Pakej mampu milik untuk KPDRM bukan strategi komersial - Mila Jirin - Utusan Malaysia

Pakej mampu milik untuk KPDRM bukan strategi komersial – Mila Jirin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Terkesan dengan kisah anggota polis yang terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan akibat kekangan bajet, usahawan dan penyanyi, Mila Jirin tampil dengan misi sosial membantu mereka mencapai hari bahagia tanpa tekanan kewangan.

Menerusi syarikatnya, Bizmilla Wedding Centre, Mila memperkenalkan pakej perkahwinan mampu milik khusus untuk anggota Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).

Mila, 38, berkata inisiatif itu bukan bertujuan komersial semata-mata, sebaliknya sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang berkhidmat untuk negara.

“Ramai yang saya dengar terpaksa tangguh perkahwinan sebab kekangan bajet. Jadi saya mahu Bizmilla jadi sebahagian daripada penyelesaian itu supaya mereka tetap boleh capai majlis impian tanpa stres kewangan.

“Ini bukan strategi komersial semata-mata, tetapi misi sosial untuk membantu mereka yang banyak berkorban demi keselamatan negara

“Kami mahu mereka menikmati majlis bertaraf hotel lima bintang dalam bajet mampu milik. Pakej ini direka khas untuk meringankan beban pasangan muda agar mereka boleh fokus pada makna sebenar perkahwinan, bukan stres tentang kos,” katanya.

Menurut Mila, pemilihan KPDRM sebagai rakan strategik dibuat berdasarkan nilai integriti dan kepercayaan tinggi dalam kalangan anggotanya.

Tambah Mila, skim itu membolehkan mereka menikmati kemudahan pembayaran melalui potongan koperasi bulanan serendah RM163.20 sebulan.

“Pakej berkenaan merangkumi kemudahan dewan, katering, dekorasi, busana pengantin, pelamin serta khidmat fotografi dan videografi setaraf hotel lima bintang.

“Bizmilla dibina atas kepercayaan pelanggan selama lebih 10 tahun. Jadi apabila bergabung dengan koperasi yang dinaungi ribuan anggota polis, kami tahu kolaborasi ini bukan sekadar urusan perniagaan, tapi tanda penghargaan.

“Proses membina sistem pembiayaan itu juga melalui penelitian rapi bagi memastikan setiap transaksi dibuat secara telus, profesional dan patuh syariah.

“Kami mahu Bizmilla dikenali bukan hanya sebagai penyedia dewan dan katering, tetapi jenama yang memahami realiti rakyat. Bila kita bantu orang capai bahagia, rezeki dan keberkatan akan datang dengan sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN