Kanser prostat semakin mendapat perhatian dalam kalangan lelaki Malaysia. Berdasarkan data semasa, kanser prostat kini adalah kanser ketiga paling biasa menyerang lelaki di negara ini, selepas kanser kolorektal dan kanser paru-paru.
Kes ini selari dengan fenomena populasi yang semakin menua, secara langsung meningkatkan risiko terhadap penyakit ini.
Kadar kejadian kanser prostat menunjukkan peningkatan ketara mengikut kumpulan umur. Bagi lelaki berumur antara 60 hingga 64 tahun, kadar adalah 31.3 bagi setiap 100,000 penduduk.
Namun, kadar ini meningkat hampir dua kali ganda kepada 70.6 bagi setiap 100,000 dalam kalangan individu berusia 65 hingga 69 tahun.
Ia terus melonjak kepada 124.2 bagi setiap 100,000 dalam lingkungan usia 70 hingga 74 tahun.
Lebih membimbangkan, hampir tiga daripada empat kes kanser prostat di Malaysia dikesan pada peringkat lanjutan, iaitu ketika rawatan mungkin menjadi lebih sukar dan prognosis menjadi kurang memberangsangkan.
Perunding Urologi dan Onkologi Urologi, Sunway Medical Centre, Universiti Sunway, Prof. Dr. Tan Guan Hee berkata, ini menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan saringan awal dan simptom awal kanser prostat.
“Jika dibandingkan data antara dua tempoh, 2012–2016 dan 2017–2021, kadar insiden kanser prostat turut meningkat. Pada tahun 2012–2016, kadar insiden kanser prostat adalah 7.7 peratus, menjadikannya penyebab ketiga tertinggi selepas kanser kolorektal (14.8 peratus) dan kanser paru-paru (13.2 peratus).
“Namun, dalam tempoh 2017–2021, kadar ini meningkat kepada 9.3 peratus, sekali lagi mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga, tetapi menunjukkan peningkatan beban penyakit ini dalam kalangan lelaki tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan media mengenai kanser prostat di Sunway Medical Centre, baru-baru ini. Panel lain, Pakar Onkologi Klinikal Perunding Sunway Medical Centre,Dr. Nik Muhd Aslan Abdullah dan Pakar Perunding Perubatan Nuklear, Sunway Medical Centre, Prof. Madya Dr. Tan Teik Hin.
Peningkatan kes kanser prostat sejajar dengan peningkatan dalam kes kanser lain seperti hati, limfoma dan leukemia, namun perlu diberi perhatian khusus kerana faktor usia dan kesannya terhadap kualiti hidup lelaki berumur.
Data daripada Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017–2021 menunjukkan keperluan intervensi kesihatan awam yang lebih menyeluruh serta pembabitan aktif pakar-pakar urologi dan penjagaan primer untuk menangani isu ini dari akar umbi.

Kurang kesedaran
Dr. Tan berkata, kanser prostat lewat dikesan kerana kebanyakan penghidapnya tidak mempunyai kesedaran dan menganggap gejala seperti sukar membuang air kecil berlaku disebabkan oleh faktor penuaan.
Salah satu masalah utama adalah tumor atau kanser prostat boleh berkembang secara ‘tersembunyi’, tanpa gejala yang jelas pada peringkat awal. Keadaan ini menyebabkan lelaki lebih cenderung untuk menangguhkan rawatan atau tidak menjalani saringan kesihatan rutin.
“Lebih memburukkan keadaan apabila penghidapnya enggan menjalani ujian saringan dan menolak rawatan awal. Antara gejala prostat yang sering diabaikan kerap membuang air kecil, terutamanya pada waktu malam.
“Gejala lain adalah kesukaran untuk memulakan atau menghentikan pembuangan air kecil. Aliran air kencing juga lemah atau terganggu seperti tersekat-sekat. Penghidap juga dapat merasakan pundi kencing tidak kosong sepenuhnya selepas membuang air kecil, “katanya.
Saiz penting tentukan kesihatan
Prostat adalah kelenjar yang penting dalam sistem pembiakan lelaki.
Walaupun ia kecil, fungsi prostat yang baik adalah kunci kepada kesihatan umum seorang lelaki, terutamanya berkaitan dengan pengeluaran air kencing dan kesihatan seksual.
Namun, apabila prostat membesar, ia boleh menandakan masalah kesihatan yang lebih serius, seperti pembesaran prostat bukan kanser (BPH) atau kanser prostat.
Pembesaran prostat memberi impak kepada saluran kencing menyebabkan kesukaran membuang air kecil dan dalam kes yang lebih teruk sehingga mengancam nyawa.
“Apabila prostat membesar, ia boleh menekan uretra, saluran yang membawa air kencing keluar dari pundi kencing dan mengganggu aliran air kencing. Kelenjar prostat yang normal berada dalam keadaan yang tidak memberi tekanan kepada uretra.
“Pesakit sering mengalami masalah seperti kesukaran untuk memulakan atau menghentikan pembuangan air kecil, aliran air kencing yang lemah serta perasaan pundi kencing tidak kosong sepenuhnya. Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakselesaan yang berpanjangan,” katanya.
Sekiranya diagnosis lewat dilakukan, kemungkinan untuk pemulihan sepenuhnya menjadi lebih rendah dan boleh memberi impak besar kepada kelangsungan hidup pesakit.
Pengesanan awal penting untuk rawatan yang berjaya.
Lelaki berumur 50 tahun ke atas seharusnya menjalani pemeriksaan berkala untuk kesihatan prostat.
Ini langkah penting untuk memastikan sebarang masalah yang timbul dapat dikenal pasti lebih awal, sebelum berkembang menjadi lebih serius.
Kanser prostat pada peringkat awal sangat boleh dirawat dan menerusi rawatan yang betul, pesakit boleh meneruskan kehidupan dengan lebih sihat dan lebih baik.
Rawatan pengimejan kenal pasti kanser terperinci, lebih tepat
Kanser prostat kebanyakannya bergantung kepada peringkat kanser. Peringkat pertama, tumor hanya berada di dalam prostat dan tidak membabitkan lebih daripada separuh prostat.
Manakala peringkat kedua, tumor masih di dalam prostat tetapi ia lebih serius.
Kanser pada peringkat ketiga apabila tumor tumbuh di luar prostat dan mungkin sudah merebak ke vesikel mani atau tisu di sebelah prostat seperti rektum dan pundi kencing.
Peringkat ke empat, tumor sudah merebak ke nodus limfa atau bahagian badan lain seperti tulang.
Dr. Nik Muhd. Aslan berkata peringkat tumor boleh ditentukan dengan pemeriksaan fizikal tetapi risiko mungkin terlepas dalam mengesan tumor kecil dan kurang tepat untuk mengesan tumor yang sudah merebak (metastasis) ke tulang.
“Perubatan ketepatan, khususnya Theranostics adalah salah satu pemboleh utama penjagaan ketepatan. Theranostics menggabungkan diagnostik (pengimejan PSMA) dengan terapi (terapi radioligand), menyasarkan sel kanser dengan ketepatan.
“Rawatan ini menggunakan alat diagnostik untuk memadankan rawatan yang betul kepada pesakit yang betul, meningkatkan hasil dan mengurangkan kesan sampingan,” katanya.
Cara rawatan kanser prostat ialah pengimejan PSMA (Prostate-Specific Membrane Antigen). Teknologi ini mengubah cara memantau perkembangan kanser prostat dengan lebih tepat.
Pengimejan PSMA memungkinkan untuk mengenal pasti kanser yang terperinci dan lebih tepat, tidak seperti ujian darah PSA yang hanya mengukur tahap antigen spesifik prostat tanpa memberi maklumat mengenai lokasi kanser.
“Secara tradisionalnya untuk menentukan peringkat kanser, pengimejan seperti imbasan CT atau MRI digunakan tetapi ia sering tidak dapat mengesan metastasis yang kecil atau tersembunyi.
“Disinilah pengimejan PSMA berperanan penting untuk memberikan gambaran yang lebih jelas dan mendalam mengenai tahap penyebaran kanser, termasuk kepada kelenjar limfa atau bahagian lain tubuh seperti tulang,” katanya.
Konsep teranostik yang digabungkan dengan teknologi pengimejan PSMA dan terapi radioligand membawa banyak manfaat kepada pesakit.
Teranostik tidak hanya memberi tumpuan kepada diagnosis tetapi juga rawatan dengan menyasarkan sel kanser dengan lebih tepat.
Oleh itu, terapi ini bersifat peribadi, tidak invasif dan lebih berkesan dalam merawat kanser prostat.
Proses ini membolehkan doktor merancang rawatan yang lebih tepat, mengelakkan daripada memberikan rawatan yang berlebihan atau sebaliknya yang mungkin membahayakan pesakit.
TERAPI SASAR SEL KANSER
Prof. Madya Dr. Tan Teik Hin berkata, terapi Radioligand adalah cara baharu untuk menyasarkan dan merawat kanser dengan mengenalpasti sasaran menggunakan pengimejan (PET-CT).
Terapi radioligand yang menyasarkan kawasan sasaran positif kanser dan menyelamatkan tisu normal.
“Penyelidikan lebih sedekad membawa kepada penemuan ini. Diinspirasikan oleh iodin radioaktif yang digunakan untuk kanser tiroid. Saintis mereka versi baharu untuk menyasarkan kanser tertentu.
“Hari ini, terapi radioligand digunakan untuk kanser prostat dan neuroendokrin. Imbasan dilakukan untuk mengesan sel kanser dengan penanda sasaran. Jika Antigen Membran Khusus Prostat (PSMA) positif , terapi diberikan melalui suntikan,” katanya.
Kaedah itu akan menyelamatkan tisu sihat selain kesan sampingan yang lebih sedikit berbanding rawatan sedia ada.
Ia juga berpotensi untuk melambatkan perkembangan penyakit, memanjangkan kelangsungan hidup dan meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser prostat.
Ia juga harapan baharu untuk pesakit kanser prostat lanjutan, termasuk kanser prostat lanjutan yang mungkin sudah menjalani terapi konvensional sebelum ini.-UTUSAN










