“Jayden… Jayden!” Jayden Jing Long Kwa yang leka bermain, menolehkan mukanya ke arah pegawai pemulihan perubatan pendengaran, Fatimah Sazari yang memanggilnya dengan suara lembut dan perlahan.
Jayden menaikkan ibu jarinya sebagai isyarat dia mampu mendengar panggilan itu.
Reaksi itu membuahkan tawa dan tepukan daripada ahli keluarganya termasuk pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), Prof. Goh Bee See dan pegawai pemulihan perubatan pertuturan, Cho Kai Shuo yang menyaksikan ujian pendengaran di bilik itu.
Jayden mengikuti ujian pendengaran itu selepas lebih dua minggu menjalani pembedahan implan koklea pintar di Pusat Kepakaran UKM (UKMSC), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 30 Julai lalu.
Pembedahan implan koklea pintar itu yang pertama dijalankan di Asia Tenggara ke atas kanak-kanak berusia enam tahun, diketuai oleh Bee See yang juga Pensyarah Fakulti Perubatan UKM dengan kerjasama pasukan implan koklea HCTM yang terdiri daripada pakar bedah ENT, audiologi, ahli terapi pertuturan, pakar pediatrik, radiologi dan profesional kesihatan lain.
Bee See berkata, pembedahan selama dua jam itu berjaya memulihkan pendengaran sebelah kiri Jayden yang hilang hampir 90 peratus sejak usianya tiga tahun.
“Implan koklea pintar ini dilengkapi dengan kecerdasan termaju yang perisiannya boleh dinaik taraf, mempunyai memori terbina dan pemprosesan bunyi lebih ringan dengan kapasiti hayat bateri lebih lama.
Ia juga memberikan keselesaan, kecekapan dan prestasi lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
“Sebelum ini, pembedahan implan koklea pintar dijalankan ke atas individu dewasa dan kita mencatat sejarah apabila pertama kali membabitkan kanak-kanak di Asia Tenggara,” katanya.

Komponen dalaman alat pintar dimasukkan di bahagian bawah kulit kepala dan elektrod dengan diameter berukuran kurang satu milimeter dimasukkan ke dalam koklea iaitu organ yang mengubah getaran gelombang bunyi yang dihantar ke otak melalui saraf pendengaran.
Bahagian luaran iaitu alat pemproses bunyi dipasang di luar telinga, akan berhubung dengan alat dalaman yang di bawah kulit tadi bagi membolehkan mereka mendengar.
Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan perlu menjalani proses pemetaan bunyi terlebih dahulu bersama pakar audiologi dan menjalani terapi sehingga setahun bagi melancarkan pertuturan.
Pembedahan ini bukan sekadar memulihkan pendengaran, malah hubungan komunikasi dan keyakinan kanak-kanak.
Teknologi canggih dan piawaian baharu ditetapkan untuk penjagaan pendengaran di Malaysia.
“Keluarga Jayden datang beberapa bulan lalu untuk bertanya mengenai implan koklea.
“Sebelum ini, dia sudah memakai alat bantu pendengaran konvensional tetapi keluarganya mendapat maklumat mengenai peranti implan koklea.
“Jayden dilahirkan sebelum pandemik Covid-19, ketika itu ramai yang was-was hendak pergi ke hospital selain sukar mendapatkan janji temu dengan doktor bagi masalah bukan kecemasan. Jadi kes Jayden tersekat tanpa rawatan,” katanya.
DUNIA JAYDEN SUNYI
Nenek Jayden, Teh Chian Ee, 54, gembira melihat tindak balas ditunjukkan cucunya itu sebaik alat pendengaran tersebut diaktifkan oleh Fatimah.
“Saya terharu melihat tindak balas pantasnya apabila dipanggil nama. Sebelum ini, dia menggunakan alat bantuan pendengaran konvensional.
“Selepas pembedahan memasukkan alat pendengaran pintar, Jayden mampu mendengar walaupun selepas menanggalkan alat bantuan lama.
“Sejak lahir, dia lebih banyak duduk dengan pembantu rumah, tetapi pada masa itu, dia boleh bercakap. Dia menyahut apabila dipanggil, beritahu kalau mahu minum dan faham apabila disuruh ambil barang, “ katanya.
Namun, memasuki umur tiga tahun, Chian Ee mula menyedari Jayden tiada respon apabila dipanggil.
Selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia membawa cucunya menjalani pemeriksaan dan Jayden disahkan mengalami masalah pendengaran.
Mereka sekeluarga hairan kerana selama ini Jayden tidak pernah jatuh sakit atau dijangkiti Covid-19.
“Saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Jayden yang bermasalah pendengaran pada kedua-dua belah telinga.
“Telinganya dipasang alat bantu pendengaran yang sedikit sebanyak membantunya mendengar walaupun tidak banyak perubahan.
“Kami perlu bercakap dengan kuat baru dia dengar. Jayden lebih banyak menggunakan bahasa isyarat yang diciptaannya sendiri apabila mahu berkomunikasi dengan ahli keluarga,” katanya.
Dia tahu mengenai implan koklea selepas membuat kajian mengenai rawatan bagi mengatasi masalah pendengaran.
Sebagai nenek, dia hanya mahu yang terbaik dan berharap cucunya itu boleh mendengar seperti kanak-kanak normal lain.
Tambahan pula, Jayden sudah ke sekolah dan menunjukkan pencapaian yang baik dalam akademik walaupun kurang pendengaran.

PEMERIKSAAN MENYELURUH
Menurut Bee See, sebelum menggunakan implan koklea, pakar perlu memeriksa dahulu sama ada alat bantu pendengaran yang digunakan tidak dapat membantu secara optimum iaitu tidak mencapai tahap normal bagi membantu kanak-kanak bertutur dengan baik.
Ahli pasukan yang membuat penilaian berkenaan perlu melihat dan menjalankan ujian ke atas Jayden untuk memastikan tahap pendengaran kanak-kanak itu.
Oleh kerana alat bantuan pendengaran yang sedia dipakai itu tidak mencukupi bagi Jayden, implan koklea mampu memberikan tahap pendengaran lebih baik.
Bagaimanapun, tempoh lebih lama diperlukan bagi membolehkannya bertutur dengan lebih lancar selepas pembedahan implan berkenaan kerana faktor usia berbanding jika prosedur ini dijalankan pada usia kecil.
Pembedahan itu dijalankan selama dua jam di bawah mikroskop kerana membabitkan urat saraf muka dan melalui bahagian telinga.
“Pembedahan koklea ini ada risiko dan perlu menggunakan mikroskop serta pemantau saraf untuk mengurangkan komplikasi seperti muka menjadi senget.
“Bagaimanapun risiko boleh dikurangkan kerana pakar ENT terlatih dalam menjalankan pembedahan dan implan ini.
“Pembedahan ini juga dijayakan dengan kerjasama pakar bius dan pasukan pembedahan ENT. Semua perkara ini terutama dari segi komplikasi sudah dimaklumkan kepada keluarga sebelum implan dijalankan,” katanya.
Pembedahan ini lebih istimewa kerana keluarga Jayden memilih peranti pendengaran berteknologi terbaharu iaitu implan koklea pintar.
Cip implan yang dimasukkan ke dalam kulit kepala ketika pembedahan itu lebih canggih dan data boleh dinaik taraf.
Teknologi ini juga boleh digunakan sepanjang hayat.
“Bahagian luaran akan berhubung dengan komponen di dalam dan ia mempunyai perisian untuk dipeta oleh pakar juruaudio.
“Juruaudio akan membuat tetapan pendengaran bunyi agar tidak lemah atau terlalu kuat supaya pengguna dapat mendengar pada tahap normal.
“Selepas boleh mendengar, pesakit perlu menjalani terapi pertuturan kerana mereka tidak pernah mendengar sebelum ini.
“Justeru, pesakit dan keluarga diajar untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak terbabit,” katanya. – UTUSAN










