Wanita ini bukan sekadar dikenali dek wajah yang manis atau kepetahannya bersolek, tetapi kerana keberaniannya menonjolkan diri seadanya tanpa malu dan tanpa sembunyi.
Dalam dunia yang sering memuja kesempurnaan, Fatin Najwa Kadiron muncul sebagai bukti kecantikan paling tulus datang daripada hati yang reda serta jiwa yang yakin.
Sejak berusia tujuh tahun, wanita ini disahkan menghidap penyakit Familial Hypercholesterolemia (FH) iaitu gangguan genetik yang menyebabkan paras kolesterol tinggi sejak lahir.
Disebabkan itu, keadaan tangannya sedikit unik dan tidak seperti kebiasaan.
Walaupun sering menerima komen yang berbaur daripada pengguna media sosial lain mengenai keadaan tangan dan jari-jemarinya, wanita ini tetap meneruskan kerjayanya sebagai pencipta kandungan solekan di media sosial dengan tabah.
“Kesian mak ada anak cacat, anak jin.” Itulah antara komen yang paling pedih pernah diterima wanita ini di media sosial.
Namun, di sebalik kata-kata yang mampu melemahkan semangat sesiapa sahaja, wanita berjiwa kental ini memilih untuk terus tersenyum dan berdiri teguh dengan keyakinannya.
“Kenapa orang perlu pandang pelik pada keadaan tangan saya? Tetapi, apabila difikir balik, kenapa saya perlu malu dengan apa yang Allah bagi? Walaupun Allah tarik satu benda, tetapi Dia bagi banyak lagi kelebihan lain,” katanya tenang.
Bercerita tentang rawatan, kata Fatin, ia bukanlah sesuatu yang mudah.
Dua kali seminggu, dia perlu ke hospital untuk menjalani prosedur seakan dialisis, tetapi khusus bagi mengeluarkan kolesterol daripada darah.
Mujurlah, dengan bantuan Zakat Selangor, kos rawatan dapat dikurangkan.
Saat orang lain bebas menikmati makanan laut, bergoreng atau bersantan, Fatin perlu menahan diri demi menjaga kesihatan.
Lebih mencabar, dia kini seorang ibu kepada anak lelaki berusia empat tahun, dengan risiko 50 peratus untuk mewarisi penyakit yang sama.

KEKURANGAN BUKAN PENGHALANG
Bagi Fatin, kekurangan tidak pernah menjadi penghalang untuk tampil yakin dan bergaya.
Semuanya bermula pada tahun 2020 apabila Fatin, yang gemar bersolek, mula memuat naik video di TikTok. Tidak disangka, video-videonya mendapat sambutan luar biasa.
Ramai wanita kagum dengan hasil tangannya dan menjadikan dia inspirasi untuk lebih yakin dengan diri sendiri.
“Apabila kita bersolek, keyakinan itu datang sendiri. Orang mula komen positif dan daripada situ saya teruskan. Lama-lama, minat itu jadi semangat untuk saya terus kuat,” katanya.
Daripada sekadar minat, Fatin kini melangkah lebih jauh apabila menjadi pencipta kandungan sepenuh masa dan pengasas jenama kosmetik Lipmatte Ateynneil yang dilancarkan pada tahun 2024.
Produknya bukan sahaja mampu milik, tetapi mendapat sambutan luar biasa daripada pengikut setia.
Selain itu, dia turut menyediakan khidmat solekan untuk pelbagai majlis seperti konvokesyen dan pertunangan.
Kini, Fatin memilih untuk menjadikan platform yang sama sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif tentang penerimaan diri.
Ramai wanita menghubunginya, mengaku terinspirasi dengan keberaniannya tampil tanpa berselindung.
Di sisi Fatin, berdiri suami tercinta, Muhammad Saddam Shamsir, 28, yang menjadi sumber kekuatan.
Mereka mula berkenalan pada tahun 2016. Ketika itu, Fatin masih menyembunyikan keadaan sebenarnya di sebalik pakaian berlengan panjang.
“Saya tidak tahu pun di awal perkenalan. Tetapi apabila dia cerita, saya tidak rasa janggal. Saya terima dia seadanya,” kata Saddam yang bangga melihat semangat dan ketabahan isterinya.
Bagi Fatin, kecantikan sebenar bukan terletak pada rupa paras, tetapi cara seseorang menghargai dirinya sendiri.
“Cantik bukan pada rupa. Tetapi pada bagaimana kita jadikan diri kita yakin, berani dan bersyukur. Itu kecantikan sebenar. Jangan malu dengan takdir. Allah uji sebab Dia sayang. Kadang kita rasa kekurangan, tetapi sebenarnya itulah kekuatan yang Allah bagi,” katanya penuh makna.
PANDANGAN PAKAR
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, bagi yang mempunyai masalah kolesterol tinggi akibat faktor genetik atau Familial Hypercholesterolemia (FH), keadaan ini diwarisi secara autosomal dominan.
Oleh itu, saringan awal amat disarankan kerana golongan ini berisiko mengalami tekanan darah tinggi, kencing manis dan masalah buah pinggang pada usia muda.
Terdapat ujian genetik yang boleh mengesan mutasi pada gen reseptor LDL.
Pesakit biasanya menunjukkan paras kolesterol yang tinggi sejak usia muda, berbeza daripada kebanyakan individu lain yang mengalaminya selepas umur 55 tahun.
Antara kriteria yang digunakan untuk mendiagnosis FH termasuk Simon Broome Criteria, MedPed Criteria dan Dutch Lipid Clinic Criteria.
Menurut American Heart Association (AHA), ujian saringan kolesterol disarankan seawal usia 9 hingga 11 tahun bagi mengesan risiko sejak awal.
Rawatan terkenal meliputi pengambilan ubat statin, kawalan pemakanan dan amalan senaman berkala.
Justeru, setiap wanita perlu menjalani pemeriksaan kolesterol secara berkala, mengamalkan gaya hidup sihat serta kekal aktif.-UTUSAN










