“SAYA belum Muslim, tapi saya suka Islam. Saya belajar cara wuduk dan solat melalui YouTube. Al Quran pula saya beli melalui dalam talian.”
Itu jawapan yang menyentuh perasaan semua ahli rombongan kami ketika singgah di Masjid Osaka, Jepun.
Kisahnya, pada 25 sehingga 30 September lepas, saya bersama 12 orang Malaysia bertandang ke Japan Da’wah Centre (JDC), Osaka, Jepun. JDC di Osaka ialah bangunan dakwah wakaf
orang Malaysia yang dikendalikan oleh Zulkarnain Hasan Basri, orang Malaysia yang sudah lama menetap di Jepun.
Pada hari Jumaat, kami menziarahi beberapa lokasi di Kyoto.
Setelah pulang, kami singgah di Masjid Osaka untuk solat berjemaah. Subhanallah!
Rupanya gerak hati kami untuk singgah di Masjid Osaka itu berhikmah besar.
Rombongan kami ditakdirkan Allah bertemu dengan Asuka, wanita Jepun yang sedang mencari cahaya Islam tanpa bimbingan.
Ketika ahli rombongan wanita masuk ke ruang solat, mereka melihat Asuka berwuduk dan solat secara agak janggal.
Usai solat, Asuka membuka terjemahan al-Quran bahasa Jepun dan membaca nterjemahannya dengan tekun.
Datin Faizah Hassan, seorang ahli rombongan kami tidak berlengah lantas menegurnya.
Rupanya, Asuka belum memeluk Islam tetapi sangat sukakan Islam. Beliau pernah mengikuti Kursus bahasa Inggeris selama empat bulan di California Long Beach University, Amerika Syarikat.
Di sana, beliau jatuh cinta dengan Islam setelah bergaul dengan pelajar Muslim dari Timur Tengah dan berasa tertarik dengan budaya Muslim yang sangat mementingkan hubungan keluarga serta suka menolong orang.
Semua pengalaman itu tidak dirasainya kerana ibubapanya sudah berpisah dan dia pun sudah lamatidak bertegur sapa dengan abangnya.
Ketika bertemu dengannya, saya lantas berkongsi rasa dan pandangan menurut suluhan wahyu “Alhamdulillah! Pertemuan kita malam ini bukan secara kebetulan kerana Allah ialah Tuhan Yang Maha
Mengetahui. Dia Tahu yang lepas, yang sedang berlaku dan yang akan datang. Allah yang menggerakkan hati kami semua pada malam ini untuk berhenti solat di Masjid ini, walaupun rancangan asal kami bukan untuk singgah di Masjid ini. Ini bukti Allah cintakan anda dan Dia memang mahu temukan anda dengan rombongan kami di sini.”
Benar! Tiada kebetulan dalam ilmu Allah. Semua sudah Dia takdirkan. Firman Allah SWT yang bermaksud: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa
diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah (al-Hadid 57:22).
Mengulas perihal takdir, Rasulullah SAW pernah membimbing kita dengan sabdanya yang bermaksud: Allah menetapkan takdir semua makhluk 50 ribu tahun sebelum penciptaan langit dan bumi. Dan Arasy-Nya pada waktu itu berada di atas air (Sahih Muslim, 4797).
Pada hari Ahad, 28 September, Asuka menyertai kami dalam program khas di JDC iaitu ceramah ringkas pengenalan kepada budaya Jepun yang disampaikan oleh mualaf Jepun, Yusuke Hamzah dan sesi pengislaman saudara baharu, Kosaku Yusuf.
Yusuf ialah mualaf ke 132 memeluk Islam di JDC sejak penubuhannya pada tahun 2020. Yusuke Hamzah pula asalnya bertandang ke JDC untuk berniaga.Dia mahu memperkenalkan tikar tatami (tikar tradisional Jepun diperbuat daripada rumput igusa) keluaran syarikatnya yang boleh digunakan sebagai sejadah solat. Demi menyelami budaya Muslim yang selalu berkunjung ke JDC, Hamzah mulai belajar mengenai Islam.
Manisnya, beliau memeluk Islam di JDC pada 24 Februari 2024.
Dalam sesi pagi di JDC itu, Hamzah berkongsi pelbagai budaya Jepun dengan hadirin seperti cara makan sushi serta menggunakan kayu chopstick yang betul.
Dia juga berkongsi cara berkesan berdakwah kepada orang Jepun.
Orang Jepun sangat mementingkan komunikasidan hubungan sosial yang baik.
Cara terbaik untuk berdakwah dengan orang Jepun ialah menjalin hubungan mesra terlebih dahulu.
Setelah mengenal hati budi seorang Muslim, semakin mudah mereka mendengar mesej Islam yang mahu disampaikan.
Perkara ini tidak asing bagi Islam kerana Allah menegaskan kepelbagaian bangsa dan bahasa sebagai tanda kuasa-Nya yang perlu difikir (al-Hujurat 49:13).
Ia bukan sebab untuk kita merendah atau mengangkat sesuatu bangsa kerana Islam ialah agama yang ‘buta bangsa’ Islam agama untuk semua manusia dan proses mengenali sesama manusia atau penyampaian dakwah perlu berlaku secara harmoni.
Oleh itu, Islam melarang penganutnya menggunakan paksaan dalam kerja dakwah kerana cinta tidak perlu dan tidak boleh dipaksa.
Paksa akan membuahkan benci, manakala akhlak mulia dan belai mesra mampu membuahkan cinta. Itulah prinsip dakwah Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia
yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang yang beriman? (Yunus 10:99).
Selesai solat zuhur di JDC, remaja perempuan rombongan kami, Asma Sofiah, Zakira, Adna Solehah dan Raudhatul Ilmii mengajar Asuka memakai tudung secara sempurna.
Kemudian, berbusana sopan lengkap bertudung, Asuka secara sukarela menemani rombongan kami bersiar-siar di sekitar Bandar Osaka.
Sebelum pulang, diamengucapkan terima kasih kerana memberinya peluang indah mengenali Islam.
Dia berjanji akan terus mendalami Islam untuk bergelar Muslim kemudian hari.
Kesimpulannya, Muslim perlu ada empati kepada golongan bukan Islam. Jangan malu atau kedekut untuk memperkenalkan Islam kepada mereka.
Belum tentu mereka tidak menerima Islam kerana benci.
Boleh jadi mereka belum mengenali kerana mesej Islam sering terkurung dalam kerangka ‘budaya sesetengah bangsa Muslim’.
Oleh itu, kita perlu bebaskan Islam sebenar daripada ‘kurungan’ yang sempit dan mengekang perkembangan sayap agamamulia ini.
Ayuh sahut seruan Nabi kita yang menjanjikan kuota dua pertiga penghuni syurga untuk umat baginda SAW. Kuota itu terbuka untuk diisi sesiapa sahaja tanpakekangan budaya atau lokaliti.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: Penghuni syurga terdiri daripada 120 barisan.80 barisan daripadanya terdiri daripada umat ini, manakala 40 barisan lagi terdiri daripada umat lain (Sunan al-Tirmidzi, 2469 & Sahih Ibn Hibban).-UTUSAN









