Tenang di Kuala Mu

Tenang di Kuala Mu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dusun Kuala Mu atau Pos Kuala Mu kembali menjadi tumpuan pelancong yang mendambakan ketenangan dan keindahan semula jadi.

Terletak di Sungai Siput, Perak, destinasi ini menawarkan pengalaman eko-pelancongan yang unik, segar dan jauh dari hiruk-pikuk kota.

Pos Kuala Mu merupakan perkampungan Orang Asli daripada suku Temiar yang terletak paling hujung di kawasan lembah berhampiran Sungai Mu.

Penginapan di sini dalam bentuk chalet mesra alam seperti Chalet Kampung Bersah, Gapeh dan beberapa pilihan lain.

Semua ini direka bagi membolehkan pelancong menikmati suasana semula jadi dengan selesa, namun tetap mengekalkan unsur keaslian.

Bagi pencinta alam, perjalanan ke Pos Kuala Mu dari pekan Sungai Siput Utara yang mengambil masa lebih sejam menyajikan panorama menenangkan.

Pemandangan hutan subur dan perkampungan Orang Asli yang menghiasi sepanjang jalan benar-benar mencipta pengalaman luar biasa.

Bahkan udara segar dan dingin yang mengiringi perjalanan menambah ketenangan.

Sungai Mu menjadi tarikan utama dengan airnya yang jernih, sejuk dan mengalir deras dari pergunungan dan deruan air terjun yang menenangkan jiwa seolah-olah mengajak pengunjung untuk duduk di tepi sungai sambil menikmati kedamaian.

Kawasan sekitar juga menyediakan kemudahan seperti dapur luar, paip air serta ruang untuk barbeku.

Bagi kumpulan besar, pelbagai aktiviti berpasukan boleh dirancang untuk menjadikan percutian lebih bermakna, namun begitu, bagi pelawat solo, Pos Kuala Mu tetap menjadi tempat terbaik untuk refleksi diri, menenangkan fikiran dan menyatu dengan alam.

Selain itu, kemudahan asas turut disediakan termasuk kedai serbaneka kecil untuk memudahkan urusan harian.

Bagaimanapun, pengunjung disarankan membawa makanan dan keperluan sendiri bagi memudahkan penyediaan makanan sepanjang percutian

Pengalaman memasak di kawasan terbuka sambil menikmati udara segar pasti menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

Batuan di sepanjang sungai turut menjadi tarikan visual menarik yang melengkapkan panorama Pos Kuala Mu, seumpama sebuah ‘syurga tersembunyi’.

Kebersihan persekitaran kampung juga mencerminkan nilai murni masyarakat Orang Asli yang sangat menghargai dan menjaga kelestarian alam.

Mereka bukan sahaja menjaga kebersihan kawasan sekitar, tetapi juga menyambut tetamu dengan mesra dan penuh keikhlasan.

Suasana malam pula diserikan dengan sinaran binatang yang bertaburan di langit menjadikan suasana ini seolah-olah lukisan hidup yang tidak dapat disaksikan di kota.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN