Pak Wea hidupkan semula hiasan tanduk kerbau dan tetuang

Pak Wea hidupkan semula hiasan tanduk kerbau dan tetuang

Rozali Abd. Rani atau lebih dikenali sebagai Pak Wea menunjukkan tetuang dan hiasan tengkorak kerbau bertanduk hasil karyanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika dunia moden semakin meminggirkan seni warisan tradisional, seorang guru dari Temerloh, Rozali Abdul Rani,52, atau lebih dikenali sebagai Pak Wea, tampil mempertahankan satu tinggalan budaya Melayu yang hampir pupus iaitu pembuatan tetuang dan hiasan tengkorak kerbau bertanduk.

Tetuang adalah alat tiupan tradisional Melayu yang dahulu digunakan sebagai isyarat kecemasan ketika darurat, perang atau acara istiadat.

Minat mendalam terhadap seni warisan Melayu mendorong beliau memulakan pembuatan tetuang dan hiasan tengkorak kerbau bertanduk seawal tahun 1996 namun hanya bergiat secara serius sejak tahun 2020 apabila menerima permintaan masyarakat, khususnya dalam kalangan peminat seni, pemilik inap desa dan penggiat budaya.

Sejak itu, nama Pak Wea mula dikenali sebagai antara satu-satunya di Semenanjung Malaysia yang masih aktif menghasilkan tetuang dan hiasan tanduk kerbau mengikut teknik dan falsafah tradisi.

Sebagai Ketua Pusat di Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Zon Timur, Seri Tualang, Temerloh, beliau bukan sahaja berkarya, malah turut menyebarkan ilmu dan kesedaran tentang seni ini kepada para pelajar, guru dan masyarakat melalui bengkel, pameran serta festival budaya.

Seni bukan sekadar hiasan mata, sebaliknya menjadi saluran pendidikan, penyampaian sejarah dan pemupukan jati diri bangsa yang semakin luntur dalam era digital kini.

“Antara produk utama saya ialah tetuang, dan satu lagi ialah hiasan tengkorak kerbau lengkap bertanduk, yang dahulunya sinonim sebagai lambang keberanian dan status pemilik rumah kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tanduk yang digunakan pula bukan sembarangan. Pak Wea hanya memilih tanduk kerbau jantan kampung kerana kekuatan struktur dan lengkungnya yang sesuai dijadikan bahan mentah untuk penghasilan tetuang mahupun hiasan kepala kerbau.

Menurutnya, tanduk kerbau balau (albino) yang paling mahal dan sukar diperoleh, dengan harga boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada saiz, keaslian dan keunikan teksturnya.

“Setiap tanduk yang saya pilih melalui proses pengeringan semula jadi. Kepala kerbau akan dijemur selama dua hingga tiga bulan, sama ada di atas tanah atau digantung di atas pokok.

Jika diletak di tanah, bakteria dan serangga akan membantu pereputan, tetapi perlu sentiasa diawasi,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya salah teknik atau cuaca terlalu lembap, tanduk boleh merekah, reput atau berubah warna, menyebabkan hasilnya tidak sesuai untuk dipamer atau dijual.

“Kita kena rajin jenguk, alih kedudukan dan bersihkan sisa-sisa tisu yang belum mereput. Kerja ini bukan mudah, tetapi kalau dilakukan dengan sabar, hasilnya sangat memuaskan,” katanya sambil menunjukkan salah satu tengkorak kerbau yang telah siap diproses.

Bahan mentah seperti kepala kerbau dan tanduk diperoleh secara sah daripada pusat penyembelihan tempatan serta ketika penyembelihan persendirian seperti kenduri atau Hari Raya Korban.

Pak Wea sentiasa memastikan kaedah pemprosesan dibuat secara beretika dan menghormati sensitiviti masyarakat.

Harga tetuang bermula daripada RM350, manakala hiasan tengkorak kerbau lengkap boleh mencecah RM500 hingga RM2,000, bergantung kepada jenis tanduk, saiz serta tahap kesukaran pemprosesan.

Permintaan terhadap karya beliau datang daripada pengumpul barangan antik, pemilik inap desa, pengusaha galeri, pengkaji budaya dan juga pelancong asing yang tertarik dengan keunikan seni warisan Melayu.

Malah, ada pelanggan yang sanggup membuat tempahan lebih awal dan menunggu berbulan-bulan semata-mata untuk mendapatkan sepasang tanduk kerbau asli sebagai pelengkap koleksi peribadi atau dekorasi rumah bertema etnik.

Setakat ini, Pak Wea belum memiliki koleksi tanduk rusa, seladang atau kijang kerana ia dikawal di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk memohon lesen khas bagi tujuan pameran di masa akan datang.

“Saya mahu anak-anak muda kita tahu ini bukan benda tahyul atau mistik. Ini lambang kekuatan, kebijaksanaan dan keunikan masyarakat Melayu. Kalau kita tidak tunjuk dan ceritakan, seni sebegini akan hilang begitu sahaja,” tegasnya.

Berbekalkan pengalaman hampir tiga dekad dalam bidang pendidikan dan seni budaya, Pak Wea kini bercadang membuka sebuah galeri budaya mini di kampung halamannya sebagai pusat rujukan, pelancongan dan pendidikan seni warisan tempatan.

Galeri itu bakal menempatkan koleksi tetuang, tengkorak kerbau, alat muzik tradisional serta pelbagai artifak kampung lain seperti lesung kayu, alat bertani lama dan tembikar buatan tangan sekali gus menjadi pusat aktiviti budaya untuk generasi muda.

“Saya hanya mahu seni ini terus hidup. Biar anak cucu kita nanti tahu, suatu masa dahulu, orang Melayu kita ada seni hebat, penuh simbol dan makna,” katanya mengakhiri perbualan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN