KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti terkenal tanah air, Nur Fazura, 42, meluahkan rasa terharu apabila berpeluang menyarungkan busana istimewa rekaan pereka fesyen ternama, Zaimi Zulkafli, yang turut memaparkan gambar wajah bapanya, Allahyarham Sharifuddin Adnan.
Menurut Fazura, busana berkenaan mempunyai makna mendalam buat dirinya kerana ia dihasilkan pada waktu yang tepat iaitu ketika dia sedang benar-benar merindui arwah bapanya itu.
“Sepanjang hidup, saya sudah mengenakan pelbagai jenis busana, namun ini adalah yang paling ikonik, mengagumkan, unik dan tidak dapat dinafikan sebagai rekaan paling istimewa pernah dihasilkan untuk saya.
“Ia hadir tepat pada waktunya, saat hati saya begitu merindui arwah bapa.Saya membawa bersama kekuatan yang tidak tergoyahkan, kebaikan yang tiada tandingan dan memori keberanian arwah.
“Sebagai satu-satunya anak perempuan, saya dengan penuh rasa bangga menyarungkan busana ini sebagai simbol wira yang sentiasa ada dalam hidup saya,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Selain itu, Fazura turut berterima kasih
kepada Zaimi dan kakaknya, Nur Hana Halim, atas hadiah istimewa tersebut yang disifatkan sebagai antara detik paling menyentuh hatinya.
“Awak berdua membuatkan saya merasai pelbagai emosi. Sudah lama saya tidak menangis sebanyak itu, namun air mata itu menghangatkan hati saya dengan kasih sayang, kesyukuran, harapan dan keyakinan yang besar.
“Sekali gus mengingatkan saya untuk terus berdiri lebih teguh pada hari-hari mendatang,” katanya lagi.
Sementara itu, terdahulu, Fazura turut memuji rekaan rakannya yang juga pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat.
“Bukan sahaja awak seorang pereka yang hebat, malah sebagai seorang insan dan sahabat, awak adalah anugerah yang sangat berharga buat kami semua.
“Saya menghadiri pertunjukan fesyen awak dengan penuh rasa bangga melihat hasil rekaan yang dihasilkan khas untuk saya. Lebih daripada itu, hati saya dibaluti rasa syukur yang mendalam.
“Melihat kembali perjalanan awak, segala suka dan duka sepanjang persahabatan kita, saya berbangga menjadi saksi kepada kejayaan anda di sisi mereka yang mengasihi dan menyokong anda sepenuh hati,” ujarnya.-UTUSAN