Bermotosikal nikmati keindahan Eropah

Bermotosikal nikmati keindahan Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MEMANGLAH teruja menyusuri laluan pergunungan kerana panorama yang sangat cantik tapi risikonya juga tinggi.

“Sepanjang jalan ada gaung dengan sesetengah kawasan tiada penghadang tepi. Hanya keberanian dan semangat tinggi membolehkan cabaran ini ditempuhi dengan selamat.”

Itu yang diceritakan Presiden Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) Kuala Lumpur, Datuk Azman Maat ketika berkongsi pengalamannya mengembara dengan motosikal di tiga negara Eropah, baru-baru ini.

Dia bersama 17 penunggang dan pembonceng lain kesemuanya dari Malaysia berkonvoi selama tujuh hari dengan 12 buah motosikal.

Baginya, peluang menyusuri laluan-laluan mencabar yang menjadi idaman ramai penunggang motosikal dari seluruh dunia bukan sekadar menyimpan 1,001 memori.

Malah, kesempatan itu banyak memberi pengetahuan tentang budaya orang luar, juga pendedahan terhadap ilmu-ilmu baharu tunggangan motosikal pada setiap peserta konvoi.

Hari pertama, kedua
Kembara bermula sehari selepas tiba di Milan, Itali. Selepas memilih dan mendaftar skuter berkapasiti 300 cc masing-masing, mereka memulakan perjalanan ke Lienz, Austria.

Perjalanan sejauh 340 kilometer (km) pada hari pertama membawa mereka melalui Desenzano del Garda-Taman Negara Paneveggio Pale Di San Martino-Northern Dolomites-Aussichtspunkt auf die Drei Zinnen.

Antara pemandangan menarik yang dapat dilihat adalah tasik terbesar di Itali, Tasik Garda dan Passo Giau iaitu laluan pergunungan terkenal yang menyajikan panorama indah serta cabaran kepada pendaki,

pemandu dan penunggang.

Hari kedua diteruskan dengan menuju ke bandar ketiga terbesar di Austria, iaitu Salzburg City.

Dalam perjalanan, mereka singgah di Tasik Hallstatt, dalam kawasan tapak warisan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Malah, dia berkesempatan memasuki dan meninjau perkampungan air di celah-celah banjaran gunung di situ.

“Rumah-rumah penduduk tidak mewah dan tiada pagar tapi sikap toleransi sesama mereka begitu tinggi,” katanya.

Konvoi tiba di Salzburg City selepas menunggang sejauh kira-kira 300 km.

 

Hari ketiga, keempat
Selepas sarapan, mereka menuju Munich di Jerman melalui Rossfeld Panoramastraße yang terletak kira-kira 1,570 meter dari aras laut.

Laluan pada hari ketiga mula melibatkan kawasan pergunungan berlatarbelakangkan Banjaran Alpen Bavaria.

Keunikan dan keindahan panorama di sini menjadikannya lokasi pilihan untuk pengembaraan filem-filem terkenal seperti Sound of Music (1965) dan Indiana Jones (1989).

Sebelum tiba di bandar Munich, mereka singgah di Pusat Dokumentasi Munich mengenai Sejarah Nasional-Sosialisme.

Berada di dalamnya seolah-olah membawa kita kembali ke zaman regim Nazi dan diktatornya, Adolf Hitler.

“Bilik-bilik di mana banduan dipenjarakan dan diseksa masih dikekalkan sampai sekarang. Kita masih boleh lihat catatan banduan-banduan yang ditulis pada dinding,” katanya.

Keesokan hari, Azman dan rakan-rakan mengambil peluang melawat Muzium Motosikal BMW.

Model-model yang dikeluarkan dari dahulu sehingga kini semuanya dipamerkan, termasuk yang tiada di pasaran Asia.

“Suasana di dalamnya benar-benar mengujakan. Deretan motosikal tersusun rapi.

“Setiap sudut mempamerkan sejarah, keanggunan dan kehebatan BMW sebagai sebuah jenama dunia,” ujarnya.

Hari kelima
Hari kelima adalah paling ditunggu-tunggu konvoi kerana mereka melalui Stelvio Pass terletak di utara Itali pada ketinggian 2,757 meter dari aras laut.

la adalah laluan gunung berturap tertinggi di Banjaran Alps Timur dan kedua tertinggi di seluruh Alps.

Destinasi ikonik ini menjadi idaman penunggang motosikal dengan laluan berselekoh tajam yang mencabar, selain tarikan buat pencinta pemandangan indah dan pengembara dunia.

Laluan berliku seperti ular kena palu itu muat-muat untuk dua kenderaan besar berselisih dengan gaung tanpa ada penghadang tepi.

“Menunggang di lereng bukit dan pergunungan bukan sekadar perjalanan tapi satu cabaran melawan graviti.

“Satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila sampai di puncak Stelvio Pass ini kerana ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal serta keyakinan diri,” katanya.

Kegembiraan mereka terhenti apabila sebuah motosikal ahli konvoi terbabas pada selekoh ketiga.

Kurang 10 minit, pasukan ambulans, bomba dan polis tiba memberikan bantuan.

Dalam hatinya, Azman tertanya-tanya bagaimana pihak berkuasa tahu tentang kemalangan kecil itu sedangkan tiada balai pasukan penyelamat atau kamera litar tertutup (CCTV).

“Rupa-rupanya, penduduk dan pengguna jalan yang prihatin melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” jelasnya.

Mujurlah penunggang yang terlibat dalam kemalangan tersebut hanya mengalami lebam-lebam pada tangan dan perjalanan diteruskan dengan lancar.

Berbekalkan keberanian dan semangat tinggi, mereka berjaya menempuh cabaran dan tiba di Bormio selepas perjalanan 220 km.

 

Hari keenam
Selepas mendaftar keluar hotel pada hari keenam, mereka ke satu lagi laluan yang popular dalam kalangan penunggang motosikal, iaitu Gavia Pass. Ia terletak lebih 2,621 meter dari aras laut.

Laluannya hanya dibuka antara Julai hingga September setiap tahun.

Cabarannya sama seperti di Stelvio Pass tetapi berbaloi dengan pemandangan dan keunikan yang disajikan di puncaknya.

Masih kelihatan salji menutupi puncak-puncak gunung.

Di situ sempadan tiga negara iaitu Itali, Austria dan Switzerland seolah-olah berkongsi tapak yang sama.

Setelah puas menikmati panorama di situ, mereka turun ke bandar Trento dengan perjalanan sejauh 140 km.

Hari ketujuh
Hari terakhir konvoi, tiada aktiviti utama selain kembali ke Milan sejauh 90 km yang mengambil masa dua jam untuk memulangkan motosikal.

Di Milan, para peserta konvoi sempat meraikan sambutan Hari Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Jalur Gemilang turut diedarkan kepada penunggang motosikal yang ditemui mereka sepanjang perjalanan.

Bagi Azman, perjalanan sejauh kira-kira 1,500 km di tiga negara terbabit memperlihatkan kepadanya sikap dan budaya tunggangan masyarakat Eropah.

Tiada istilah ‘rempit’ sebaliknya mereka penuh berdisiplin mematuhi peraturan jalan raya selain berhemah serta bertoleransi dengan penunggang dan pengguna kenderaan lain.

“Kalau dalam bandar, had laju dibenarkan 50 km/jam dan di jalan-jalan kampung bolehlah tunggang sehingga 70 km/jam tapi sesetengah tempat hanya 30 km/jam.

“Jangan harap boleh mencelah barisan kenderaan seperti biasa buat di Malaysia, ikut sajalah di belakang kereta. Ada sekali, enjin motosikal kami jadi terlampau panas disebabkan bergerak begitu perlahan dan terpaksa berhenti-henti akibat kesesakan lalu lintas,” ceritanya.

Menurutnya, pengalaman menunggang motosikal di luar negara membuka mata yang disiplin serta kepatuhan kepada undang-undang jalan raya amat dititikberatkan oleh penunggang di sana.

“Keselamatan di jalan raya bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan. Justeru, setiap penunggang perlu mematuhi peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan demi mengelakkan berlakunya kemalangan,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×