“Kalau hendak cerita soal sakit, memang sakit rasanya tulang belakang setiap kali angkat suami, namun saya selalu minta bantuan Allah untuk mudahkan urusan saya saban hari.”
Itulah kata-kata yang lahir daripada hati seorang wanita luar biasa.
Nor Azlina Zakaria,43, bukan sekadar seorang isteri.
Dia adalah penjaga, sahabat dan sumber kekuatan kepada suaminya, Mohd. Nazri Mohd. Zain, 40, yang mengalami kecederaan saraf tunjang dan lumpuh akibat kemalangan kerja pada 2014.
Lebih mengharukan, dia sendiri menghidap kecederaan saraf tunjang akibat kemalangan pada 2007.
Namun, tidak sekalipun suami dianggap beban kepada dirinya.
Malah, dia sendiri yang melamar suaminya yang terlantar di katil.
Kata Norazlina, segalanya bermula dengan tidak disangka, namun dia pasti ia jodoh yang ditentukan oleh Allah SWT.
Nor Azlina pernah lumpuh selama tujuh tahun dan bergantung pada kerusi roda selepas kemalangan.
Semasa menjalani sesi rawatan rehabilitasi dan keadaannya beransur baik, dia dilantik sebagai Ketua Pasukan Sokongan Rehabilitasi Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Pada awalnya, hanya niat kecil untuk memberi sokongan moral kepada rakan senasib.
Namun Allah aturkan sesuatu yang lebih besar.
Ketika itulah dia bertemu Mohd. Nazri, seorang juruteknik penyaman udara yang terjatuh dari tingkat dua bersama besi braket.
Tulang belakangnya hancur dan hidupnya berubah dalam sekelip mata.
Dua tahun setengah beliau terlantar dan tidak mampu bergerak.
Pertemuan mereka pada 2016 itu menjadi titik mula sebuah kisah cinta.
Norazlina melihat kesungguhan dan ketabahan seorang lelaki yang walaupun sakit, masih mampu tersenyum.
Tanpa menunggu lama, dia memberanikan diri untuk melamar lelaki itu.
“Ketika itu saya ditugaskan melawatnya di rumah dan dia sangat sangat tenang walaupun hanya terbaring.
“Selepas tiga minggu, terdetik di hati mahu menjaganya dalam keadaan yang halal,” katanya yang juga mengalami masalah sesak nafas dan bergantung pada tiub khas.
Keluarga pada mulanya bimbang dengan keputusan tersebut.

Namun dia menenangkan ibunya dengan kata-kata yang menyentuh hati
“Saya cakap pada emak, biarlah saya susah di dunia. Jangan saya ‘kering’ di akhirat,” katanya mengimbau kembali kenangan ketika meminta izin keluarga berkahwin.
Akhirnya, pasangan ini dinikahkan dalam majlis sederhana di rumah sewa kecil Norazlina di Sungai Pelong.
Tanpa disangka, ramai yang membantu menaja majlis perkahwinan mereka.
Selepas berkahwin, Nor Azlina memikul tanggungjawab tanpa pernah mengeluh.
Hampir setiap hari dia perlu mengangkat suami yang lumpuh untuk urusan harian.
Dari katil ke kerusi roda, ke bilik air malah kadangkala untuk rawatan di hospital.
Semuanya dilakukan dengan ihsan dan kasih sayang seorang isteri yang mengharapkan reda Ilahi.
Bagi Mohd. Nazri pula, kehadiran Norazlina dalam hidupnya bagaikan satu mimpi.
Tidak pernah terdetik di hatinya akan memiliki teman hidup dalam keadaan dirinya yang lumpuh..
“Saya rasa lebih bersemangat selepas berkahwin kerana isteri banyak membantu dalam proses pemulihan.
“Saya juga belajar berkasih-sayang dan hidup bersama-sama. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan bahagia bersama isteri,” katanya.
Berbekalkan sokongan isteri, perlahan-lahan Nazri belajar berdikari.
Daripada hanya terlantar, dia kini mampu duduk dan bergerak dari katil ke kerusi roda sekali gus menjadi inspirasi kepada pesakit lain.
Malah, ketika isterinya sakit, dialah yang mengambil alih menjaga Nor Azlina sedaya mungkin.
Rumah harapan
Pengalaman diri akhirnya mendorong wanita ini menubuhkan Rumah Harapan Nur Aafiyah pada 2018.
Ia bukan pusat penjagaan semata-mata, tetapi pusat rehabilitasi komuniti untuk pesakit kecederaan saraf tunjang.
Misi utamanya adalah untuk membantu rakan senasib kembali menguruskan hidup seperti makan, mandi, bergerak, berhias dan bersosial.
Bayaran yang dikenakan hanyalah untuk menampung kos asas.
“Adakalanya, saya bawa mereka keluar bersiar-siar ke pusat beli-belah menggunakan pengangkutan awam.
“Saya siapkan mereka cantik-cantik dan ambil masa untuk berhias bagi mengembalikan keyakinan diri.
“Saya uruskan rumah ini dengan bantuan suami kerana ketika itu suami sudah boleh bergerak sedikit,” katanya.

Namun, operasi rumah itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu apabila suaminya disahkan mempunyai tumor dalam saraf tunjang serta masalah autoimun kronik (SLE).
Pada 2023, tumor berkenaan dibuang namun Mohd. Nazri semakin lemah kerana SLE.
Luka pada kaki yang seakan luka tekanan (bedsore) menjadi teruk.
Namun, dalam setiap ujian, wanita asal Pahang ini percaya ada ruang rezeki yang Allah bentangkan.
Bagi menampung hidup, pada awalnya dia mengutip bahan terbuang seperti kotak, barangan elektrik lama dan sisa kitar semula demi mencari nafkah.
Semua itu dilakukan untuk menampung kos rawatan susulan suaminya.
“Namun, keadaan suami yang semakin memburuk akibat tumor menyebabkan saya sukar untuk keluar mencari barangan terpakai.
“Pernah sekali saya tinggalkan suami sekejap dan ketika itu hati rasa tidak sedap. Apabila pulang, nampak suami seperti sudah tidak sedarkan diri.
“Selepas itu, saya berdoa supaya Allah bukakan jalan untuk saya menghadapi semua ini. Supaya saya dapat bekerja tanpa perlu tinggalkan suami seorang diri,” ujarnya.
Rezeki siaran langsung
Di saat kebanyakan insan mungkin menyerah, Nor Azlina memilih jalan berbeza.
Dia mula berjinak dengan dunia media sosial. Pada mulanya hanya bercerita secara santai di sesi siaran langsung, tanpa tahu apa yang ingin dijual.
Namun doa dan usaha tidak sia-sia.
Pada Ogos lalu, seorang sahabat memperkenalkannya kepada bisnes affiliate khususnya menjual minyak wangi.
Kini, melalui platform seperti TikTok, dia bukan sekadar mencari rezeki, malah mengajak suaminya untuk turut serta dalam sesi siaran langsung.
Kehadiran suami bukan sahaja menguatkan sokongan moral, tetapi turut memberi inspirasi kepada ramai penonton.
“Sejak kami aktif berniaga, kesihatan suami emakin baik dan mampu bergerak sedikit demi sedikit selepas menjalani rawatan bernilai ribuan ringgit, hasil titik peluh kami berniaga secara siaran langsung.
“Malah, suami juga semakin banyak berinteraksi bila kami bersiaran langsung. Sebelum ini suami gemar diam kerana tumor menyebabkan kognitifnya semakin menurun. Syukur, sekarang nampak sedikit perubahan,” kongsinya.

Harapan Nor Azlina tidak berhenti di situ.
Bersama suami, mereka mahu membangunkan kembali Rumah Harapan Nur Aafiyah.
Bagi pasangan istimewa ini, rezeki yang diperoleh bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga bagi memberi manfaat kepada lebih ramai insan senasib.
“Kami tahu masih ramai rakan-rakan di luar sana yang memerlukan perhatian dan penjagaan khusus.
“Bagi kami, duit itu bukan sekadar untuk dikumpul. Ia adalah amanah untuk dikongsi sebagai bekalan di sana nanti,” katanya.
Nor Azlina sempat menitipkan pesan kepada masyarakat agar tidak mengambil kesempatan kepada orang kurang upaya (OKU) yang berniaga kerana pernah melalui episod itu sebelum ini.
“Kita tahu semua orang meniaga hendak mencari keuntungan, tetapi janganlah ambil kesempatan atas kekurangan orang lain.
“Kalau hendak bantu, bantu dengan cara sepatutnya. Bagi peluang sama rata kepada golongan seperti kami untuk mencari rezeki,” ujarnya.










