PUTRAJAYA: Penyanyi dan komposer terkenal, Naim Daniel dilihat tenang ketika hadir ke Mahkamah Sesyen di sini bagi pengurusan kes amang seksual fizikal melibatkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, hari ini.
Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, hadir ditemani barisan peguamnya iaitu Amirul Ridzuan Hanif, Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.
“Saya tiba seawal pukul enam pagi dan menunaikan solat Subuh di sini.
“Alhamdulillah, segala urusan hari ini berjalan lancar dan semua pihak memberikan kerjasama yang baik.
“Saya juga berada dalam keadaan yang baik sekarang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-34 itu memaklumkan beliau kini sedang sibuk menyiapkan rakaman serta kerja promosi lagu terbaharu yang dijangka dilancarkan hujung bulan ini.
“Buat masa ini, saya sedang fokus kepada penghasilan lagu baharu. Proses rakaman hampir selesai dan insya-Allah akan dilancarkan hujung bulan ini,” ujarnya.
Walaupun berdepan dengan prosiding mahkamah, penyanyi lagu Sumpah itu meluahkan rasa syukur apabila klip teaser lagu terbaharanya mendapat sambutan positif daripada para peminat.
“Saya anggap ini sebagai satu rezeki yang tidak disangka-sangka. Saya juga sentiasa mendoakan kebaikan buat semua yang masih menyokong dan mendengarkan karya saya.
“Ketika ini, fokus saya hanya kepada kerja dan ingin terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik,” katanya lagi.
Mahkamah menetapkan 15, 16 dan 18 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan bagi kes tersebut.
Terdahulu, pada 18 Ogos lalu, Naim hadir ke mahkamah bersama peguamnya untuk menyerahkan dokumen berkaitan pembelaan.
Pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berumur 17 tahun 7 bulan, di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, sekitar pukul 8.56 malam pada 19 Mei 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










