DI pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025, pereka terkenal, Hatta Dolmat membawakan koleksi unik yang diinspirasikan daripada perahu kertas.
Sebut sahaja perahu kertas, pasti terbayang seni lipatan origami yang pernah mewarnai zaman kanak-kanak.
Melalui koleksi ini, Hatta menterjemahkan nostalgia itu ke dalam bahasa fesyen dengan permainan struktur dan lipatan terarah yang membentuk siluet indah.
Seolah-olah helaian kain berubah menjadi ‘perahu’ yang sedia berlayar.
Setiap helaian dibentuk dengan potongan longgar, lipatan terancang dan perincian minimalis, sekali gus mencipta keseimbangan antara gaya santai dan kemas.
Warna-warna lembut seperti off white, nude, baby blue dan buttery yellow menjadi pilihan utama lantas memberikan sentuhan tenang serta segar persis suasana laut di waktu pagi.
Penggunaan fabrik seperti kapas, linen dan denim menambahkan lagi dimensi unik kepada setiap helaian.
“Koleksi Perahu Kertas melambangkan sisi lain Hatta Dolmat. Sebelum ini, saya gemar bermain dengan warna-warna terang dan motif yang mencuri perhatian, tetapi kali ini, ia umpama refleksi diri.
“Keunikannya terletak pada siluet dan lipatan origami cara saya, di samping penggunaan tiga fabrik yang biasa dipakai oleh rakyat Malaysia iaitu kapas, linen serta denim,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Lebih 30 gaya ditampilkannya dalam koleksi sedia dipakai (RTW) itu termasuk kemeja, blaus, seluar lebar, jaket, blazer dan dress.
Tanda penghargaan kepada peminat
Kata Hatta, buah tangan terbaharunya itu juga sebagai lambang terima kasih dan penghargaan kepada peminat setianya sepanjang dua dekad dalam industri fesyen.
Baginya, tempoh pelayaran yang panjang itu adalah masa yang tepat untuk memberi semula kepada masyarakat dan menyemai impian yang telah lama terbina.
“Impian saya adalah untuk melihat semua orang pakai koleksi saya dan kerana itulah lahirnya Perahu Kertas.
“Sebagai penghargaan kepada peminat, saya mengambil keputusan untuk menjadikan koleksi RTW ini pada harga yang mampu milik,” katanya.-UTUSAN










