Industri nipah di Perlis terus bertahan

Industri nipah di Perlis terus bertahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI usia 77 tahun, Hashim Din dari Kampung Kubang Gajah di sini, masih mengerah kudrat menghasilkan atap nipah dan rumbia.

Tangannya lincah mengikat satu persatu daun nipah dengan menggunakan kulit pokok bemban pada bahagian buluh yang diraut bagi menghasilkan atap berkenaan.

Itulah sumber rezekinya sejak 1963.

Di sebalik arus pemodenan, insan seperti Hashim antara pengusaha dari negeri ini yang masih ada untuk mempertahankan industri nipah tersebut.

Pokok nipah atau nama saintifiknya nypa frunticans memiliki banyak kegunaan dan sangat sinonim dengan masyarakat zaman dahulu.

Daunnya digunakan bagi menghasilkan atap rumah kerana tahan cuaca dan mampu memberikan perlindungan matahari atau hujan.

Lidi pula dijadikan lekar iaitu tempat meletakan peralatan dapur seperti periuk atau kuali selain penyapu.

Antara barangan lain yang dihasilkan ialah produk kraf, daun rokok, manisan dan cuka.

Dalam masa sama, pokok nipah boleh menghasilkan air nira yang mendapat permintaan dalam kalangan masyarakat khususnya apabila tiba musim panas atau bulan puasa kerana dipercayai dapat menyejukkan badan.

Di Perlis, masih terdapat kalangan pengusaha kecil yang kekal bertahan meneruskan kelangsungan hidup dengan meraih pendapatan menerusi pokok nipah tersebut.

Hashim berkata, meskipun harga atap nipah tidak begitu tinggi ketika itu, namun permintaan diterima masih menggalakkan sehingga mencecah jualan purata 500 keping sebulan.

Katanya, harga atap rumbia yang dipasarkan sekarang adalah sekitar RM4 sekeping manakala nipah pula RM2.50 sekeping.

“Dalam sebulan, secara purata, hanya dapat pasarkan sekitar 300 keping. Saya lebih fokus menghasilkan atap rumbia memandangkan sukar mendapatkan bekalan daun nipah daripada pembekal berhampiran

“Saya turut menerima tempahan mengikut skala yang besar, namun pelanggan harus memaklumkan awal bagi membolehkan saya membuat persediaan untuk mencari bekalan daun nipah ini,” katanya baru-baru ini.

Kata Hashim, bagi menghasilkan atap nipah, daun itu perlu diikat dengan menggunakan kulit pokok bemban pada bahagian buluh yang diraut.

Pada masa ini, katanya, kebanyakan pelanggan membuat tempahan atap untuk dijadikan sebagai penyeri rumah, inap desa dan lain-lain perhiasan.

“Saya menghasilkan atap ini sejak kecil dan antara kelebihannya adalah dapat mengurangkan panas dan mampu bertahan untuk tempoh lama.

“Selain itu, saya juga pernah menerima permintaan daripada beberapa pihak untuk memberi tunjuk ajar berhubung penghasilan atap ini,” katanya.

Memang penghasilan atap nipah dan rumbia ini tidak begitu dapat sambutan masa kini, tapi masih ada pihak-pihak yang berminat dan minta saya beri tunjuk ajar.

“Pada saya, tidak ada masalah pun untuk diperturunkan ilmu, sebab penghasilan atap ini juga boleh dianggap sebagai usaha mempertahankan warisan dahulu,” katanya.

Sementara itu, di sekitar kawasan Kayang dan Bintong pula, terdapat lebih 30 pengusaha yang masih aktif menjalankan aktiviti penghasilan daun rokok menggunakan nipah tersebut.

DAUN ROKOK

Seorang pengusaha daun rokok dari Kampung Panggau, Mohd. Nizam Mohd. Isa, 32,berkata, dia bersama keluarga sememangnya bergantung sepenuhnya kepada hasil pokok nipah bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, dia menghasilkan daun rokok dan menjual sendiri kepada orang ramai mengikut permintaan yang masih lagi tinggi.

Ujarnya, dia mula mempelajari cara penghasilan daun rokok itu daripada ibu mertuanya, Fatimah Osman, 68, yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam penghasilan daun rokok tersebut.

“Saya memilih menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan memandangkan gajinya sebelum ini tidak menentu bagi menyara keluarga. Saya pindah ke kampung sekitar 2022 dan selepas itu, mak mertua ajar memproses pucuk daun nipah ini untuk dijadikan rokok daun supaya dapat dijual sebagai sumber pendapatan kami.

“Lama-kelamaan timbul minat untuk lebih serius dalam perniagaan ini dan menjadi sumber utama pendapan kami sekeluarga,” katanya.

Mohd. Nizam berkata, untuk menghasilkan daun rokok, dia kebiasaannya akan mencari pucuk pokok nipah bersama isterinya di kawasan berhampiran pada setiap pagi.

Katanya, pucuk tersebut kemudian dibawa balik ke rumah lalu dikoyakkan untuk dijemur di bawah cahaya matahari sepanjang hari sehingga kering.

“Selepas daun kering, ia perlu diletakkan pada peralatan khas dan kemudiannya dikerat sebelum dapat dijual kepada orang ramai. Secara keseluruhannya, tempoh masa diambil bagi menghasilkan daun rokok ini adalah selama dua hari malah ia juga bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Kata Mohd. Nizam, dalam tempoh sebulan, dia mampu menghasilkan antara 1,000 sehingga 1,500 ikat rokok daun dengan pendapatan pula melebihi RM3,000.

Katanya, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh dalam menjalankan pekerjaan itu antaranya risiko serangan haiwan liar seperti ular dan terpaksa berjalan di dalam selut sehingga paras lutut bagi mengeluarkan bekalan mentah.

“Jika bekalan pucuk nipah sukar diperolehi, saya terpaksa membuat tempahan dari Pahang untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

LEKAR

Dalam pada itu, seorang warga emas dari Kampung Tok Kuning, Jalan Tebing Tinggi, di sini, Chek Idris, 71, aktig menghasilkan lekar menggunakan nipah .

Katanya, lekar merupakan peralatan digunakan untuk meletakkan periuk atau kuali panas.

Menurut Chek, dia menjual lekar tersebut di gerai kecil di hadapan rumahnya bersama beberapa barangan lain yang dihasilkan seperti penyapu lidi, topi pesawah, atap nipah, air nira dan beberapa barangan lain menggunakan nipah.

“Sejak muda saya belajar hasilkan lekar atau pelapik periuk ini dengan menggunakan lidi dari daun nipah untuk dijual kepada orang ramai dan ia diteruskan sehingga masih ada hayat,” katanya.

Ujar Chek, lekar bersaiz besar yang dihasilkannya itu dijual pada harga RM18 manakala bagi saiz kecil pula sekitar RM15.

“Biasanya, tempahan lekar ini dapat disiapkan kira-kira dua hari bergantung kepada permintaan dan saiz.

“Saya masih kekal menghasilkan lekar itu berikutan terdapat permintaan daripada pelanggan biar pun pasarannya tidak begitu meluas.

“Walaupun permintaan lekar ini tidak lagi seperti dulu, namun masih ada ramai yang mendapatkannya bagi kegunaan harian dan dijadikan koleksi kraftangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN