Jangan ambil ringan batuk, selesema si kecil

Jangan ambil ringan batuk, selesema si kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA kanak-kanak terlalu mengantuk, sukar dikejutkan, muntah setiap kali makan atau tiba-tiba kelihatan kurang responsif dan tidak bermaya, itu mungkin petanda awal si kecil diserang sepsis.

Pakar Perubatan Kanak-Kanak dan Rawatan Rapi Kanak-Kanak Pusat Perubatan Sunway, Dr. Olive Lee Pei Ee berkata, sepsis berupaya menyerang secara senyap tanpa disedari.

Ia biasanya bermula dengan simptom ringan seperti demam, sakit perut atau batuk, namun boleh merebak dengan cepat dan menyebabkan keradangan seluruh badan serta kegagalan organ dalam masa beberapa jam sahaja.

Bahaya sepsis bukan hanya pada kadar perkembangannya yang mendadak, tetapi kerana ia sering menyerang secara senyap tanpa disedari.

“Sepsis boleh mencetuskan tindak balas imun tidak normal yang boleh merebak seperti api marak dalam tubuh.

“Di Malaysia, jangkitan paru-paru sering berlaku, terutama ketika musim selesema. Awalnya hanya batuk ringan tetapi boleh berubah menjadi keadaan yang mengancam nyawa,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 49 juta kes sepsis setiap tahun di seluruh dunia dengan 11 juta kematian manakala hampir separuh daripadanya melibatkan kanak-kanak, iaitu kira-kira 2.9 juta.

“Kajian yang diterbitkan bersama rakan penyelidik dari Thailand dan Singapura pada 2021 berdasarkan data Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) mendapati kadar sepsis di rantau ini dianggarkan sekitar 20 peratus, namun berkemungkinan lebih tinggi sehingga mencecah 50 peratus.

“Kajian itu turut merekodkan kadar kematian 19.2 peratus dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami sepsis tahap kritikal atau kejutan septik.

“Pendaftaran Neonatal Kebangsaan Malaysia (MNNR) mencatatkan hampir 1,000 kes sepsis awal dalam kalangan bayi baharu lahir antara 2015 hingga 2020, kebanyakannya berpunca daripada jangkitan bakteria Kumpulan B Streptococcus,” ujarnya.

 

KENAL PASTI GEJALA AWAL
Cabaran terbesar bagi ibu bapa dan doktor adalah mengenal pasti sepsis pada peringkat awal kerana gejalanya sukar dikesan.

Kanak-kanak tidak menunjukkan tanda jelas mereka sakit.

“Kadangkala, ia hanya dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku ketara.

“Seorang kanak-kanak mungkin kelihatan lebih letih daripada biasa, menyendiri atau tidak seperti kebiasaan menjadi petunjuk halus yang mudah terlepas pandang,” ujarnya.

Justeru, katanya, meskipun simptom mungkin kelihatan ringan, ia tidak wajar diabaikan.

“Sesak nafas, perubahan suhu badan ketara serta keadaan tubuh yang lembik merupakan petanda sesuatu yang serius sedang berlaku.

“Sekiranya suhu badan kanak-kanak terlalu panas atau sejuk, saya nasihatkan supaya mereka dibawa terus ke hospital.

“Jika keadaan kanak-kanak tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas tiga hari mengambil ubat atau simptom masih berlarutan, segera dapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.

Pengamal perubatan am telah dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda awal sepsis dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.

Namun, kelewatan mendapatkan rawatan boleh membawa kesan yang serius.

Tambahnya, setiap saat amat bermakna dalam rawatan sepsis.

Apabila ia mula merebak, gejalanya boleh menjadi serius dengan cepat.

Walaupun kanak-kanak berjaya melepasi fasa kritikal sepsis, perjalanan pemulihan belum tentu berakhir.

Proses ini boleh mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan dan berisiko menimbulkan komplikasi.

“Mereka boleh mengalami apa yang dikenali sebagai sindrom pasca-sepsis yang boleh menjejaskan keupayaan fizikal, kognitif dan juga aspek psikososial.

“Kanak-kanak mungkin akan mengalami kelemahan otot, trauma emosi atau psikologi serta gangguan perkembangan,” ujarnya.

Sebahagian daripada mereka memerlukan pemantauan kesihatan berterusan termasuk pemeriksaan fungsi buah pinggang atau organ lain.

Antara golongan berisiko tinggi termasuk bayi baru lahir, kanak-kanak dengan penyakit kronik dan individu yang mengalami obesiti.

Paling penting, Olive menekankan kepercayaan terhadap naluri ibu bapa.

“Ibu bapa lebih mengenali anak mereka. Jika anak kelihatan berbeza daripada kebiasaan, jangan abaikan.

“Dapatkan bantuan. Jangan tunggu sehingga orang lain kata ia serius,” sarannya.

 

LANGKAH PENCEGAHAN
Langkah paling berkesan untuk melawan sepsis ialah pencegahan.

Ia bermula di rumah dengan menjaga kebersihan harian seperti kerap mencuci tangan, pengendalian makanan yang selamat dan memastikan persekitaran sentiasa bersih.

“Vaksinasi mewujudkan imuniti kelompok. Ahli keluarga yang telah divaksin dapat membentuk benteng perlindungan untuk kanak-kanak tersebut.

“Ini bermaksud, walaupun kanak-kanak terlalu muda atau lemah untuk menerima vaksin tertentu, mereka tetap dilindungi oleh individu di sekeliling,” katanya.

Olive turut menasihatkan ibu bapa berwaspada terhadap penggunaan antibiotik secara berlebihan.

“Jika kita mula menggunakan antibiotik untuk semua orang, ia akan mengakibatkan rintangan antibiotik.

“Sepsis yang berpunca daripada jangkitan di hospital lazimnya sukar untuk dirawat.”

Penggunaan antibiotik secara berhemah, digabungkan dengan vaksinasi dan amalan kebersihan dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan yang berpotensi membawa kepada sepsis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN