Rancangan animasi tempatan, Didi & Friends memang menjadi pujaan ramai kanak-kanak di negara ini.
Kini, ia bukan hanya lagi dalam bentuk animasi semata-mata sebaliknya boleh didapati dalam koleksi wafer emas hasil kolaborasi bersama jenama brangan kemas, Habib.
Bagi ramai kanak-kanak, Didi, Nana dan Jojo bukan nama asing. Watak-watak animasi yang ceria ini bukan sekadar menghiburkan, tetapi juga menjadi alat pembelajaran yang efektif.
Habib mengambil inspirasi ini dan mencipta koleksi wafer emas 999.9 dan loket emas 999 edisi khas, lengkap dengan rekaan 3D dan warna enamel menarik – sesuai sebagai hadiah kenangan atau koleksi pelaburan pertama si kecil.
Pengerusi Eksekutif Habib, Datuk Seri Meer Habib berkata, kolaborasi itu bukan sahaja memperkenalkan siri barangan emas edisi istimewa yang comel, tetapi membawa mesej penting kepada ibu bapa untuk mendidik anak menabung dan nilai kewangan sejak kecil.
Habib juga menggunakan koleksi ini sebagai cara untuk memperkenalkan amalan menabung dan celik kewangan kepada kanak-kanak.
Wafer emas atau loket peribadi, mengajak kanak-kanak menghargai nilai simpanan jangka panjang dan emas bukan sekadar perhiasan, tetapi juga satu bentuk pelaburan yang bernilai.
“Didi & Friends sangat dekat di hati keluarga Malaysia, sama seperti Habib. Kolaborasi ini bukan hanya mengenai emas, tetapi ia juga meraikan nilai-nilai murni seperti kreativiti dan pendidikan.
“Kami ingin membawa kegembiraan kepada kanak-kanak dan ibu bapa sambil mencipta sesuatu yang bermakna dan bernilai untuk jangka masa panjang,” katanya.
Namun, untuk merealisasikan impian ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan harga emas semakin meningkat.
“Sebagai jenama barangan kemas, kami perlu berfikir secara kreatif untuk menghasilkan produk yang bukan sahaja cantik, tetapi juga praktikal daripada segi harga.
“Sebagai contoh, jika kami ingin menghasilkan loket berdasarkan karakter Didi & Friends secara tradisional, harganya mungkin mencecah ribuan ringgit kerana kos emas yang tinggi.
“Namun, dengan teknologi electroforming, kami berjaya menghasilkan loket emas 999 yang ringan tetapi tetap eksklusif membolehkan kami menawarkan produk ini pada harga sekitar RM400 ke atas sahaja. Ia menjadi alternatif yang jauh lebih mampu milik, tanpa mengorbankan nilai atau kualiti emas tersebut.
“Wafer emas pula dijual pada harga serendah RM148, meskipun melibatkan kos royalti dan kerjasama dengan jenama animasi popular,” ujarnya.
Tambahnya, harga emas global kini menunjukkan trend menaik, dipengaruhi faktor seperti ketidaktentuan geopolitik, inflasi dan pembelian besar-besaran oleh bank pusat dunia.
“Tidak mustahil harga emas mencecah RM700 segram menjelang hujung tahun. Jadi, inilah masa terbaik untuk mula menyimpan emas selagi harganya masih stabil,” jelasnya.
Pelancaran koleksi yang meriah di Habib Wangsa Maju baru-baru ini, mempertemukan maskot Didi, Nana dan Jojo bersama para peminat kecil mereka.
Suasana ceria dengan pelbagai aktiviti interaktif menjadi pentas bagi ibu bapa dan anak-anak menikmati masa berkualiti sambil mendalami erti sebenar pelaburan dan pendidikan kewangan dalam bentuk yang ringan dan menyeronokkan.
Wafer emas dijual pada harga RM148 setiap satu, manakala satu set lengkap dengan ketiga-tiga karakter berharga RM444.
Lebih daripada sekadar emas, koleksi ini adalah langkah pertama si kecil dalam dunia simpanan dan pelaburan.-UTUSAN










