan teknologi maritim yang dijana angin. Tanpa angin, kapal tidak mampu bergerak dan pastinya manusia tak mampu meneroka alam untuk mencari rezeki.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan. Jika Dia kehendaki, Dia menghentikan tiupan angin, maka tinggal-lah kapal itu terapung di muka lautan (tak mampu bergerak). Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda (yang besar pengajarannya) bagi setiap orang (beriman) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur. (al-Syura 42:32-33).

Manusia moden mengeksploitasi tiupan angin untuk menjadi tenaga dengan mekanisme kincir angin dan sebagainya. Maha Suci Allah yang mencipta makhluk-Nya dengan segala manfaat yang menjangkau pemikiran manusia.

Oleh itu, Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Ubay bin Ka’ab r.a yang bermaksud: Janganlah kamu mencaci angin (kerana ia adalah hamba suruhan Allah). Apabila kamu melihat sesuatu yang tidak kamu sukai (pada angin) ucaplah: Ya Allah! Kami mohon pada-Mu kebaikan angin ini, juga kebaikan apa yang ada padanya dan kebaikan dalam suruhan-Mu padanya. Dan kami mohon perlindungan dari kejahatan angin ini, juga kejahatan apa yang terdapat padanya dan kejahatan arahan-Mu padanya. (Sunan al-Tirmidzi, 2252).

Ketika meneliti ayat al-Quran berkaitan angin, penulis menemui keajaiban tafsir tentang pembahagian lapan jenis angin oleh sahabat Nabi SAW bernama Abdullah bin ‘Amr. Menurutnya angin ada lapan jenis, empat jenis angin baik iaitu al-Dhariyat (surah al-Dzariyat 51:1), al-Mursalat, al-Mubasysyirat (surah al-Mursalat 77:1 & 3) dan al-Nasyirat (surah al-Rum 30:46).

Angin azab pula ada empat, dua daripadanya memusnahkan makhluk di darat dan dua lagi di lautan.

Angin pemusnah di daratan ialah al-Sarsar (surah al-Haqqah 69:6) dan al-‘Aqim (surah al-Dhariyat 51:41). Manakala dua angin pemusnah di lautan pula al-Qasif (surah al-Isra’ 17:69) dan al-‘Asif (surah Yunus 10:22). Fakta ini boleh dirujuk dalam Tafsir Ibn Kathir pada huraian ayat (al-Rum 30:51).

Terbaharu, beberapa negara Asia Tenggara dilanda angin Monsun luar biasa yang membawa hujan lebat mengakibatkan banjir besar.

Itulah kehebatan angin, rempuhannya tidak mengenal sempadan. Ia tidak perlukan passport untuk masuk ke mana-mana negara.

Begitupun, ia tetap makhluk Allah yang mampu diramal pergerakannya dengan ilmu meteorologi yang Allah SWT buka sesetengah pintunya kepada manusia. Ia sebagai tanda rahmat untuk manusia lebih bersedia.

Disebabkan kekerapan fenomena angin monsun semakin tidak terduga, pihak berkuasa perlu meningkatkan langkah berjaga-jaga atau persediaan yang lebih mampan agar kesan kerugian selepas bencana dapat dikurangkan.

Pastinya ia usaha besar yang melibatkan pembuat polisi dan bajet khas daripada pihak kerajaan. Saya percaya Malaysia sudah ada polisi berkaitan bencana alam, namun tidak salah untuk lebih cakna dan melihat isu ini secara lebih serius.

Saya juga baca tulisan Dr. Rosli Azad Khan dalam sebuah portal berita bebas bertarikh 26 November 2025 yang menegur kelemahan sistem perparitan yang tidak mampan serta menyeluruh di sebuah negeri Pantai Timur.

Kelemahan itu menjadikan masalah banjir di sana tak mampu dirawat secara kekal dan sering berulang.

Dr. Rosli menyarankan pihak kerajaan belajar daripada pengurusan perparitan dan sungai di Belanda yang sangat efisien dan praktikal.

Tidak salah menerima teguran sebegitu kerana kita mampu mengubah kesilapan serta kelemahan hasil teguran terhadap kita. Semoga hembusan angin monsun pada musim akan datang lebih mesra dan tidak mengulangi bencana pada tahun ini.

Hayatilah pepatah hujan yang selalu kita tuturkan ‘Sediakan payung sebelum hujan.’

Dalam konteks rencana ini, saya simpulkan ‘Sediakan sistem pengurusan yang baik sebelum angin pembawa hujan datang menderu lagi.’

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN