Ozempic atau mounjaro, mana lebih berkesan turunkan

Ozempic atau mounjaro, mana lebih berkesan turunkan berat badan?

Deivinya Puvanthiran menunjukkan pen Ozempic (atas) dan Mounjaro (atas).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai keliru memilih antara Mounjaro atau Ozempic sebagai jalan untuk menurunkan berat badan.

Kedua-dua ubat ini semakin popular kerana keberkesanannya yang terbukti membantu mengurangkan berat badan, terutamanya bagi yang menghadapi masalah obesiti atau diabetes.

Namun, dengan banyak maklumat yang berlegar di media sosial, iklan dan testimoni pengguna, ramai yang sukar memutuskan mana satu yang lebih sesuai dan berkesan.

Doktor Perubatan di Klinik Medbay Petaling Jaya, Dr. Deivinya Puvanthiran berkata, Ozempic dan Mounjaro adalah ubat yang digunakan untuk rawatan diabetes jenis 2 tetapi kini turut digunakan secara meluas untuk membantu pesakit yang ingin menurunkan berat badan.

Ozempic telah lama berada di pasaran Malaysia dan popularitinya melonjak selepas mendapat perhatian dalam media sosial seperti TikTok.

Ramai yang melihat Ozempic sebagai jalan pintas untuk menurunkan berat badan dengan cepat.

Namun, ubat ini bukanlah penyelesaian ajaib dan penggunaannya memerlukan pemahaman mendalam serta pengawasan perubatan yang rapi.

“Ozempic berfungsi dengan mengawal insulin dalam badan, menurunkan selera makan dan meningkatkan rasa kenyang.

“Berbeza dengan Ozempic, Mounjaro pula ubat baharu yang mempunyai kelebihan bertindak pada dua jenis reseptor berbanding satu reseptor pada Ozempic.

“Perbezaan ini menyebabkan Mounjero lebih efektif membantu membakar lemak, terutamanya lemak di bawah kulit dan lemak sekitar organ yang sukar dihapuskan melalui diet dan senaman sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam banyak situasi, pesakit yang mempunyai tahap obesiti yang lebih tinggi lebih sesuai diberikan Mounjaro untuk kesan optimum.

Daripada segi harga, Ozempic pilihan yang lebih mampu milik bagi kebanyakan pesakit, manakala Mounjaro yang lebih efektif pula mempunyai harga lebih tinggi.

Kedua-dua ubat ini mempunyai cara kerja yang hampir sama tetapi dengan keberkesanan yang sedikit berbeza disebabkan oleh tindakan pada reseptor yang berbeza.

Oleh itu, ia bergantung kepada kemampuan pesakit serta tahap keyakinan terhadap kesan sampingan yang mungkin timbul.

Selain manfaat utama dalam pengurusan berat badan, kedua-dua ubat ini juga memberi impak positif kepada kesihatan jantung.

Ozempic secara khusus dapat membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dengan meningkatkan fungsi jantung dan mengurangkan beban organ itu yang terpaksa menanggung berat badan berlebihan.

Bagi pesakit obesiti, berat badan yang turun membantu mengurangkan tekanan pada jantung sekali gus menurunkan risiko komplikasi kardiovaskular serius.

Dalam memilih antara Ozempic dan Mounjaro, Dr. Deivinya berkata, keputusan bergantung pada keadaan kesihatan individu serta kemampuan menghadapi potensi kesan sampingan.

Biasanya, bagi pesakit yang kurang yakin dan ingin mencuba terlebih dahulu, Ozempic menjadi pilihan utama.

Jika tiada hasil yang memuaskan dan obesiti masih serius, Mounjaro akan dicadangkan sebagai alternatif yang lebih berkesan.

“Bagaimanapun, penggunaan ubat ini haruslah disertai dengan perubahan gaya hidup, terutama amalan senaman yang konsisten dan kawalan diet yang betul.

“Ubat-ubatan ini bukanlah pengganti kepada usaha fizikal dan pemakanan sihat tetapi hanya pelengkap dalam pengurusan berat badan.

“Pasti ramai yang tertanya-tanya kalau kena senaman dan jaga makan juga, kenapa perlu ambil ubat? Ubat ini membantu memberi rasa kenyang kerana kadang kala nafsu makan membuatkan seseorang susah untuk kawal berat badan,” jelasnya.

Beliau juga menekankan pentingnya konsultasi dengan doktor sebelum memulakan rawatan menggunakan kedua-dua ubatan itu.

Katanya, pesakit yang mengambil ubat tanpa pengawasan yang betul, boleh menyebabkan komplikasi serius seperti rasa lemah, keletihan melampau dan ketidakseimbangan gula dalam darah.

“Pengawasan doktor yang berterusan memastikan dos ubat dapat disesuaikan mengikut perubahan keadaan pesakit supaya risiko kesan sampingan dapat diminimumkan.

“Dalam konteks ini, ujian darah secara berkala memainkan peranan penting memantau status kesihatan pesakit, termasuk tahap gula dalam darah, kolesterol dan keadaan hormon,” jelasnya.

KESAN SAMPINGAN

Berkaitan kesan sampingan, penggunaan jangka panjang Ozempic atau Mounjaro boleh menyebabkan gangguan pada sistem pencernaan, seperti gastroparesis iaitu satu keadaan di mana makanan bergerak perlahan melalui perut dan usus.

Ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan nutrisi dan masalah kesihatan lain jika tidak ditangani dengan betul.

Terdapat juga beberapa laporan yang mengaitkan penggunaan Ozempic dengan masalah pada retina mata, namun risiko dapat dikurangkan dengan pemantauan doktor yang teliti.

Tambahnya, tiada kajian yang menunjukkan pengambilan ubat-ubatan ini berbahaya kepada ibu atau bayi di dalam kandungan.

“Namun, secara logik, pengambilan ubat ini boleh menyebabkan penurunan selera makan yang signifikan, yang seterusnya boleh mengganggu perkembangan janin akibat kekurangan nutrisi.

“Wanita yang sedang hamil dinasihatkan supaya tidak mengambil ubat-ubatan ini,” ujarnya.

Begitupun, bagi pesakit yang mengalami sindrom polikistik ovari (PCOS) dan sedang berusaha hamil boleh mencuba ubatan ini kerana ia boleh meningkatkan kesuburan.

Utamakan pemeriksaan menyeluruh, konsultasi bersemuka

Dalam era di mana banyak klinik menawarkan ubat ini secara mudah melalui dalam talian tanpa pemeriksaan menyeluruh, Dr. Deivinya memberi peringatan kepada supaya memilih klinik yang menawarkan konsultasi bersemuka.

Ini penting supaya doktor dapat menilai keadaan kesihatan fizikal dan mental pesakit dengan lebih tepat, melakukan ujian darah yang lengkap serta memberi nasihat yang sesuai berdasarkan keadaan sebenar pesakit.

Mengambil ubat tanpa pemeriksaan menyeluruh atau nasihat perubatan yang betul bukan sahaja membahayakan tetapi boleh menyebabkan pembaziran kos dan masa.

“Selain itu, jangan mudah terpengaruh dengan kisah kejayaan di media sosial yang memaparkan penurunan berat badan secara drastik dalam masa singkat.

“Setiap individu mempunyai keadaan hormon, metabolisme dan faktor genetik yang berbeza, maka proses menurunkan berat badan juga berbeza.

“Penurunan berat badan yang sihat dan berkesan biasanya sekitar tiga hingga empat kilogram sebulan apabila digabungkan dengan diet dan senaman yang sesuai,” ujarnya.

Tambahnya, harapan yang tidak realistik boleh menyebabkan kekecewaan dan mendorong individu melakukan langkah yang tidak selamat seperti mengambil dos ubat berlebihan.

Sesetengah pesakit yang mengalami masalah hormon seperti PCOS mempunyai haid tidak teratur dan menyukarkan usaha menurunkan berat badan.

Dalam kes sebegini, selain menggunakan ubat pengurusan berat badan, pesakit juga mungkin diberi rawatan tambahan seperti inositol yang membantu melancarkan haid dan menstabilkan hormon.

Proses menurunkan berat badan menjadi lebih mudah dan berkesan dengan pengurusan yang betul.

Sementara itu, Dr. Deivinya berkata, ubat itu tidak seharusnya digunakan oleh individu yang mempunyai berat badan normal hanya untuk menurunkan berat badan secara drastik.

Penurunan berat badan yang terlalu cepat dalam kalangan individu yang sudah mempunyai berat badan ideal boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti rambut gugur, perubahan mood dan gangguan hormon.

Oleh itu, setiap individu harus memandang berat badan dalam konteks kesihatan secara keseluruhan dan bukan sekadar angka di atas penimbang.

Kesimpulannya, ubat-ubatan ini mempunyai manfaat yang besar jika digunakan dengan betul dan di bawah pengawasan doktor yang berpengalaman.

Bagaimana pun, rawatan ubat ini hanyalah satu bahagian daripada pelan pengurusan berat badan yang menyeluruh yang memerlukan disiplin dalam diet, senaman serta pemantauan kesihatan secara berkala.

Pesakit harus membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat dan bukannya terikut-ikut dengan trend media sosial semata-mata.

Kesihatan adalah aset paling berharga dan memerlukan pendekatan yang berhati-hati dan berkesan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×