Kerjaya dalam bidang perhotelan sering dianggap mencabar, terutama apabila terpaksa bermula dari bawah.
Namun, di sebalik kepayahan itu, ia tetap menjanjikan masa depan cerah jika ditempuh dengan ketekunan dan kesabaran.
Hakikat itu dibuktikan oleh Muhammad Syazwan Ibrahim, 36, yang memulakan langkah pertamanya dalam industri hanya sebagai pekerja sambilan di bahagian bankuet.
Jerih-perihnya selama lebih 18 tahun berbaloi apabila kini bergelar pengurus kaunter hadapan di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson.
Katanya, pekerjaan pertama itu membuka matanya terhadap potensi dan jaminan yang ditawarkan dalam industri perhotelan.
Lantaran itu, dia sanggup menyambung pelajaran dalam Diploma Pengurusan Hospitaliti di sebuah kolej swasta di ibu negara pada 2008.
Selepas itu, dia bertugas sebagai petugas kaunter dan dididik untuk memastikan setiap tetamu pulang dengan pengalaman gembira.
“Bagi saya kaunter hadapan bukan kerja ‘biasa-biasa’ kerana ia melatih individu menjadi lebih tenang, matang dan berdisiplin.
“Kita bukan sekadar beri kunci bilik, tetapi cipta pengalaman dan beri senyuman pertama yang akan diingati tetamu sampai bila-bila,” katanya baru-baru ini.
Pada 2017, bapa kepada dua anak ini turut mengambil Sijil Operasi Perhotelan Hadapan di bawah Persatuan Pusat Latihan dan Pendidikan Hotel Malaysia (MAHTEC) bagi memperkasakan lagi kemahirannya.
“Bidang ini memang mencabar tetapi dalam masa sama ia menawarkan ruang yang luas untuk peningkatan kerjaya ke tahap lebih baik.
“Walaupun tanpa kelulusan khusus, seseorang masih boleh menonjol asalkan sanggup belajar kerana kunci utama kejayaan adalah kemahiran komunikasi,” katanya.

Galak penglibatan belia
Muhammad Syazwan berkata, industri perhotelan amat memerlukan pelapis terutama golongan belia tempatan.
Katanya, mereka lebih dekat untuk menonjolkan identiti Malaysia yang kaya dengan adab dan budaya.
Namun, ujarnya, minat belia masih rendah disebabkan kurang pendedahan awal di samping faktor gaji permulaan yang kecil.
“Tetapi jika seseorang sabar dan konsisten, ia mampu menjanjikan peningkatan kerjaya serta gaji lumayan,” katanya.











