Perkampungan nelayan Kuala Perlis ‘mendunia’

Perkampungan nelayan Kuala Perlis ‘mendunia’

PASUKAN dari perkampungan nelayan Kuala Perlis berentap dalam pertandingan perahu tradisional. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEINDAHAN dan keunikan Perahu Diraja Jarum Emas Putra Jamalullail di tengah pancutan air berlampu yang melintasi perairan muara Sungai Kuala Perlis memukau setiap mata yang melihat.

Sekali gus, menjadi simbolik perasmian yang cukup ikonik bersempena Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 yang berlangsung meriah baru-baru ini.

Ia diikuti dengan persembahan cendera kenangan replika sebenar perahu diraja tersebut yang dipersembahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)

Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah kepada Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berkenan merasmikan acara itu.

Sejurus selepas itu, pertunjukan bunga api yang menerangi suasana malam di perkampungan nelayan Kuala Perlis, menandakan bermulanya acara tahunan terbesar di negeri ini yang berlangsung dari 12 sehingga 16 September.

Jarum emas merujuk kepada sebuah perahu khas sepanjang 54 kaki yang dibina menggunakan kayu jati Perlis untuk diangkat sebagai hadiah istimewa bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis.

Menariknya, Pesta Air Kuala Perlis diberikan nafas baharu iaitu bertaraf antarabangsa apabila turut melibatkan penyertaan para peserta atau pasukan dari England, Australia, Brazil, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Libya, Indonesia, Thailand, Brunei dan pelbagai lagi.

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (tengah) menyempurnakan perasmian Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 di tapak MBI, Kuala Perlis baru-baru ini. Turut kelihatan, Abu Bakar Hamzah (kiri).

Ujarnya, para peserta antarabangsa itu terlibat bagi kategori perahu naga yang membabitkan seramai 55 pasukan.

Kategori sama turut disertai agensi dan jabatan kerajaan serta Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara.

Manakala, sebanyak 15 buah kampung sekitar Kuala Perlis terlibat dalam kategori perahu tradisional.

“Selain acara utama itu, kita turut mengekalkan sukan rakyat seperti pukul bantal, panjat tiang licin dan menjala ikan serta pertandingan keceriaan kampung.

“Objektif penganjuran acara tersebut bagi mempromosikan negeri Perlis sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2026 dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis.

“Dalam masa sama, ia sebagai menyokong hasrat kerajaan Persekutuan bersempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana acara seperti ini juga bakal menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat,” katanya

Turut berangkat pada majlis perasmian yang berlangsung di tapak MBI Kuala Perlis itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli serta Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail.

Selain persembahan kebudayaan dan kesenian serta perahu berhias, majlis perasmian itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Wany Hasrita dan Datuk Ramli Sarip.

Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 dianjurkan oleh Persatuan Khazanah Kuala Perlis dan kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Pesta air yang bermula sejak 1961 atau lebih 60 tahun lalu itu merupakan acara tradisi penduduk Kuala Perlis yang boleh diibaratkan seperti perayaan setiap kali ia berlangsung selain turut menarik puluhan ribu pengunjung.

Setiap kali pesta air berlangsung, para penduduk dengan penuh semangat memberikan sokongan kepada pasukan yang bertanding, sambil mengangkat nama kampung masing-masing.

Ia membabitkan 15 perkampungan nelayan iaitu Kampung Seberang Tok Pi, Kampung Bahagia, Kampung Belakang Kilang, Kampung Bukit Papan, Kampung Kurung Tengar, Kampung Nelayan, Kampung Tanah Baru, Kampung Bukit Tok Po, Kampung Baru Seberang, Kampung Tandiap, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tengah, Kampung Seberang Alor, Kampung Pulau Ketam dan Taman Wai Permai.

TARIK RIBUAN PENGUNJUNG

Abu Bakar yang juga Pengerusi Jawatankuasa penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 berkata, ia merupakan salah satu program yang dirancang dalam kalendar acara pelancongan Perlis dan Eye Of Kuala Perlis.

Abu Bakar berkata, puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara menghadiri sepanjang lima hari penganjuran pesta itu.

Katanya, bagi pertandingan perahu panjang tradisional kategori P14, sejumlah 600 penyertaan melibatkan 15 buah kampung manakala kategori lain turut menyaksikan penglibatan memberangsangkan.

“Setiap kampung menghantar pasukan untuk berentap dan penduduk turut keluar beramai-ramai bagi memberi sokongan kepada kampung mereka.

“Selain dapat melihat kemeriahan acara disediakan, pesta tersebut turut memberi limpahan ekonomi khususnya buat penduduk setempat di mana kedai-kedai makan juga dipenuhi pengunjung,” katanya.

Sementara itu, pertandingan perahu naga melibatkan peserta dari seluruh dunia juga menarik perhatian dan mempunyai keunikan tersendiri.

“Jumlah ganjaran bertambah berbanding tahun lalu dengan johan bagi setiap kategori menerima wang tunai sebanyak RM5,000.

“Malah, kita turut memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada setiap kampung terlibat sebagai persiapan pertandingan bersama 50 helai baju,” katanya.

Abu Bakar mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk persatuan nelayan, komuniti kampung, wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri serta pusat yang membantu menjayakan program berkenaan.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana sentiasa memberi komitmen dan sokongan kepada Perlis dalam memastikan agenda pertumbuhan ekonomi negeri ini terutama dalam sektor pelancongan.

“Kerajaan negeri berharap agar acara berkenaan mendapat perhatian pihak kementerian untuk didaftarkan di dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Semoga para pelancong dapat menjadikan Perlis sebagai satu destinasi pilihan yang membawa ketenangan dan kenangan manis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN