Kumpul lebih 1,000 dialek Pulau Tawar

Kumpul lebih 1,000 dialek Pulau Tawar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA daerah atau ‘kolokial’ tempatan semakin terhakis apabila jarang dituturkan.

Lebih-lebih lagi generasi hari ini sudah menerima pendidikan formal bahasa Melayu dan bahasa kedua selain pengaruh slanga laman sosial yang turut dimesrakan dalam kehidupan harian.

Bagi memulihara warisan itu, pencinta bahasa daerah, Mohd. Razali Mulud, 66, mengumpul lebih 1,000 perkataan dialek Pulau Tawar, Jerantut yang berbeza dengan tempat lain di Pahang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, dialek itu digunakan lebih 300 tahun lalu oleh pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau dan bapanya, Imam Perang Rasu Shahrum atau Tok Gajah sepanjang menetap di Kampung Kedondong pada abad ke-19.

“Tetapi kini, penduduk pun sudah jarang menuturkan dialek yang berusia 300 tahun ini.

“Manakala kanak-kanak dan remaja pula tidak diajarkan tentang dialek ini oleh ibu bapa masing-masing,” katanya baru-baru ini.

Mohd. Razali berkata, proses mengumpul perkataan dilakukan dengan merujuk kepada beberapa warga emas di kampung yang masih fasih dalam dialek berkenaan.

“Agak sukar untuk mengumpulkan varian kerana ramai yang sudah meninggal dunia di samping tahap ingatan yang terhad,” katanya.

Di peringkat awal, semua perkataan dialek itu ditulisnya dalam sebuah buku.

Dia yang juga ahli Persatuan Pencinta Loghat Daerah Pahang memberi contoh perkataan pudong yang bermaksud berpaut pada akar, rumput, tebing untuk naik ke atas, manakala kopok pula merujuk kepada kata-

kata semangat dan motivasi supaya lebih yakin atas sokongan sekeliling.

Kadangkala, kopok juga bermaksud menghasut melakukan kejahatan.

Perkataan cemak pula ialah luka yang mengeluarkan banyak darah dan cedera parah disebabkan kemalangan.

Jelasnya, dielak Pulau Tawar yang masih dituturkan sehingga kini seperti kas, keh (saya, kawan), demeh (mereka), kabo (beritahu), matnyer (kenapa), sokmo (selalu), maleh (malas), kohok (letih), bele (baiki), lece

(tilam), senyor (kebas), keri (meluap-luap), jaber (bekas plastik) dan sebagainya.

“Inilah keunikan dialek Pulau Tawar yang sebahagiannya dituturkan oleh penduduk daerah lain di pesisir Sungai Pahang kerana hubungan persaudaraan, perkahwinan dan aktiviti perniagaan yang menggunakan laluan sungai sebelum abad ke-19,” katanya.

 

BAHASA IKUT ARUS SUNGAI
Ada sebilangan varian sebutan Pulau Tawar menyamai dengan dialek Temerloh, Maran, Bera dan Pekan kerana bahasa ini mengikut arus Sungai Pahang yang merentasi daerah tersebut.

Namun, intonasinya sedikit berbeza yang dikaitkan dengan arus Sungai Jelai, Sungai Tembeling dan Sungai Pahang.

Kebiasaannya di kawasan ulu sungai tersebut, arus aliran air lebih laju dan deras bermakna penutur kalangan penduduk di kawasan Ulu Jelai dan Ulu Tembeling lebih laju sebutan dialek berbanding di pertengahan Sungai Pahang yang agak sederhana.

Malah, apabila berdekatan muara seperti di Maran, Pekan dan Rompin, pertuturan lebih lambat, lanjut dan jelas.

Mengulas dialek Pulau Tawar, katanya, pertuturan penduduk Melayu di situ masih laju bagi beberapa perkataan malah seakan-akan ‘menekan’ serta pantas apabila menyebutnya sehingga sukar difahami orang luar.

Istimewanya, Mohd.Razali turut menulis perkataan dialek Pulau Tawar itu di hadapan kedai kopinya di Kampung Bandar untuk tatapan pelanggan dan pengunjung.

“Inilah antara contoh bahasa lama Pulau Tawar dan dianggarkan lebih 1,000 dialek atau kolokial tempatan kian pupus jika tidak dituturkan semula dalam perbualan harian,” katanya.

Ujarnya, pengaruh bahasa slanga, bahasa singkatan melalui Facebook, Tiktok dan laman sosial lain yang menjadi sebutan serta tulisan generasi hari ini kemungkinan akan melenyapkan terus dialek Pulau Tawar dan Pahang di masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini