MASIH ramai percaya ada senjata warisan tertentu mempunyai unsur mistik.
Pengkaji Manuskrip Melayu, Wan Mohd. Dasuki Wan Hasbullah berkata, ada senjata pusaka yang disimpan di rumah, tidak boleh disentuh oleh anak cucu.
Ia dibalut dengan kain kuning kerana dikatakan mempunyai kuasa halus.
“Dalam cerita Hikayat Pahang, Datuk Tangguk dan Datuk Parit, dua legenda negeri Pahang yang dikatakan hidup pada awal atau suku pertama abad ke 18, adalah hulubalang kepada Bendahara Ali.
“Mereka ini menaiki perahu kemudiannya diserang oleh perompak. Bagaimanapun, mereka berjaya mengalahkan perompak kerana senjata yang digunakan perompak tidak berfungsi selepas Datuk Tangguk dan Datuk Parit membaca doa tertentu yang menyebabkan penggunaan senjata gagal,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Mohd Dasuki berkata, dia tidak pasti jika ada sesuatu bacaan tertentu yang menyebabkan keris atau parang tidak boleh dikeluarkan daripada sarung.
Setakat ini termasuk di PNM, belum ditemukan dengan manuskrip ilmu hulubalang kerana banyak manuskrip ilmu hulubalang yang ada khasnya di PNM banyak bercerita mengenai amalan mentera berkenaan penggunaan senjata.
“Kita tidak boleh kata mitos sama sekali karut. Misalnya dalam teks Minangkabau, asal usul bedil dikatakan dari syurga. Kononnya bedil sudah didengari oleh Nabi Adam semasa di syurga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Wacana Manuskrip Melayu: Persenjataan Melayu Citra Budaya Bangsa dan Majlis Pelancaran Projek Transliterasi Warisan 2025 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), baru-baru ini.
Wan Mohd. Dasuki pernah menghasilkan beberapa karya ilmiah mengenai senjata api dalam budaya Melayu, antaranya buku Senjata Api Alam Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka selain memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian sejarah, antropologi dan sosiologi, Universiti Malaya.
“Salah satu kandungan penting untuk kita memahami mengenai persenjataan ialah melalui manuskrip. Cara ini akan mendekatkan kita dengan istilah dan konsep mengenai penggunaan dan pemilikan berkenaan dengan senjata.
“Misalnya konsep budaya persenjataan dalam masyarakat Melayu. Kita selalu melihat keris sebagai pakaian. Hari ini bagaimana ia ditafsirkan sebagai pakaian? Kalau kita tengok daripada segi undang-undang, senjata sebagai pakaian, macam mana kita hendak tafsirkan?” katanya.
Senjata Melayu tidak boleh dilihat sebagai objek yang hanya patut dipamerkan di muzium atau menjadi sekadar hiburan saja.
PERTAHANKAN WARISAN
Negara perlu mencontohi langkah beberapa negara seperti Thailand dan Jepun bagi memartabatkan senjata tradisional dalam aspek penggunaan dalam dunia moden hari ini.
Inisiatif itu bagi memastikan kehebatan senjata dalam budaya Melayu terus kekal dan dihargai generasi akan datang.
Katanya, kerajaan Thailand mengiktiraf Keris Tanjung sebagai milik mereka walaupun orang Melayu memakainya.
Manakala, salah satu senjata paling popular dalam kalangan orang Melayu, Lawi Ayam atau Kerambit sudah banyak diadaptasi oleh anggota keselamatan di barat, menjadi senjata iringan.
“Macam mana dengan anggota keselamatan kita? mengapa kita tidak memakai senjata Melayu seperti keris atau kerambit. Bukankah itu boleh kita majukan sebagai satu produk? Ia bukan saja menjadi nilai warisan tetapi ada fungsinya pada hari ini.
“Daripada segi peristiwa sejarah, senjata juga adalah bukti dalam cerita-cerita berunsur sejarah. Namun, dalam filem kita, daripada segi prop ternyata banyak yang kurang tepat dalam penggunaan pada zaman itu seperti bentuk senapang yang digunakan. Ini kita pandang remeh sedangkan ia sangat penting,” katanya.
Wan Mohd Dasuki berkata, Jepun pula menganjurkan upacara tahunan bagi memperingati pelbagai peristiwa perang yang paling besar dalam sejarah negara itu dengan penggunaan senjata api sekitar tahun 1600.
“Mereka menggunakan senjata sebenar untuk ditunjukkan kepada orang ramai termasuk pelancong. Senapang mereka itu sama seperti kita yang kita namakan istingar dan mereka panggil ketopi.
“Kita seharusnya melihat dan memerhatikan manuskrip dan teks tradisional Melayu untuk kita angkat senjata Melayu dan pertajamkan daripada segi konsep dan idea. Kalau kita lihat ini sebagai satu warisan, kita perlu angkatnya ke depan,” katanya.
Sekurang-kurangnya 40 buah bahan atau manuskrip yang tersimpan di seluruh dunia.
Ia menjadi bukti orang Melayu mencatatkan banyak pengetahuan mengenai senjata.
PENGGUNAAN SENJATA
Dua perkara utama dilihat dalam manuskrip dan teks Melayu lama berkaitan penggunaan senjata untuk pertempuran jarak dekat seperti senjata tajam dan senjata api.
Berbeza dengan senjata tajam, senjata api memerlukan modal agak besar dan latihan lebih khusus. Selain itu, penggunaan senjata api memerlukan kepakaran.
Sebagai contoh, dalam penggunaan meriam, memerlukan tiga orang untuk mengendalikannya iaitu tukang tala atau acu, tukang cucuh dan tukang memasukkan ubat atau peluru bedil. Mereka diawasi mandur atau penghulu.
“Terdapat banyak istilah merujuk kepada penggunaan senjata dan terma senjata berkenaan. Dalam hal ini kita boleh lihat juga pelbagai aspek daripada segi penggunaan senjata secara praktik, mahupun simbolik.
“Terdapat sekurang-kurangnya 2937 daripada beratus teks Melayu yang melaporkan penggunaan senjata. Dalam senarai ini, kita boleh lihat betapa luasnya penggunaan senjata,” katanya.
Kita juga dapat melihat daripada segi adat istiadat, cara mengenggam, termasuk daripada segi perlawanan fizikal selain bagaimana Hang Tuah menewaskan Hang Jebat menerusi penerangan cukup rapi mengenai cara keris dihunus, ditikam dan seumpamanya.
Pengarang paling awal dalam manuskrip Hang Tuah, mengetahui mengenai keris secara langsung terutama daripada aspek penggunaannya. Bukan setakat Hikayat Hang Tuah semata-mata, terdapat banyak lagi manuskrip dan teks Melayu yang melaporkan mengenai penggunaan keris.
Warkah transaksi
Dalam aspek warkah Raja-Raja Melayu menunjukkan ada hubungan ekonomi dipacu dengan aspek persenjataan. Ada pertukaran komodoti seperti lada hitam, biji timah dan dengan senjata, ini secara tidak langsung menunjukkan orang Melayu secara antarabangsa sudah
mempunyai hubungan dalam aspek persenjataan.
Banyak surat-surat Melayu melaporkan mengenai transaksi seperti biji timah ditukarkan dengan meriam dan lada hitam ditukarkan dengan ubat bedil terutamanya apabila berurusan dengan orang Eropah.
Kesimpulannya, penggunaan senjata tidak boleh dikatakan hanya dalam kawasan tempatan dan dangkal, sedangkan sudah ada kemajuan sejak dahulu lagi.-UTUSAN










