Hutan tropika kian terancam

Hutan tropika kian terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hutan darat seperti hutan hujan tropika memainkan peranan penting sebagai sinki karbon semula jadi, menyerap karbon dioksida dari atmosfera dan menyimpannya dalam tumbuhan serta tanah untuk tempoh yang sangat lama.

Hutan-hutan ini bukan sekadar ‘paru-paru dunia’, malah menjadi benteng pertahanan utama dalam usaha mitigasi perubahan iklim global.

Begitupun, Profesor Kehormat Fakulti Sains Gunaan dan Felo Utama Institut Biodiversiti dan Pembangunan Lestari (IBSD) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd. Nazip Suratman berkata, peranan penting ini semakin terancam akibat aktiviti pembalakan serta perubahan guna tanah yang tidak terkawal.

Apabila hutan ditebang atau musnah, bukan sahaja fungsi penyerapan karbon terganggu, bahkan karbon yang disimpan turut dilepaskan semula ke atmosfera sekali gus mempercepatkan kesan pemanasan global.

“Hutan bakau pula, meskipun meliputi kawasan kecil, berupaya menyerap karbon dalam jumlah tinggi dan menyimpannya dalam tanah selama berabad-abad.

“Rumput laut juga berpotensi besar sebagai agen penyerap karbon tetapi kurang diberi perhatian dalam dasar konservasi semasa,” katanya baru-baru ini.

Ketiga-tiga ekosistem iaitu hutan darat, hutan bakau dan padang rumput laut, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dalam menyerap serta menyimpan karbon.

Namun, kesemuanya kini berdepan tekanan hebat akibat aktiviti manusia, termasuk pembangunan pesisir pantai, pertanian tidak lestari dan penebangan hutan secara haram.

Perkara itu menjadi antara tumpuan utama dalam persidangan bertemakan ‘Dari Hutan ke Terumbu Karang’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Bandar Seri Begawan, Brunei baru-baru ini.

Persidangan yang menghimpunkan penggubal dasar, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai negara itu memberi fokus kepada peranan ekosistem darat dan marin dalam menangani perubahan iklim secara holistik.

 

TEKNOLOGI BANTU PANTAU STOK KARBON
Sementara itu, Pensyarah Kanan di UiTM Cawangan Perlis dan Felo Bersekutu IBSD, Dr. Nurul Ain Mohd. Zaki turut membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pemetaan Stok Karbon di Hutan Tropika dan Bakau menggunakan Teknologi Penderiaan Jauh.’

Beliau mengetengahkan potensi besar penggunaan teknologi penderiaan jauh seperti imej satelit dan teknologi Pengesanan dan Pengukuran Cahaya (Lidar) dalam menganggar stok biojisim dan karbon secara tepat, efisien dan skala besar.

Kaedah ini membolehkan pemantauan secara berkala serta sokongan kepada keputusan dasar dan perancangan konservasi yang berasaskan data saintifik.

Teknologi penderiaan jauh boleh digabungkan dengan data lapangan bagi menghasilkan peta stok karbon terperinci.

Perkara tersebut amat penting dalam memenuhi keperluan pelaporan antarabangsa seperti di bawah Konvensyen Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) dan pelaksanaan mekanisme

Pengurangan Pelepasan Emisi daripada Penebangan Hutan dan Kemerosotan Hutan-plus (REDD+).

Secara keseluruhannya, persidangan tersebut menggariskan sinergi antara ekosistem darat dan marin adalah kunci dalam strategi mitigasi perubahan iklim dan pembangunan mampan.

Selain itu, memperkukuh kefahaman global tentang peranan penting ekosistem marin seperti hutan bakau, padang rumput laut dan terumbu karang sebagai penyumbang utama kepada karbon biru iaitu karbon yang diserap dan disimpan oleh ekosistem akuatik.

“Selain sumbangan terhadap mitigasi perubahan iklim, potensi ekonomi melalui inisiatif karbon, eko-pelancongan serta pembangunan ekonomi hijau turut mendapat perhatian serius, menjadikan pendekatan ‘Dari Hutan Ke Terumbu Karang’ sebagai model ekosistem menyeluruh yang saling melengkapi.

Persidangan tersebut turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 14: Kehidupan Bawah Air, yang bertujuan melindungi serta memastikan penggunaan lautan dan sumber marin secara lestari demi pembangunan mampan.

Delegasi UiTM turut dibawa melawat ke Botanical Research Centre dan Institute for Biodiversity and Environmental Research (IBER), UBD bagi meneroka peluang kolaborasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN