Replika perahu Tembeling laris sebagai cenderamata

Replika perahu Tembeling laris sebagai cenderamata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perahu Tembeling yang sinonim sebagai pengangkutan utama di Sungai Tembeling sejak 600 tahun lalu kini semakin menjadi pilihan ramai sebagai bahan cenderamata.

Perkembangan itu sekali gus membuka pintu rezeki buat tukang kraf sambilan, Mohd. Sahfran Suran, 47, yang tidak menang tangan menyiapkan tempahan.

Katanya, kebanyakan tempahan adalah daripada jabatan dan agensi kerajaan serta pasukan keselamatan termasuk di Putrajaya bagi dijadikan sebagai cenderamata eksklusif.

Paling istimewa, replika perahu sentuhannya itu pernah beberapa kali dipersembahkan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan anakanda baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Katanya, inisiatif menghasilkan replika itu bukan semata-mata untuk meraih pendapatan sampingan yang lumayan.

Sebaliknya, bagi memelihara dan memartabatkan warisan penduduk Ulu Tembeling yang unik untuk tatapan generasi muda.

Katanya, kemahiran membuat perahu Tembeling atau perahu kajang itu diwarisi daripada arwah bapanya, Suran Jaafar.

“Arwah ayah minta saya teruskan kesinambungan usahanya supaya seni kraf tangan perahu Tembeling ini dapat terus subur sampai bila-bila,” katanya yang menetap di Taman Desa Gemilang, Jerantut.

Dia yang merupakan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, harga replika bot ini berbeza mengikut saiz dan rekaan.

Bagi yang tidak berbumbung, ia dijual antara RM450 hingga RM600 manakala untuk yang berbumbung dan dilengkapi hiasan harganya bermula dari RM600 hingga RM1,500.


Lukis dahulu
Rutin Mohd. Sahfran adalah membuat lakaran terlebih dahulu di atas kertas sebelum memulakan tugasannya.

Ia penting bagi memastikan setiap rekaan perahu Tembeling sama seperti bentuk asalnya.

“Selepas selesai langkah pertama itu, barulah saya buat replikanya pula, biasanya di waktu malam atau cuti hujung minggu

“Masa tiga hari diambil untuk menyiapkan sebuah replika yang tidak berbumbung, manakala enam hari untuk yang berbumbung bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Tugasan ini menuntut disiplin tinggi dan ia perlu dilakukan dalam bilik khas di rumah,” katanya.

Sementara itu, katanya, kayu-kayu yang digunakan terdiri daripada kayu pulai, jelutung dan beberapa jenis lain.

Kesemua bahan itu diperolehi dari hutan berdekatan kediamannya.

“Ciri-ciri kayu yang diperlukan mestilah ringan, lembut dan tahan lama.

“Antara bahagian replika ialah lunas iaitu bawah badan perahu, papan timba, bingkai, papan sandar, lantai, dinding air, haluan, ‘kong’ (buritan) dan bumbung (kajang).

Untuk lebih menarik dan unik, dia turut membuat replika tangki minyak daripada kayu tersebut dan kemudian dicatkan.

Katanya, replika perahu berkenaan perlu dibuat dengan teliti supaya tahan lama di samping dapat menonjolkan seni kreativiti yang eksklusif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN