KEHIDUPAN pesakit kanser sering digambarkan penuh kesedihan, keperitan dan pengakhiran yang suram.
Seolah-olah tiada apa yang boleh dilakukan dan hanya menghitung waktu menunggu ajal tiba.
Namun, berbeza buat Mahani Kassim, 62, yang menyifatkan detik itu sebagai permulaan baharu dalam hidupnya.
Pejuang kanser payudara merangkap Presiden Pink Unity ini disahkan menghidap kanser payudara triple negatif (TNBC) pada 2016.
TNBC merupakan jenis kanser yang agresif dan sukar dirawat berbanding jenis lain.
Tetapi, ibu kepada tiga anak berusia 34 hingga 41 tahun ini tidak pernah mengenal erti putus asa.
Dia berjaya menempuh rawatan intensif termasuk pembedahan, kemoterapi dan radioterapi selama setahun.
Baginya, kanser bukanlah penamat hidup seseorang dan mahu mengubah persepsi negatif itu.
“Saya buktinya, walaupun diuji dengan penyakit ini, kehidupan tetap boleh diteruskan dengan penuh makna.
“Seolah-olah mendapat peluang kedua dalam hidup dan hari-hari jadi lebih tenang, tabah serta jiwa makin kuat menghadapi apa sahaja cabaran yang mendatang,” katanya ketika ditemui selepas acara Press Pause: A Pink October Brunch baru-baru ini.
Acara itu turut menampilkan sesi perkongsian ilmu dengan dua pakar bedah payudara di Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Harjit Kaur dan Dr. Melissa Tan.
Kini, dia lebih aktif dan bebas melakukan pelbagai aktiviti tanpa sebarang halangan.
Istimewanya, setiap aktiviti tersebut turut disertai pesakit, kumpulan paliatif dan pejuang kanser di bawah platform Pink Unity yang diterajuinya.
Pink Unity ialah kumpulan sokongan pesakit kanser payudara yang bernaung dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
“Di sebalik penyakit dialami, saya aktif bermain pickleball dan menyertai larian bersama ahli-ahli lain.
“Selain itu, kami turut bermain acara permainan tradisional bagi mengimbau nostalgia sukan dahulu.
“Sebab itulah penting bagi pesakit kanser menyertai kumpulan sokongan untuk menggembirakan diri dan menjadi individu yang lebih positif,” katanya.
Kata Mahani, sekalipun kanser sudah tidak dapat dirawat, tetapi tidak bermakna pesakit perlu lemah dan hilang semangat hidup.
Kongsinya, seorang ahli pernah mengurung diri di rumah selama tujuh tahun akibat tekanan kanser hingga terlintas untuk membunuh diri.
Bagaimanapun, selepas menyertai Pink Unity, hidupnya berubah sekelip mata dan kini mampu tersenyum kembali serta aktif dalam pelbagai kerja sosial.
“Hidup dan mati ketentuan Allah, tetapi selagi bernyawa, kami mahu terus bahagia dan menghargai setiap detik hingga ke akhir usia.
“Kini, mereka yang dahulunya lemah dan putus asa sudah berani menghadapi hari dengan penuh semangat, membina ikatan persahabatan serta menemui makna baharu dalam hidup,” katanya.
Sentuhan Ungu, Hati ke Hati
Antara program menarik yang dijalankan oleh organisasi itu ialah Hati ke Hati dan Sentuhan Ungu.
Hati ke Hati merupakan program percutian tiga hari dua malam ke destinasi menarik yang membolehkan ahli berkongsi kisah dan perjalanan melawan kanser.
Katanya, program itu bukan berbentuk kaunseling tetapi sebagai curahan hati ke hati agar setiap peserta kembali bermotivasi dan lebih kuat menghadapi cabaran hidup
Manakala, Sentuhan Ungu pula memberi peluang kepada ahli paliatif menunaikan hajat dan menikmati detik indah bersama rakan-rakan.
Ahli paliatif merujuk kepada pesakit kanser yang sudah tidak dapat disembuhkan namun masih memilih untuk menjalani hidup dengan gembira.
“Ada yang memasang impian untuk melihat kelip-kelip di Kuala Sepetang di samping memancing.
“Semua aktiviti itu tidak pernah dilakukan mereka sebelum disahkan sakit,” katanya.
Jalani sembilan kali pembedahan
Walaupun sel kansernya hanya dikesan sembilan tahun lalu, tetapi Mahani sebenarnya sudah memiliki cyst di ovari seawal usianya 18 tahun.
Ketika itu, dia masih menuntut di Amerika Syarikat dan menjalani pembedahan pertamanya.
Selepas 20 tahun, beberapa ketumbuhan lain seperti fibroid dan cyst kembali dikesan sekali gus memerlukannya melalui pembedahan histerektomi.
Kemudian, dia mengikuti terapi penggantian hormon (HRT) dan cyst muncul lagi setelah empat tahun.
Akhirnya, ketumbuhan itu disahkan kanser.
“Secara keseluruhannya, saya sudah menjalani sembilan pembedahan sejak berusia 18 tahun.
“Saya tiada sejarah keluarga yang menghidap kanser. Mulanya memang saya sedih dan menangis tetapi saya tidak larut lama dalam perasaan itu,” katanya.
Mahani lega kerana dikelilingi keluarga dan rakan-rakan yang banyak membantunya mengharungi perjalanan itu.
Malah, dia turut mencari kumpulan sokongan iaitu Pink Unity untuk kekal kuat dalam perjuangan melawan kanser.
“Hidup dengan kanser dan tanpa kanser adalah dua perjalanan berbeza tetapi kedua-duanya membawa keindahan buat saya,” katanya.
Pengesanan awal selamatkan nyawa
Kanser payudara kekal sebagai kanser paling kerap dialami wanita di Malaysia dengan anggaran satu daripada 19 orang berisiko sepanjang hayat mereka.
Walaupun pengesanan awal dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup dengan ketara, lebih separuh daripada kes kanser payudara di Malaysia masih dikesan pada peringkat lewat.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 50.5 peratus kes didiagnosis pada tahap tiga dan empat.
Justeru, Dr. Harjit berkata, pengesanan awal dan tindakan segera mampu menyelamatkan nyawa.
Bagi yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara, ujian genetik boleh menjadi langkah awal penting.
“Mengetahui tahap risiko membolehkan seseorang membuat keputusan yang lebih bijak dan mengambil langkah pencegahan sebelum terlambat,” katanya.-UTUSAN











