Dalam dunia yang semakin dikuasai gajet dan hiburan kontemporari, namun lain buat anak-anak Rentak 13 yang asyik mengatur rentak tari warisan.
Kumpulan tarian tradisional kelolaan Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 13 Shah Alam itu bukan sahaja menjadi nadi seni sekolah, malah simbol kebangkitan semula nilai budaya Melayu dalam kalangan generasi muda.
Di peringkat awal, Rentak 13 hanya menyasarkan 70 peserta, tetapi kini berjaya menghimpunkan seramai 97 murid dari tahun satu hingga enam.
Malah, turut dijemput membuat persembahan dalam pelbagai acara rasmi.
Sambutan yang diterima itu sekali gus membuktikan seni ini masih relevan dan dihargai.
Seorang penari, Nik Auddra Nik Juhadi, 12, melihat tarian sebagai jalan mengenal dirinya sebagai anak Malaysia yang mencintai budaya.
Murid tahun enam itu juga semakin mula menghayati keindahan budaya di sekelilingnya.
“Selain memelihara budaya, saya belajar jadi lebih berdisiplin. Yang paling seronok, ibu bapa pun turut serta membantu kami mencapai gerakan yang seragam,” katanya.
Bagi murid tahun lima, Nuh Alziqri Muhamad Amalaizem, 11, aktiviti itu meningkatkan keyakinan diri dan menjadikannya lebih berani untuk bergaul.
“Mungkin orang ingat kami hanya menari zapin dan inang sahaja, sedangkan kami juga belajar tarian K-pop dan Bollywood untuk persembahan khas.
“Pengalaman ini sangat menyeronokkan dan dalam masa sama dapat mengeratkan ukhuwah,” katanya.

DISIPLIN DALAM LENGGOK
Ahli Jawatankuasa (AJK) Unit Rentak 13, Wan Noor Adianti Wan Husin berkata, seni tarian tradisional berfungsi sebagai alternatif sihat dalam dunia digital yang terlalu mendominasi masa anak-anak.
“Tarian tradisional adalah seni persembahan yang melibatkan gerakan badan mengikut rentak muzik dan ia merupakan sebahagian daripada warisan budaya yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang.
“Rentak 13 mendapat sokongan padu dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa bagi memastikan anak-anak dapat menjauhi dunia gajet serta media sosial,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi AJK, Shazwani Abdul Ghani, berkata, tarian tradisional bukan hanya indah dipandang, bahkan dapat melatih disiplin, kerjasama dan memperkukuhkan jati diri si cilik.
“Aktiviti bersama Rentak 13 terbukti meningkatkan keyakinan diri anak saya.
“Menerusi tarian inang dan zapin ini juga dapat memupuk disiplin agar lebih fokus dalam akademik,” katanya.
Graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini menjadi tulang belakang kepada latihan intensif kumpulan ini.
“Apa yang penting untuk memastikan anak-anak ini sentiasa komited, saya mempunyai pendekatan tersendiri bagi memastikan sesi latihan dilalui tanpa rasa bosan.
“Lagu-lagu memainkan peranan penting bagi memastikan mereka terus mengikuti latihan dan memahami langkah-langkah dan lenggok-lenggok tarian,” ujarnya.










