Menenun dengan jiwa, hasilkan songket warisan

Menenun dengan jiwa, hasilkan songket warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA kebanyakan wanita seusianya memilih berehat di rumah, namun berbeza dengan warga emas ini yang masih tekun menenun kain songket.

Habsah Mat Zin, 60, dari Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu kekal setia dengan rutin yang dijalani sejak empat dekad lalu.

Tangannya lincah menyusun benang dengan cermat di alat tenunan tradisional, agar motif tidak lari daripada reka bentuk asal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dulu ramai yang buat tetapi sekarang hanya tinggal saya sahaja yang menenun di kampung ini.

“Prosesnya tidak mudah, kena banyak bersabar, teliti, minat yang tinggi dan ada jiwa,” katanya baru-baru ini.

Kebiasaannya, dia menenun di sebelah pagi dan petang bergantung kepada tahap kesihatannya.

Tetapi, dengan usianya sekarang, Habsah sudah tidak boleh duduk menenun dalam tempoh lama.

Katanya, songket Terengganu terkenal dengan motif halus, penggunaan benang emas dan perak serta susunan corak yang penuh makna budaya.

Justeru, aspek ketelitian amat dititikberatkan bagi mengekalkan kehalusan dan keindahan warisan tekstil tradisional itu.

Kesilapan kecil boleh merosakkan keseluruhan corak yang mengambil masa berhari-hari, malah berbulan untuk disiapkan.

Kepakarannya menenun turut diwarisi dua anak perempuan.

“Dari kecil anak-anak tengok saya menenun, lama-kelamaan mereka jadi pandai.

“Walaupun dua anak saya tinggal di luar Terengganu, tetapi mereka boleh membuat corak sulam,” ujarnya.

Kini, selain menyiapkan tempahan songket daripada pembekal, Habsah turut menerima permintaan khas daripada ahli keluarga dan kenalan terdekat.

 

LIMA BERADIK PENYAMBUNG LEGASI

Legasi tokoh tenun terkenal Terengganu, Wan Manang Wan Awang, diteruskan lima anaknya.

Salah seorang daripadanya ialah Wan Nadhila Safirah Wan Manang, 35,.

Katanya, sejak kecil, dia sudah diasuh dan didedahkan kepada dunia songket, bukan sebagai penonton tetapi sebagai pewaris.

“Setiap hari selepas balik sekolah, saya mengikut ayah menghantar benang dan alatan ke rumah penenun kampung. Daripada situlah saya belajar proses pembuatannya,” katanya.

Malah, graduan Diploma Seni Reka Tekstil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini turut berguru dengan bapanya selepas tamat belajar.

Dia juga menyertai kursus jangka pendek tenunan anjuran Kraftangan Malaysia selama enam bulan.

“Ayah selalu pesan, kerja menenun bukan dibuat guna tangan sahaja, tetapi mesti dengan jiwa.

“Kalau hati tidak tenang, benang boleh putus dan corak lari.

“Setiap corak yang dihasilkan ada makna dan cerita. Itu yang saya pegang sampai sekarang,” katanya.

Kini, Wan Nadhila Safirah aktif memperkenalkan tenunan warisan kepada generasi muda melalui bengkel, pameran dan kolaborasi reka bentuk kontemporari.

“Saya bukan sekadar meneruskan nama ayah tetapi mahu menghidupkan semangat dan nilai yang dia tanam dalam seni warisan ni.

“Dunia semakin moden, jadi saya cuba bawa songket ini dengan cara sendiri. Mungkin dari segi warna, rekaan atau persembahan tanpa mengabaikan identiti asal,” katanya.

SONGKET TIDAK AKAN LENYAP
“Selagi Melayu masih wujud dan sistem beraja terus bernafas, tenunan songket tidak akan hilang dari bumi ini.”

Demikian kata Wan Manang, 71, yang juga merupakan Adiguru Kraf dalam bidang ini.

Baginya, seni tenunan songket bukan sekadar perniagaan atau pekerjaan turun-temurun tetapi lambang jati diri bangsa Melayu yang tidak boleh dipisahkan daripada akar budayanya.

“Songket bukan hanya kain cantik. Ia membawa simbol kemegahan, adat dan warisan Melayu.

“Kalau kita hargai budaya dan sejarah, maka songket itu akan kekal. Yang penting, kita didik generasi muda tentang nilainya,” katanya.

Tambahnya, Terengganu memainkan peranan besar dalam industri tenunan negara dengan menyumbang lebih 90 peratus penghasilan songket asli tempatan.

“Boleh dikatakan kebanyakan songket asli di Malaysia datangnya dari Terengganu.

“Kita ada sejarah, kemahiran dan tenaga kerja yang mewarisi ilmu ini sejak berzaman. Jadi sepatutnya kita bangga,” ujarnya.

Istimewanya, songket buatan Wan Manang sering menjadi pilihan kerabat diraja dan kenamaan termasuk dari Istana Brunei dan Selangor.

Malah, ketika zaman kegemilangan pada awal 2000, jenama Manang Songket begitu popular dan terlibat membuat pameran di London, Paris serta Eropah selain merangkul pelbagai anugerah.

Wan Manang turut menyuarakan harapan agar kerajaan negeri lebih agresif dan strategik bagi memartabatkan warisan ini di mata dunia.

Bukan hanya melalui pameran dan festival, tetapi melalui dasar, pendidikan serta peluang pasaran yang berterusan.

“Kita tidak boleh hanya harapkan penenun lama. Kena ada kesinambungan. Generasi muda perlu dicungkil minat mereka, perlu ada platform dan insentif untuk melihat tenunan sebagai kerjaya berprestij, bukan dilabel sebagai kerja kampung,” katanya.

Menurutnya, melalui Institut Kraftangan Negara (IKN), ramai pelapis bidang tenunan dilahirkan.

Dia juga mengambil lepasan IKN sebagai pekerja tenun di bengkelnya selepas tamat menjalani latihan amali.

“Saya tidak bimbang dengan pelapis muda ini kerana jumlah mereka sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.

“Saya juga mengupah lebih 30 pekerja tenun tradisional yang terdiri daripada penduduk setempat dan mereka menenun di rumah masing-masing,” katanya.

BANTU PEMBANGUNAN KRAF TENUN
Kraftangan Malaysia membantu penggiat industri tenunan songket di Terengganu melalui pelbagai inisiatif termasuk pembangunan produk dan penghasilan rekaan terkini yang lebih segar serta menepati cita rasa pasaran.

Pengarah Kraftangan Terengganu, Azrul Hussein berkata, pihaknya sentiasa menyediakan sokongan daripada segi rekaan dan corak baharu kepada penenun tempatan sebagai usaha memperkukuh kedudukan

songket warisan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Antara usaha kami adalah memberi idea-idea rekaan dan corak terkini kepada penenun supaya dapat menghasilkan produk yang relevan dengan kehendak semasa.

“Setakat ini, terdapat kira-kira 200 penenun aktif di Kuala Terengganu dan Marang.

“Walaupun jumlah ini turun naik dari semasa ke semasa, kami yakin pelapis baharu sentiasa ada untuk meneruskan legasi seni tenunan ini,” katanya.

Katanya, pelapis muda bidang tenunan juga digilap melalui kerjasama dengan IKN yang berperanan penting melahirkan generasi baharu penggiat seni warisan.

“Kami melihat usaha melahirkan pelapis ini sebagai elemen penting untuk memastikan seni tenunan songket terus hidup dan tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Azrul berkata, pihaknya turut memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai proses penghasilan songket melalui demonstrasi secara langsung yang diadakan secara berkala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini